Politik ganas tiada tempat di Kelantan
Masyarakat Kelantan yang terkenal dengan budaya harmoni, mesra dan bertolak ansur tidak akan membenarkan politik ganas menyelinap masuk.
Mengulas insiden rempuhan gerombolan pemuda Pas ke perkarangan pejabat parti Amanah negara di Salor malam tadi,
Naib Pengerusi Amanah Kelantan Profesor Dr Datuk Abdul Halim Yusuf berkata tidak pernah berlaku sikap biadap seperti itu terjadi dalam sejarah politik negeri ini.
“Bangunan itu masih pejabat kami yang kami duduki dengan halal dan tidak dinafikan sesiapapun.
“Seperti rumah tangga yang kita duduki walaupun bukan milik kita, ia dilindungi Allah, Rasul dan syariat daripada dicerobohi oleh sesiapa.
“Bila rumah itu bukan rumah kita, Al Quran menegaskan kita tidak boleh masuk kecuali melalui pintunya, yang bermaksud dengan kebenaran dan redha tuan yang ada di dalamnya,” katanya.
Pencerobohan oleh pemuda Pas malam tadi menurutnya bercanggah dengan apa sahaja undang-undang dan peradaban manusia yang bertuhan dan yang tidak bertuhan.
“Ini satu contoh politik ganas yang tidak pedulikan nilai-nilai harmoni dan tolak ansur yang menjadi pegangan sejagat.
“Mereka kata, mereka nak pacak bendera di luar bangunan atau di tepi jalan tetapi tempat itu masih lagi dikira perkarangan pejabat kita.
“Saya ingin tanya kepada pemimpin-pemimpin Pas bolehkah orang parti lain buat begitu di hadapan rumahnya,” katanya.
Beliau bersyukur kerana para pemuda Amanah dan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Harapan (PH) dapat mengawal diri dan bersabar menghadapi situasi kritikal seperti itu.
“Siapa akan bertanggungjawab jika berlaku perkara tidak diingini malam tadi kerana sebagai tuan rumah yang masih sah di sisi moral dan undang-undang menjadi hak kepada mereka untuk mempertahankan diri dari diceroboh,” katanya.
Beliau yang mengucapkan terima kasih atas sokongan orang ramai yang bersimpati dengan Amanah dan PH yang turut hadir malam tadi.
“Saya sendiri tidak sempat hadir malam tadi kerana terpaksa meraikan sahabat-sahabat yang membuat majlis khas sempena persaraan saya.
“Bagaimanapun saya mengikuti perkembangan terus menerus melalui infomasi media sosial rakan-rakan yang ada di situ.
“Amat jelas cara pemuda Pas malam tadi begitu rakus dan tidak mempedulikan keharmonian,”katanya.
Beliau yakin rakyat Kelantan yang sudah semakin sedar dengan tindak tanduk Pas ini akanmembuat keputusana baru dalam pilihanraya nanti.
“Masyarakat kita yang lemah lembut, berbudi bahasa dan hormat menghormati tidak akan membenarkan politik jenis ini menguasai Kelantan.
“Saya menyeru Amanah dan semua parti dalam PH terus menambahkan usaha menjelaskan kepada rakyat untuk menolak politik kleptokrasi amalan BN dan politik anti sosial bawaan Pas,” katanya.
Dalam insiden malam tadi turut serta adalah ketua pemuda Pas pusat Khalil Abdul Hadi dan ketua pemuda Pas Kelantan Fadhli Shaari.
Ketua pemuda Amanah Kelantan Zulhasmi Hassan, ketua pemuda Pakatan Harapan Kelantan Roslan Ismail, ketua wanita PH Norashidah Jaafar serta pemimpin-pemimpin pemuda parti-parti anggota PH bersama penyokong dan orang ramai yang bersimpati turut berada di Wisma Tok Guru malam tadi.
Malaysia Dateline
0 comments:
Post a Comment