Sunday 30 November 2014

Ucapan 'Penghabisan Stok' 2014 - Semua mahu UMNO berubah, tapi apa yang berubahnya?

Isnin, 1 Disember 2014
UMNO: Apakah Yang Akan Berubahnya? 
Semua mahu UMNO berubah, tapi apa yang berubahnya? 
Shahbudin Husin - 10:00AM Nov 30 2014 
SUARA LANTANG: Sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, tuntutan perubahan bergema di sana-sini. Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk sekian kalinya melaungkan lagi perubahan semasa majlis Taklimat Presiden pada Selasa lalu dengan mengatakan orang Melayu akan menjadi "bangsat" jika UMNO tidak segera berubah dan kemudian hilang kuasanya.  

Sehari selepas itu, semasa merasmikan Perhimpunan AgungWanita, Pemuda dan Puteri, Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap dalam nada yang lebih keras dan serius mengenai perlunya perubahan dilakukan dalam UMNO. 

Beliau bahkan menyebut beberapa budaya dalam UMNO seperti pak turut, warlord, budaya feudal , ugut, cah keting dan sebagainya yang menjadi amalam sehingga UMNO ketika ini mengalami defisit kepercayaan dan terus dijauhi oleh rakyat, terutamanya oleh golongan muda.  

Tan Sri Muhyiddin juga secara berterus-terang meminta pemimpin yang sudah lama agar berundur secara sukarela dan memberi laluan kepada pemimpin muda mengambil alih teraju kepimpinan.  Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir pula, bukan saja lantang bersuara mengenai perubahan, bahkan mahukan wakil atau jurucakap Perhimpunan Agung UMNO tahun ini lebih berani menegur dan mengkritik kepimpinan parti yang dianggapnya banyak membawa kerosakan kepada bangsa dan negara.  

Tanpa ditegur, pemimpin mungkin tidak tahu apa dan di mana kesilapan mereka, tambah bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu lagi. Tetapi apakah yang berlaku selepas itu? Meneliti ucapan Datuk Seri Najib semasa majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO kemudiannya, ramai yang kecewa dengan intipati yang disampaikannya. 

Tiada perubahan, lesu dan hampir sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Satu-satunya perkara yang diingati oleh semua orang dalam ucapannya ialah tindakannya membuat pusingan U mengenai Akta Hasutan.  Setelah berjanji untuk memberi dimensi baru dalam pentadbirannnya yang berasaskan keterbukaan dengan berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan sejak 2012, dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 ini beliau berpatah balik dan memungkiri janjinya itu dengan mengatakan akta tersebut akan terus dikekalkan.  

Secara jelasnya tindakan ini menunjukkan rasa takutnya beliau untuk berubah setelah ditekan dan diasak oleh kumpulan kanan dan konservatif dalam UMNO. Datuk Seri Najib juga jelas gentar dengan suara-suara nyaring Perkasa, Isma dan lain-lain NGO Melayu yang tetap mahukan Akta Hasutan terus dipertahankan. 

 Dalam ucapan-ucapan jurucakap dan pembahas sepanjang Perhimpunan Agung UMNO ini, bukan saja agenda perubahan tidak terlihat ketara, bahkan aliran menegur dan mengkritik pemimpin dalam isu-isu semasa yang diperbualkan dalam masyarakat juga masih "jauh panggang daripada apinya". 

Tiada teguran yang berani dan membina kepada mana-mana pemimpin. Dalam isu rasuah, perilaku pemimpin, menolong orang Melayu, perumahan rakyat dan sebagainya, semua teguran dan pandangan yang dikemukakan hanya bersifat umum semata-mata. Mengenai hutang 1MBD yang dianggap turut membebankan negara sebagaimana ianya berterusan dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen PR, malah turut dikritik oleh Tun Mahathir dan Tun Daim, tiada jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berani menyoal atau bertanya secara terus-terang mengenainya, terutamanya kepada Datuk Seri Najib yang menubuhkan agensi pelaburan tersebut. 

Jurucakap daripada Kelantan, Ikmal Hisham Abdul Aziz bahkan memuji sumbangan khidmat masyarakat 1MDB, khususnya dalam menaja ribuan jemaah haji ke tanah suci Mekah sejak ia ditubuhkan.  Beliau juga cuba membodek Perdana Menteri dengan mengatakan mereka yang membangkitkan isu-isu negatif mengenai 1MDB adalah kerana cemburu dengan kejayaannya. 

Persoalannya, adakah Tun Mahathir dan Tuan Daim mengkritik 1MDB kerana cemburu juga? Mengenai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menjadi bualan masyarakat sejak dulu, jurucakap daripada UMNO luar negara, Nur Farhana Mohd Anuar secara terbuka menyalahkan blogger dan penggiat media sosial pro UMNO kerana didakwa lambat bertindak mempertahankan pelbagai serangan terhadapnya.  

Tanpa bertindak menyarankan agar Datin Seri Rosmah jangan berlebih-lebihan dalam bergaya, beraksi dan menonjolkan diri demi menjaga nama baik UMNO dan kerajaan atau sekurang-kurangnya meminta Perdana Menteri agar lebih "mengawal" karenah isterinya, amatlah menyedihkan apabila menyaksikan Nur Farhana yang sepatutnya mempunyai idealisme dan keberanian sebagai golongan muda akhirnya turut memilih kaedah bodek dan ampu di dalam Dewan Merdeka itu. 

Tindakan beliau itu bukan saja mengecewakan, malah bertentangan sama sekali dengan nilai dan naluri generasi muda yang lebih prihatin dengan ketelusan, pembaziran, kemewahan dan pertanggungjawaban. Yang harus disoal selepas mendengar majoriti ucapan di perhimpunan ini ialah di manakah berubahnya UMNO? 

Bukan saja saranan Tan Sri Muhyiddin agar pemimpin lama mengundurkan diri tidak disambut sewajarnya di mana hanya seorang pemimpin UMNO iaitu Datuk Syed Ali Alhabshee, Ketua UMNO Cheras yang sudah mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada 2016 nanti, yang lainnya seperti tidak mendengar langsung seruan berundur itu.  

Nada berucap para wakil serta jurucakap juga tidak banyak berbeza berbanding perhimpunan tahun-tahun sebelumnya. Keghairahan memuji dan membodek serta takut mengkritik pemimpin masih ketara dan membudaya. Tun Mahathir barangkali akan terus kecewa dengan wakil dan jurucakap yang nampaknya masih tidak berani menegur dan mengkritik pemimpin sebagaimana yang kerap disarankannya.  

Berakhirnya perhimpunan tahun ini, bermakna berakhir jugalah seruan kepada perubahan. Selepas ini, agenda perubahan akan berehat seketika dan tunggulah...ulang tayangnya akan dipersembahkan lagi pada perhimpunan tahun depan. Posted by mountdweller 

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena