Bersatu adalah parti rakyat untuk rakyat
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah sebuah parti rakyat untuk rakyat.
Justeru, calon yang akan bertanding bagi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 adalah calon rakyat yang mahu melawan pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan dasarnya pada Mesyuarat Agong Pertama partinya hari ini berkata, usaha untuk mengembelingkan rakyat dalam usaha merampas balik hak rakyat daripada BN perlu dibuat bersama antara parti itu dengan parti gabungan dalam Pakatan Harapan.
“Saya ingin tegaskan parti PPBM adalah parti rakyat untuk rakyat sebenar-benarnya.
“Kami bukan berjuang untuk kepentingan pengerusi, presiden atau kepimpinan tertinggi.
“Kita bukan tubuh parti ini supaya sipolan-sipolan itu dapat apa yang diidamkannya.
“Kita tubuh parti ini untuk jatuhkan Najib, Umno dan BN.
“Saya ingin ulangi parti PPBM ini ditubuhkan untuk satu tujuan sahaja iaitu untuk mencapai matlamat rakyat supaya dijatuhkan kleptokrasi pimpinan Najib,” ujarnya.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan turut berkata, partinya tidak mungkin dapat kalahkan BN sekiranya bersendirian tanpa menyertai parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan.
“Untuk menang kita perlu bergabung dengan parti-parti yang berhaluan sama. Sekarang kita sudah tubuh Pakatan Harapan iaitu gabungan tiga parti lain.
“Tiap satu daripada parti dalam Pakatan Harapan akan diberi sebilangan dari kawasan pilihan raya.
“Dalam kebanyakan kawasan ini calon yang bertanding adalah dari parti lain dalam Pakatan Harapan. Tetapi kita perlu tentukan calon dari parti lain ini mendapat kemenangan
“Kenapa? Sebabnya di kawasan yang calon dari PPBM hanya boleh menang jika ahli dan penyokong tiga parti lain dalam Pakatan Harapan juga NGO memberi sokongan kepada kita.
“Jika PPBM tidak sokong calon Pakatan Harapan di kawasan lain jangan harap calon PPBM akan dapat sokongan dari tiga buah parti lain dalam Pakatan Harapan,” ujarnya memberi ingatan kepada ahli dan perwakilan Bersatu.
Tambah beliau lagi, untuk mencapai matlamat Pakatan Harapan menumbangkan BN beliau menasihati agar parti-parti dalam gabungan itu tidak boleh bersendirian pada pilihan raya umum kali ini.
“Sebab kita (PKR, AMANAH, DAP dan Bersatu) bergabung kerana jika kita bersendirian tidak satu pun dari parti dalam Pakatan Harapan akan dapat tewaskan BN yang mempunyai 13 komponennya.
“Sebab itu semua parti ini perlu ketepikan perasaan masing-masing supaya dapat bergabung dan menolong semua parti dalam PRU14 kelak untuk dapat kemenangan menjatuhkan Najib dan BN.
“Mendapat kawasan untuk parti bertanding sahaja tidak memadai walaupun semua parti gabungan menyokong.
“Tak kurang penting populariti parti dan calon dalam kalangan orang ramai yang tidak menyertai mana-mana parti yang akan mengundi di kawasan tertentu. Menolak pilihan mereka akan mengundang kekalahan,” tegasnya.
Beliau berucap di hadapan 983 perwakilan yang hadir dan pemerhati.
Turut hadir barisan pimpinan tertingggi Pakatan Harapan antaranya Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Tan Kok Wai.
MD.
0 comments:
Post a Comment