Thursday 27 November 2014

Pencen kakitangan awam dalam bahaya? KWAP meluluskan pinjaman RM4 bilion kepada syarikat subsidiari 1MDB

Jumaat, 28 November 2014

Pencen kakitangan awam dalam bahaya?



Kakitangan awam perlu risau dengan kontroversi yang menyelubungi dana kekayaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana salah satu syarikat subsidiarinya tidak mampu membayar pinjaman RM4 bilion yang diambil daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang membayar pencen kerajaan, kata wakil rakyat pembangkang Rafizi Ramli.

“Jika kakitangan awam tidak mahu mengendahkan kontroversi 1MDB, mereka patut tahu pencen mereka dibayar oleh KWAP.

“Pada 2011, KWAP meluluskan pinjaman RM4 bilion kepada syarikat subsidiaru milik 1MDB. Wang itu kononnya untuk menjana sumber strategik syarikat.

“Tujuan syarikat itu ialah untuk membeli lombong arang batu dan uranium di Mongolia. Ini bagi membolehkan Malaysia mengawal pasaran arang batu dan uranium,” kata Rafizi pada satu forum bertajuk “1MDB: Ke Manakah Wang Rakyat?”, malam tadi.

Rafizi berkata syarikat subsidiari 1MDB yang mengambil pinjaman berkenaan diambil alih oleh Putrajaya, yang dianggap bertanggungjawab terhadap pinjaman itu.

Beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan persekutuan akan membayar semula RM4 bilion itu kepada KWAP, dan menganggap Putrajaya menggunakan potongan subsidi minyak untuk menyelesaikan hutang itu.

“Inilah mengapa Putrajaya mengurangkan perbelanjaannya untuk rakyat, kerana ia ada banyak hutang untuk dibayar,” kata ahli Parlimen Pandan dan setiausaha agung PKR itu kepada kira-kira 200 penonton di ibu pejabat Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Pandan Indah, semalam.

Pembangkang baru-baru ini mendedahkan surat sokongan Putrajaya kepada 1MDB, yang kini mempunyai hutang RM42 bilion.

Rafizi berkata Malaysia mungkin berdepan situasi sama seerti Greece dan Argentina jika hutang besar 1MDB terus meningkat.

Sebagai penjamin, Putrajaya terpaksa membayar hutang 1MDB kerana ia tertulis jelas dalam perjanjian pinjaman.

“Jika Malaysia lalai membayar balik, pemiutang ada kuasa untuk menyaman Malaysia di mahkamah Inggeris di England,” katanya, merujuk kepada syarat surat sokongan yang dikeluarkan Putrajaya.

Agentina dan Greece memohon bantuan kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) masing-masing pada 2000 dan 2010, selepas ekonomi mereka mencair.

Bagaimanapun, kedua-dua negara itu terpaksa membayar harga yang mahal bagi bantuan IMF kerana diberikan syarat ketat dengan melaksanakan termasuk langkah berjimat-cermat, perubahan struktur dan penswastaan aset kerajaan.

Rafizi menggambarkan 1MDB sebagai skandal kewangan terbesar di Malaysia, malah lebih besar daripada National Feedlot Corporation (NFC) yang membabitkan RM250 juta dana awam.

Turut hadir pada forum itu ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP) Tony Pua dan Ahli Parlimen Sepang (PAS) Mohamed Hanipa Maidin.

Rafizi berkata wakil Barisan Nasional dan 1MDB dijemput menghadiri forum itu tetapi tiada yang hadir.

Tiga wakil rakyat itu menggunakan forum berkenaan untuk menyenaraikan langkah silap 1MDB, termasuk penafian awal Putrajaya berhubung jaminan kerajaan terhadap bon AS$3.5 bilion.

Mereka mempersoalkan komisen 10% yang dibayar kepada Goldman Sachs, yang 100 kali lebih tinggi daripada amalan industri, dan kadar faedah 13.2% itu tidak masuk akal.

Pua berkata 1MDB meminjam lebih AS$1.2 bilion daripada PetroSaudi International Ltd dan apabila tidak mampu membayarnya, 1MDB beri mereka lebih banyak wang untuk membayar pinjaman terdahulu.

Pua turut membangkitkan mengenai pembelian tunai pengeluar tenaga persendirian (IPP) Tanjung dan Genting Sanyen yang terlalu mahal.

Isu lain ialah projek bukan rundingan terus diberikan kepada 1MDB untuk membina 2 loji janakuasa di Malaysia, yang tidak memerlukan permintaan tenaga.

1MDB juga memperolehi tanah utama daripada kerajaan di lapangan terbang Sungai Besi di Jalan Tun Razak di bawah harga pasaran, yang kini meningkat dalam nilai pasaran.

Wakil rakyat pembangkang itu menyentuh mengenai peletakan jawatan oleh auditor antarabangsa 1MDB Ernst & Young dan KPMG, tanpa menyerahkan akaun bagi 2 tahun pertama.

Rafizi berkata walaupun selepas semua ini, dana 1MDB bernilai RM7 bilion di pulau bebas cukai di Kepulauan Cayman, masih belum dipertimbangkan.

“Pulau itu sesuai untuk mafia, kenapa kerajaan kita meletakkan dana awam di sana? Apa yang mereka sembunyikan?,” soalnya.

Rafizi berkata jika ini dibiarkan dan hutang 1MDB terus meningkat, Malaysia akan muflis apabila tiba masanya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.

Pua berkata ada perbezaaan besar antara Khazanah Nasional Berhad dan 1MDB, dalam cara mereka beroperasi dan melabur.

“Khazanah hanya melabur dalam syarikat nasional yang matang dengan kepentingan strategik nasional. Tetapi hingga hari ini, tidak ada sesiapa boleh beri penjelasan apa sebenarnya yang 1MDB buat,” katanya.

1MDB menerima banyak kritikan kerana hutangnya yang menimbun, penggunaan wang dan operasi yang tidak jelas.

Antara pengkritiknya ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa Putrajaya menjelaskan bagaimana dana itu dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“1MDB dikatakan dana kekayaan negara, tetapi ia tidak. Ia adalah wang yang kita pinjam. Bila kita pinjam, kita kena bayar balik. Ini bukan kekayaan,” kata Dr Mahathir.

Sementara itu, Pua menerima surat tuntutan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang mendakwa wakil rakyat DAP itu membuat kenyataan fitnah terhadapnya.

Pua diminta menyiarkan penarikan balik kenyataan dan mohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang berhubung ucapannya dalam video bertarikh 3 November yang bertajuk, “Tony Pua: Najib mencipta skandal terbesar dalam sejarah Malaysia”.

Peguam Najib berkata Pua dalam video itu secara tersirat menunjukkan Najib tidak cekap sebagai perdana menteri, berkonspirasi menentang negara, rasuah, merompak dan salah guna wang rakyat, dan menyalahgunakan kuasanya sebagai pemimpin parti politik.

Hadirin dalam forum semalam tergelak apabila Rafizi berlawak mengenai 1MDB, termasuk memberikan akronim baru yang membawa maksud “1Malaysia Dalam Bahaya” ~ The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena