Thursday, 1 October 2015

PKR 'BERTELAGAH' pulak berhubung Penubuhan Pakatan Harapan..."Pemimpin PKR 'Sayang' PAS Hantar Petisyen"

Jumaat, 2 September 2015
 PKR Bertelagah Berhubung Penubuhan Pakatan Harapan
Hanya 2 minggu selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Pakatan Harapan, parti yang dipimpinnya berpecah belah berhubung isu ini, dengan satu pihak mendesak mesyuarat khas untuk membincangkan tentang gabungan pembangkang baharu itu.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan bertemu Ahad depan selepas satu petisyen kepada presiden, yang ditandatangani 25 ahli menuntut supaya satu mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan pembentukan "mengejut" pakatan baharu itu.

Dalam petisyen bertarikh 22 September, 25 ahli berkenaan berkata mereka percaya pelancaran Pakatan Harapan tidak memihak kepada keputusan yang dibuat PKR dalam mesyuarat MPP, 2 hari sebelum perbincangan meja bulat.

"Kami, seperti senarai nama dilampirkan, amat terkejut dan bimbang mengenai tindakan dan keputusan tergesa-gesa penubuhan Pakatan Harapan yang diumumkan selepas sesi Sidang Meja Bulat di Hotel Empire pada Rabu, 21 September, 2015," menurut petisyen itu, yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider. (Sidang meja bulat itu diadakan pada 22 September).

"Pada sidang mesyuarat MPP pada Ahad, 20 September, 2015, MPP bersetuju dan menyokong segala usaha gigih presiden meneruskan perundingan dengan semua pihak ke arah penubuhan pakatan baharu termasuk mempelopori persidangan meja bulat tersebut.

"Secara jelas, MPP meminta agar tiada pengumuman dibuat semasa sesi tersebut, sebaiknya membuka ruang seluas mungkin untuk beberapa sesi rundingan seterusnya," tulis petisyen dilihat The Malaysian Insider itu.

Petisyen itu berkata, perbincangan meja bulat, yang berakhir dengan Dr Wan Azizah mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan, sepatutnya hanya menjadi "perbincangan awal".

Dalam surat kepada ahli PKR pada 30 September ditunjukkan kepada The Malaysian Insider, Setiausaha Agung Rafizi Ramli mengumumkan mesyuarat tergempar MPP akan diadakan pada 11 Oktober bagi membincangkan perkara yang dibangkitkan dalam petisyen itu.

Bagaimanapun, Rafizi serta beberapa penandatangan petisyen itu, termasuk Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, Latheefa Koya dan N Surendran, enggan mengulas ketika dihubungi The Malaysian Insider, atau tidak dapat dihubungi dengan segera bagi mendapatkan komen.

"Saya baru saja melihat surat itu (daripada setiausaha agung). Saya enggan mengulas mengenai perkara itu," Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran memberitahu The Malaysian Insider.

Latheefa menafikan pernah menandatangani petisyen, manakala Chua yang lebih dikenali sebagai Tian Chua berkata beliau tidak akan mengulas mengenai perkara itu.

Tetapi beberapa sumber pihak mengesahkan kepada The Malaysian Insider yang surat dan petisyen itu adalah tulen, dan mendakwa ia diterajui kumpulan yang diketuai Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, sekalipun ia tidak menandatangani petisyen itu.

Azmin bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk memberikan penjelasan.

Satu sumber PKR memberitahu The Malaysian Insider, mereka yang menentang Pakatan Harapan percaya PAS perlu menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang.

Sumber itu, yang mengaku menyokong Pakatan Harapan menambah, penandatangan petisyen itu silap apabila mereka berkata presiden bertindak bertentangan dengan kehendak MPP.

"Selepas kami berbincang dengan panjang lebar dalam mesyuarat pada 20 September, presiden akhirnya memberitahu MPP: 'Beri saya mandat untuk membuat keputusan apa yang perlu dilakukan semasa perbincangan meja bulat'.

"Dan mereka bersetuju dengan itu. Jadi ia tidak sepatutnya menjadi isu sama sekali," kata sumber itu dengan syarat tidak dinamakan.

Beliau mendakwa tidak semua penandatangan sebahagian daripada "puak Azmin"; beberapa penandatangan kemudian menyesal menandatangani petisyen itu apabila keadaan situasi dijelaskan kepada mereka, katanya.

Sumber itu berkata, beliau berpandangan tiada gunanya melambatkan pelancaran Pakatan Harapan kerana PAS tidak akan mahu menyertainya.

"Malah presiden PAS tidak menghadirkan diri semasa mesyuarat presiden Pakatan Rakyat, kita berdepan dengan pertandingan 3 penjuru dalam pilihan raya dengan mereka sebagai sekutu, mereka menghina presiden kami.

"Kami mencuba sedaya upaya, tetapi apa gunanya mempunyai mereka dalam gabungan baharu itu? Kita juga tahu mereka tidak akan menyertai pakatan dengan DAP dan Amanah.

"Bagaimanapun, kami tidak memutuskan hubungan dengan PAS sama sekali. Pakatan Harapan masih akan bekerjasama dengan PAS.

"Cuma PAS tidak akan berkongsi dasar bersama atau manifesto dengan pihak dalam Pakatan Harapan," kata sumber itu.

Sumber itu berkata, "puak" dalam PKR sentiasa wujud, dan penandatangan perlu menerima hakikat keputusan Dr Wan Azizah adalah muktamad.

Pada 22 September, Dr Wan Azizah mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan, pakatan pembangkang baharu bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang dibubarkan kerana pertikaian tidak dapat diselesaikan di antara DAP dan PAS.

Pakatan baharu terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah). PAS, salah satu ahli asal Pakatan Rakyat, tidak menghadiri mesyuarat itu.

Dr Wan Azizah juga mengumumkan Pakatan Harapan bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi pilihan mereka sebagai perdana menteri jika mereka berjaya menawan Putrajaya. – The Malaysian Insider/2 Oktober, 2015.
DIALOG AMANAH

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena