Thursday, 28 December 2017

[Video Amanah Gesa Presiden Pas Jawab Saman RM1Bilion] PKR letak 3 syarat untuk Dr Mahathir jadi calon PM.

Jumaat, 29 Disember 2017

PKR letak 3 syarat untuk Dr Mahathir jadi calon PM

PKR letak 3 syarat untuk Dr Mahathir jadi calon PM
PKR meletakkan tiga syarat untuk bersetuju menamakan pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.

PKR meletakkan tiga syarat sebelum bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
PKR membuat keputusan itu semasa mesyuarat biro politik pada 19 Disember lalu yang dihadiri pemimpin-pemimpin kanan parti itu.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, syarat pertama ialah sebaik sahaja PH mengambil alih Putrajaya selepas PRU14, Anwar perlu dibebaskan dengan segera dan dilantik sebagai perdana menteri dalam tempoh enam hingga dua belas bulan.
“Syarat kedua pula ialah, PKR perlu diberikan kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain dalam PH iaitu sebanyak 60 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia,” kata sumber yang menghadiri mesyuarat itu dengan syarat tidak dinamakan.
“Syarat ketiga ialah, Dr Mahathir perlu bersetuju untuk melakukan reformasi kepada institusi-institusi penting di negara ini.”
Dalam satu pemukiman yang diadakan PH pada 1 dan 2 Disember lalu, tiga parti komponen Amanah, DAP dan Bersatu sudah bersetuju menamakan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya berjaya merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, keputusan itu tidak dapat diumumkan kerana PKR mahu membincangkan perkara itu terlebih dahulu pada peringkat parti. 
Seorang lagi sumber yang tahu tentang mesyuarat biro politik PKR minggu lepas berkata syarat-syarat itu akan dibawa kepada Dr Mahathir dan beliau perlu menurunkan tandatangan tanda persetujuan.
“Kita mahu Dr Mahathir berjanji, beliau hanya akan menjadi perdana menteri sementara sahaja dan serahkan kerusi itu kepada Anwar bila sampai waktunya.
“PKR juga mahu kerusi paling banyak kerana bimbang ramai pemimpin Umno akan melompat menyertai Bersatu selepas PRU14 menjadikan parti itu paling kuat dalam Pakatan Harapan,” kata sumber itu lagi.
Sumber itu menambah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail ditugaskan untuk membawa “surat” perjanjian itu kepada Dr Mahathir.
“Selain itu, Saifuddin juga perlu berjumpa dengan pemimpin-pemimpin kanan PH lain seperti Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu untuk meyakinkan mereka supaya bersetuju dengan syarat ini,” katanya.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini berkata tiada keutamaan bagi PH untuk menamakan calon perdana menteri pada masa ini. 
Katanya, semua parti dalam PH kini sedang memberi tumpuan untuk menang PRU14 dan melaksanakan agenda perubahan. 
Dua minggu lalu, Dr Mahathir berkata, beliau bersedia untuk menjadi calon perdana menteri sekiranya PH “terdesak” dan tidak mempunyai calon lain.
Penganalisis berpandangan, cadangan menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri merupakan strategi PH untuk memenangi undi Melayu luar bandar yang selama ini dikuasai Umno. 
Ini kerana keputusan PRU13 lalu membuktikan, walaupun gabungan pembangkang pada ketika itu berjaya memenangi 52% undi popular dan sebahagian besar sokongan bukan Melayu, mereka tidak dapat menawan Putrajaya tanpa sokongan Melayu luar bandar.
Sementara Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Dr Mahathir mempunyai sokongan Melayu lebih kuat berbanding Anwar dalam kalangan Melayu luar bandar.
Menurut Presiden Amanah itu, semenjak Dr Mahathir memimpin PH, gabungan itu lebih tersusun dan berstruktur. 
Sebelum ini, keputusan untuk menamakan senarai pimpinan Majlis Presiden PH tertangguh lebih dua bulan kerana PKR.
Pada ketika itu, perdebatan berlaku dalam PKR sama ada menerima atau tidak Dr Mahathir sebagai pengerusi PH. 
PKR ditubuhkan pada 2005 selepas Parti Keadilan Nasional (Keadilan) bergabung dengan PRM.
Keadilan ditubuhkan pada tahun 1999 sebagai protes kepada pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan daripada Kabinet Dr Mahathir.
Semenjak 1998 Dr Mahathir dan Anwar merupakan seteru politik sehinggalah apabila bekas perdana menteri itu melawat bekas timbalannya di mahkamah pada 2016. – 28 Disember, 2017.
TMI

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena