Harun Din orang 'nombor dua' dalam PAS
Mat Sabu tidak gentar dengan kenyataan Zahid Hamidi untuk mendedahkan bukti secara terperinci mengenai pemimpin PAS yang terlibat dengan fahaman Syiah.
(FMT) - Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata beliau tidak pasti sama ada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaksudkan dirinya kerana Timbalan Presiden PAS bukan jawatan nombor dua dalam parti Islam itu.
“Di dalam PAS, jawatan tertinggi adalah Mursyidul Am yang dipegang oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Manakala jawatan kedua tertinggi adalah Tuan Guru Datuk Harun Din,” katanya.
“Peguam masih lagi kaji tindakan susulan yang akan dilakukan. Kita tunggu dulu pendedahan dia,” katanya merujuk kepada Ahmad Zahid.
Dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) Sabtu lalu, Menteri Dalam Negeri tidak menyebut nama Mohamad Sabu ketika mendakwa ada pemimpin nombor dua PAS menganut fahaman syiah.
Bagaimanapun, Mat Sabu tidak gentar dengan kenyataan Zahid Hamidi untuk mendedahkan bukti secara terperinci mengenai pemimpin PAS yang terlibat dengan fahaman Syiah.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, beliau sudah biasa dengan tuduhan seumpama itu termasuk ketika pemilihan parti Islam itu baru-baru ini.
“Umur saya sudah 59, kalau terpaksa habiskan sisa-sisa hidup saya naik turun mahkamah dan masuk penjara, saya akan hadapi,” katanya.
Mohamad berkata, sejak menyertai PAS pada awal 1980-an, beliau sudah biasa dipenjarakan termasuk dua kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1984 dan semasa Operasi Lalang pada 1987.
Semalam, Zahid berkata, beberapa bukti bahawa pemimpin PAS terlibat dengan fahaman Syiah akan diterangkan secara terperinci dalam satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat.
Katanya, sidang akhbar itu akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya.
Sehubungan itu, katanya, pemimpin yang didakwa terlibat itu tidak perlu takut atau menafikan penglibatannya dalam fahaman Syiah.
“Kenapa dia takut. Kalau pegawai saya tunjukkan bukti dia nak cakap apa?
“Salah satu elemen orang Syiah ialah berpura-pura,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di Putrajaya, semalam.
Zahid berkata, kerajaan tidak mahu umat Islam berpecah-belah seperti negara lain hanya kerana fahaman mazhab berbeza.
Dalam perkembangan lain., Pas mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendedahkan bukti keterlibatan pemimpin parti itu yang didakwa mengamalkan ajaran Syiah.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan menteri berkenaan yang dikatakan bakal mendedahkan bukti didakwa hanya sekadar mainan mahu mendapatkan sokongan politik.
“Berdasarkan pemantauan, tiada seorang pemimpin Pas terlibat dengan Syiah dan kami telah pun membuat penafian berhubung perkara ini.”Ia hanya spekulasi pihak luar yang khabar angin untuk mereka dan juga Umno sahaja. Jika KDN ada bukti, sila buktikan, jangan hanya bermain politik sebegini” katanya. MT
0 comments:
Post a Comment