Tuesday, 19 February 2019

[Video Usul turunkan had umur mengundi dibentang pada sidang Parlimen ini] Mat Sabu: RM500j rugi urus niaga tukar tanah Mindef.

Selasa, 19 Februari 2019
Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun pada sidang Parlimen Mac ini. "Insya-Allah saya sasarkan (bawa usul) pada sesi ini. Sebab itu kita tengah bincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk buat pindaan perlembagaan tersebut," kata menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada pemberita selepas sesi townhall parlimen Belia Malaysia (PBM) di Kuala Lumpur, hari ini. Had umur layak mengundi pada masa ini ialah 21 tahun. Penurunan had itu termasuk dalam janji manifesto Pakatan Harapan pada PRU ke-14. Pada 19 September lalu, kabinet bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu. Syed Saddiq yang juga anggota parlimen Muar berkata, pihaknya juga menggerakkan jawatankuasa anak muda yang menghimpunkan wakil parti-parti politik dalam usaha ke arah menurunkan had umur layak mengundi. “Kita panggil Bersatu, PAS, Umno dan yang lain-lain dan mereka capai konsensus dalam isu ini,” katanya. Selain itu, beliau berkata kementeriannya akan mengusulkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun ke 30 tahun. "Jika ikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia sekarang, (had umur) 40 tahun ke bawah. Sebab itu saya akan bentangkan dalam sidang Parlimen kali ini atau akan datang untuk turunkannya kepada 30 thaun. Di negara lain had piawaian umur belia adalah 28 tahun ke bawah tetapi kita masih tersekat di umur 40 tahun," katanya lagi.
KiniTV

Mat Sabu: RM500j rugi urus niaga tukar tanah Mindef

Urus niaga tukar tanah (land swap) melibatkan Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengakibatkan kerugian dan ketirisan lebih RM500 juta, kata menterinya Mohamad Sabu.
Beliau berkata perkara ini didedahkan dalam laporan penelitian khas Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan bekas ketua audit negara Ambrin Buang.
Malaysiakini difahamkan terdapat 16 projek sebegitu sejak 1997 sehingga sekarang.
Menurut Mohamad, projek tukar tanah ini melibatkan 2,933 ekar Kementerian Pertahanan bernilai RM4.75 bilion, dengan kos projek sebanyak RM4.88 bilion.
"Jawatankuasa siasatan khas juga mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan sepanjang pelaksanaan projek land swap adalah melebihi RM500 juta.
"Kementerian dimaklumkan bahawa majoriti pelaksanaan projek land swap sebelum ini adalah tidak dirancang dengan teliti dan pemilihan syarikat pemaju tidak dilaksanakan due diligence yang komprehensif.
"Terdapat juga campur tangan politik dalam pemilihan lokasi land swap tersebut yang bertujuan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu.
"Keadaan tersebut telah menyebabkan sebahagian projek telah melangkaui tempoh kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini. Malahan terdapat projek yang telah disiapkan tetapi kualiti pembinaan tidak memuaskan," katanya.
Mohamad telah mengarahkan pegawai di Kementerian Pertahanan untuk membuat laporan kepada polis, SPRM dan pihak berkuasa berkaitan.
"Sehubungan itu, saya akan mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi berkaitan yang lain untuk menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan lanjut seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang," jelasnya.
Dari 1997 sehingga 5 Mei 2018 sudah enam pemimpin menjadi menteri pertahanan, iaitu Syed Hamid Albar, Najib Razak, Abdullah Ahmad Badawi, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein.
Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena