Thursday 12 October 2017

[Video Saman RM2.6b: Mahkamah arah Najib, Zahid failkan pembelaan] Warisan pikat sokongan satu demi satu etnik Sabah...'Warisan boleh menang 48 daripada 60 kerusi Sabah".

Khamis, 12 Oktober 2017

Image result for Foto Shafie Apdal

Warisan pikat sokongan satu demi satu etnik di Sabah

SELEPAS hampir setahun menerajui Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal yakin beliau sudah mula memenangi sokongan daripada masyarakat pelbagai etnik di negeri itu, termasuk Kadazan Dusun Murut (KDM).
Kali terakhir etnik yang berbilang di Sabah bersama di bawah naungan sebuah parti politik ialah pada pilihan raya umum 1985, ketika Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Joseph Pairin Kitingan, yang baru ditubuhkan tidak sampai 50 hari, mengalahkan Berjaya melalui kerjasama dengan Usno yang diketuai Mustapha Datu Harun.
Biarpun dicela sebagai "parti Suluk" atau "parti lanun" oleh pengkritiknya, Warisan sudah mendapat sokongan yang memberangsangkan daripada masyarakat KDM.
Shafie berkata sokongan itu jadi lebih bermakna kerana ahli keluarga dua "gergasi politik" Sabah dari etnik KDM sendiri – Kitingan bersaudara pun ikut sama menyertai Warisan.
"(Joseph) Pairin Kitingan masih ada lagi, masih ada dengan PBS. Jeffrey Kitingan pun masih ada, tetapi adik-adik mereka bersama dengan saya.
"Apakah maknanya ini? Mereka ada pilihan. Kalau tidak Pairin, mereka boleh ikut Jeffrey. Kalau tidak mahu ikut Jeffrey, boleh ikut Pairin. Tetapi mereka ikut parti Warisan. Ini sokongan Kadazan," katanya, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, semalam.
Dua beradik Kitingan yang disebut oleh Shafie ialah adik lelaki dua gergasi politik itu, Crispin Kitingan dan adik perempuan bongsu, Juliana Kitingan.
"Biar apa pun tuduhan dan penghinaan terhadap Warisan… oh, ini parti Suluk, parti lanun, mereka ini bersama dengan kita."
Rujukan "suluk" dan "lanun" boleh dianggap satu cemuhan kepada keturunan Shafie. Perkataan itu juga dianggap menghina di Sabah kerana dikaitkan dengan jenayah rentas sempadan dan penculikan untuk tebusan yang dilakukan oleh militan dari selatan Filipina.
Pairin, yang juga Huguan Siou atau pemimpin utama KDM, sebelum ini membayangkan mahu bersara daripada politik dan tidak bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang. Beliau kini ahli Parlimen Keningau dan menerajui PBS, sebuah komponen Barisan Nasional (BN).
Jeffrey pula mengetuai Parti Solidariti Tanah Airku (Star), yang bersama tiga parti lain – Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Harapan Rakyat Sabah dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah – membentuk gabungan pembangkang tempatan atas nama Gabungan Sabah.
Kenapa Warisan?
Crispin pada Mei lalu menjelaskan alasan kepada beliau memilih Warisan dan bukan PBS atau Star yang dipimpin oleh abangnya. Katanya, PBS sudah terbabas daripada landasan asal perjuangan untuk rakyat Sabah manakala Star baginya, sebuah parti yang rapuh yang tidak akan mampu menyekat BN.
"Gabungan Sabah tidak berkemampuan menghalau Umno-BN dari Sabah," katanya dalam satu ceramah di Pitas, pada Mei lalu.
Crispin juga menyifatkan Warisan sebuah parti berbilang etnik yang berpegang pada prinsip menyatukan rakyat Sabah merentas agama dan kaum.
Orang No. 2 Warisan yang juga Ahli Parlimen Penampang, Darrel Leiking juga seorang KDM yang berjuang untuk hak istimewa warga Sabah, kata Crispin.
Ketua Penerangan Warisan Alfred Bosuin, seorang lagi pemimpin etnik Kadazan dusun yang menyertai parti baru itu, berkata hanya Warisan yang menawarkan peluang kepada rakyat Sabah untuk bersatu di bawah payung sebuah parti politik berbilang kaum.
"Kita tidak percaya kepada politik perkauman," katanya, sambil mengingatkan kerencaman Sabah yang mempunyai 32 suku kaum.
"Inilah masanya untuk merebut semula semangat orang Sabah itu," katanya.
Sementara itu, bagi sukarelawan parti Chris Masudal, beliau menyertai Warisan kerana percaya parti itu ada banyak pemimpin muda yang bersungguh-sungguh mahu mencipta legasi baru politik di Sabah yang lebih dihormati.
"Ini jauh berbeza dengan penyokong muda BN yang masuk politik untuk mengisi poket," katanya.
Beliau mengakui Gabungan Sabah juga memperjuangkan hak untuk Sabah, seperti Warisan, tetapi pakatan empat parti tempatan itu tidak akan dapat melawan kekuatan BN.
"Gabungan Sabah, dengan ahli politik lamanya, mereka itu mudah mengalah apabila digertak, sama bagaimana BN melayan komponennya seperti Upko dan PBS."
Shafie berkata Warisan, yang genap setahun penubuhannya Selasa ini, dapat menarik minat dan perhatian pelbagai etnik di Sabah kerana dasar perjuangan mengangkat hak rakyat Sabah.
"Saya membawa suara rakyat dari Sabah untuk mengubah Sabah, daripada sebuah kerajaan yang sangat rasuah menjadi sebuah kerajaan, InsyaAllah, yang menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya.
"Ini perjuangan rakyat, kepentingan rakyat, suara rakyat."
Beliau berkata rakyat Sabah, sama seperti seluruh rakyat Malaysia, sudah bosan dengan kerajaan BN yang memerintah sekarang dan "hanya mahu menukar sistem" dan menyusun semula negara.
"Saya fikir rakyat Malaysia hanya mahukan perubahan. Saya percaya begitu," katanya.
Hati-hati
Dalam wawancara itu, Shafie bagaimanapun cukup berhati-hati menjawab semua soalan tentang strategi politiknya menjelang pilihan raya umum yang boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum Ogos tahun depan.
Ditanya tentang kerjasama dengan Pakatan Harapan dari Semenanjung Malaysia, Shafie berkata Warisan menyokong usaha PH mahu menjatuhkan BN "tetapi saya tidak akan menyertai mereka".
"Kita ada persefahaman. Saya tidak menyertai (PH) kerana saya memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah.
"Saya tidak mahu sekiranya kita menyertai pakatan dan membentuk kerajaan, apa saja hak yang dituntut oleh rakyat Sabah kemudiannya akan dibatalkan oleh Pakatan.
"Segala amanah dan harapan yang diberikan oleh rakyat Sabah kepada saya ini akan jadi sia-sia."
Tentang kerjasama dengan parti lain di Sabah termasuk Gabungan Sabah, Shafie berkata: "Kita tengok nanti, bagaimana."
Beliau juga enggan mendedahkan apakah sudah ada perbincangan ke arah membentuk kerjasama.
"Sekiranya kepentingan yang diperjuangkan itu sama, ia akan jadi lebih mudah," katanya.
Peluang Warisan
Ditanya tentang peluang Warisan untuk membentuk kerajaan negeri baik bersendirian atau bersama parti lain serta sasaran kerusi Parlimen yang boleh ia menang, Shafie juga enggan mengulas lanjut.
"Kita tengok saja nanti."
Beliau turut enggan menyatakan apalah Warisan akan bertanding semua kerusi kawasan dewan undangan negeri.
"Kita tengok nanti," katanya, sebelum menambah: "Kita mahu menang pilihan raya. Kita mahu bentuk kerajaan negeri. Kita bukan mahu jadi pembangkang."
"Boleh jadi bersendirian, boleh jadi tidak. Kita tengok saja nanti."
Shafie sebaliknya hanya mengatakan Warisan sudah ada pelan dan strategi untuk kempennya menakluki Sabah.
"Saya tak mahu nyatakan semuanya tetapi cukup dengan saya mengatakan bahawa kita sudah bersedia," katanya.
Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 60 kerusi dengan 35 daripadanya terletak di kawasan majoriti pengundi Muslim, 18 kerusi di kawasan majoriti Kadazan dusun, empat kawasan majoriti pengundi Cina dan tiga kerusi campuran.
Persempadanan semula yang sedang dirancang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bakal menambah 18 kerusi baru, semuanya di kawasan majoriti Muslim.
Dalam kalangan penyokong Warisan, mereka percaya sekiranya parti berumur baru setahun itu bertanding di semua kerusi negeri, ia boleh menang sekurang-kurangnya 48 daripada 60 kerusi. – 12 Oktober, 2017.
The Malaysian

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena