SELEPAS CHINA, CHINA DAN SEKALI LAGI CHINA JUGA....
Menurut laporan sebuah akhbar Singapura, pelupusan aset 1MDB kepada sebuah syarikat China telah membantu mengumpul dana untuk membayar hutang syarikat pelaburan itu yang berjumlah AS$602.7 juta kepada IPIC yang perlu dijelaskan sebelum hujung tahun ini.
Bagi tujuan itu, 1MDB dikatakan menjual instrumen kewangan dan kepentingan dalam dua entiti yang menguasai tanah di Selangor dan Pulau Pinang kepada syarikat China tersebut.
Tanah milik 1MDB di Air Hitam, Pulau Pinang adalah seluas 234 ekar, manakala di Pelabuhan Kelang, Selangor pula luasnya 310 ekar.
Sebetulnya saya sudah menulis mengenai perkara ini dalam posting bertajuk "BERITA MENARIK YANG TIDAK MENARIK" pada 21 Disember lalu sebaik dilaporkan 1MDB telah menjelaskan hutangnya kepada IPIC lebih awal daripada tarikh 31 Disember sebagaimana yang ditetapkan.
Ditulis dalam posting tersebut bahawa dengan lengkapnya pembayaran oleh 1MDB kepada IPIC itu, bermakna secara rasminya lenyap dan lupuslah wang yang tersalah bayar kepada syarikat Aabar palsu sebelum ini.
Dengan itu, ia sekaligus adalah berita sedih buat kita semua kerana duit yang tersalah bayar itu akan kekal hilang buat selama-lamanya.
Selain itu, dengan adanya bantuan daripada syarikat China kali ini, setelah bayaran pada Julai lalu tertangguh selama sebulan dan kemudian dikenakan bayaran tambahan AS$50 juta, secara tidak langsung memungkinkan penguasaan negara itu pada skala yang lebih besar dalam prospek ekonomi negara selepas ini.
Posting penuh tulisan berkenaan boleh dibaca di sini - http://shahbudindotcom.blogspot.my/2017/12/berita-menarik-yang-tidak-menarik.html
Apa yang nyata juga, dengan sekali lagi mendapat bantuan daripada China, setelah sebelum ini Edra Energy dan Bandar Malaysia turut dijual kepada China, bermakna pergantungan dan hutang budi 1MDB kepada China jadi semakin membesar.
Apakah China SeChina-Chinanya akan terus menguasai negara kita sekiranya Najib, UMNO dan BN terus berkuasa? (ShahbudinHusin 28/12/2017).
0 comments:
Post a Comment