Gambar hiasan
PAS Bakal Mengundang Kegagalannya?
- Dr.Dzulkefly Ahmad
Penulis berpandangan PAS kini berada di kedudukan politik terkuat dalam sejarah jatuh-bangunperjuangannya. Sekali pandang, pernyataan ini semacam mudah disanggah pemerhati politik.
Benar, PAS merekodkan prestasi pilihan raya terbaiknya pada Pilihan Raya Umum ke 10 (PRU 10) pada tahun 1999. PAS menang 43% (27 daripada 63) kerusi Parlimen yangditandinginya sekaligus presidennya diangkat sebagai ketua pembangkang Parlimen Malaysia.
PAS memerintah dua negeri, Kelantan dan Terengganu. Jumlah kerusi Parlimen ketika itu ialah 193. Juga benar, PAS tidak dapat mengatasi prestasi terbaiknya ini dalam kedua-dua PRU ke-12 (2008) dan ke-13 (2013) yang lepas.
Pada PRU ke-12, PAS menang 34% kerusi Parlimen yang ditandingi (menang 23 daripada 67 kerusi) dan mengalami penurunan ke paras 28% (menang 21 daripada 73) pada 2013. PAS menawan Kedah pada PRU-12 namun hilang negeri tersebut pada PRU ke-13 lalu. Jumlah kerusi Parlimen terkini ialah 222. Kalau begitu, mengapakah penulis tetap mengatakan PAS berada pada sisi terkuat dewasa ini?
Kekuatan sesebuah parti politik tentunya perlu diukur dari pelbagai sisi dan dimensi. Lebih sukar atau juga tersasar kalau mengukur kekuatan politik hanya dengan jumlah kerusi diParlimen. Tambahan kalau kemenangan itu disebabkan faktor situasi luaran.
Kekuatan PAS pada PRU 10 tidak syak lagi disebabkan “tsunami Melayu” yang menolak Umno-Barisan Nasional (UBN) akibat kezaliman mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. PAS meraih laba politik paling besar dalam PRU 1999, dan tidak langsung mendapat sokongan kaum bukan- Melayu. Malangnya, kekuatan tersebut tidak dapat lama bertahan. Ya, sebaik sahaja mula sesi parlimen ke-10 (1999-2004), PAS mula hilang arah cerita atau "lost the plot".
Bahkan ada pimpinan yang mula menyebut PAS menang.kerana orang Melayu mahukan PAS perjuangkan Negara Islam. PAS, malangnya juga mudah lupa. “Memorandum Rakyat”, sebuah peninggalan legasi Al-Marhum Datuk Fadzil Noor sebagai respons cabaran Dr Mahathir, segera mengalami pertukaran kepada judul “Dokumen Negara Islam”.
Pesanan Al-Marhum kepada penulis dan.rakan-rakan think-tank parti lain, supaya memorandum tersebutditajukkan sebagai “Penghayatan Sebuah Pemerintahan Abad 15H/21Masehi”, hilang dalam hiruk pikuk polemik tentang dokumen yang perlu dibentangkan kepada rakyat ketika itu. Penulis dan think-tank parti lain terpaksa akur. Barisan Alternatif (BA) terus berkeberentakan sehingga menyaksikan DAP keluar gabungan pada September 2001.
Gabungan BA, baru berumur 2 tahun. PKR (dulunya PKN) terus renggang daripada PAS, masing-masing membawa haluan perjuangan sendiri, meskipun BA wujud pada nama, lambang dan cogan kata, tetapi tidak lagi pada gerak kerja.
Akibatnya, daripada kepimpinan PASyang"terlupa"menguruskan"kekuatan.baharunya", mereka dihukum dan dipukul teruk dalam PRU ke-11 pada 2004.Dari 27 kerusi, PAS hanya tinggal 6 kerusi Parlimen. PAS kecundang untuk pertahan pentadbiranya di Terengganu dan hampir- hampir kehilangan Kelantan.
Ketika Jawatankuasa Post-Mortem PAS Pusat PRU ke-11 membentangkan dapatan mereka, pelbagai faktor luaran (penipuan dan media) dan dalaman (jentera) dikenal pasti sebagai penyumbang utama terhadap kekalahan PAS dalam pilihan raya tersebut. Namun faktor kekalahan paling dominan yang sangat mustahak dan signifikan yang wajar diulangi di sini ialah pelancaran “Dokumen Negara Islam”.
PAS membentangkan dokumen tersebut akan tetapi dikenal pasti dalam post-mortem, “gagal mengurus penerangan dan pencerahan kepada semua segmen pengundi”. Pelbagai persepsi negatif dan tanggapan buruk pelbagai segmen rakyat serta pengundi menjadikan PAS sasaran jahat media lawan.
PAS gagal menangkis tohmahan serta serangan seterunya. Kekuatan dan mandat baharunya musnah dan kembali kepada kedudukan lama atau sokongan "tegar dan asal". Lawan politik tersenyum berbisa, taktik berjaya, gabungan BA punah dan PAS lalu tersungkur. Begitulah lebih kurang naratif atau kisahnya. Sebaliknya, kekuatan PAS dalam PRU ke-12
dan seterusnya PRU ke-13 adalah hasil pelebaran tapak sokongan baharu.
PAS membina kekuatan itu secaray sedar dan terancang. Ia bukan disebabkan PAS "menumpang tui" nasib malang Anwar serta mendapat laba undi protes seperti PRU ke-10.
Tegasnya, PAS membina asas kekuatan baharu dengan cara meruntuhkan prejudis serta tembok halangan golongan pengundi bukan-Melayu dan bukan-Islam. Juga golongan pengundi Melayu Islam bandar dan pinggir Melayu, mula memberi kepercayaan kepada PAS dan memenangkan calon PAS. Bagi menjayakan pelebaran dan pengukuhan tapak sokongan baharu, PAS melalui satu anjakan besar di segi mesej politiknya.
Daripada menawarkan konsep “Negara Islam” yang telah disalahertikan pelbagai pihak, PAS secara tegas membuat ijtihad beraninya,dalam menampilkan tawaran “Negara Berkebajikan” berserta dengan slogan “PAS Untuk Semua” atau “PAS For All” dalam Manifesto PRU ke-12. PAS mengulangi tema.dan tawaran sama dalam PRU ke-13, kali itu bersama koalisi baharunya, Pakatan Rakyat (PR).
Perubahan besar ini berkebetulan diistilahkan.Profesor Tariq Ramadan, pemikir kontemporari.Islam, sebagai satu eksperimen di seluruhduniaIslam, yang diberi jolokan sebagai."anjakan generasi" atau "generational shift". PAS dan gerakan Islam memasuki era baharu dalam pengalaman "political Islam" di persada persaingan demokrasi atau "democratic contestation".
Meringkaskan cerita, PAS terus menggarap isu besar dalam negara dengan pedekatan inklusif dan menyerlahkan erti dan makna slogan seperti “PAS For All”. Makna prinsip Islam sebagai “rahmat untuk semua” atau “mercy unto all”, lebih dirasai daripada sekadar diulangi secara laungan retorik.PAS terus menangani isu krtikal yang menajamkan pertentangan etnik dan membakar pertembungan agama.Isukalimah“Allah”termasuk pelbagai polemik kaum yang diungkap dengan kepentingan agama secara sempit, ditangani PAS secara konsisten dan berlandaskan syariat yang sejahterakan dan mendamaikan.
Samada bersama rakan PR dalam “Dasar- Dasar Bersama” atau pun bersendirian, PAS berjaya menyerlahkan erti dan penghayatan Islam sebagai sistem hidup untuk memberikan jaminan “Keadilan Untuk Semua” atau “Justice for All”.
Di samping itu, PAS tegas dalam membentaras polisi yang bersifat perkauman dan yang memangsakan dan meminggirkan sesetengah rakyat, terutama golongan miskin dan berpendapaan rendah. Begitu juga ketegasan PAS menentang rasuah, salah guna kuasa, pembaziran serta pembolotan kekayaan negara oleh segelintir penguasa politik bersama kroni mereka.
Mengambil keseluruhan kemajuan inilah,.penulis menyatakan bahawa PAS sedang menduduki posisi politik yang paling kuat dan mantap . Tidak keterlaluan kalau penulis terus menyongsong bahawa PAS berada dalam satu unjuran (trajectory) menempah kejayaan yang lebih baik, tentunya bersama rakan rakan tahalufnya.
Berdasarkan unjuran yang modest, PAS adalah dalam keluk menambah 13 kerusi(berjumlah 34 kerusi) seandainya PR terus bergandingan secara mantap dan serasi dalam PRU ke-14 akan datang. Unjuran ini adalah sangat munasabah, dengan izin Allah. Namun, meringkaskan pergolakannya mutakhir ini, kesemua kejayaan PAS yang tertera di atas bakal terencat atau mengalami setback yang mengecewakan.
Permasalahan parti ini, samada yang bersifat keberentakan dalaman mahu pun yang bersabit dengan masalah hubungan di antara rakan komponen PR, mengakibatkan pemerhati politik khuatir dan cemas. Lebih gusar lagi adalah pendukung dan aktivis parti di akar umbinya, yang secara langsung bakal menanggung kesan serta akibat konflik tersebut, khasnya di negeri pantai barat: Selangor, Kuala Lumpur, Perak serta Melaka- Negeri Sembilan-Johor.
Sebagai contoh, cadangan untuk bersedia bertanding bersendirian atau keluar daripada PR atau menyuruh sesetengah ahli dan kepimpinan keluar parti, adalah tidak harus dilayani atau disokong.
Pimpinan yang matang dan tidak gelojoh serta "ekstrem" tahu akan erti "mengurus ikhtilaf" atau perbezaan dan kepelbagaian dalam sebuah organisasi dan koalisi yang semakin kompleks. Sementara dalam mengurus isu hudud pula, seteru tradisi PAS sedang menggoda dengan pelbagai cara. Musuh tetap musuh, meskipun tampak "ikhlas".
Sayugia dingatkan tuntutan Allah supaya kita hazar (berwaspada) dan pesanan Nabi bagi mengelak dipatuk dua kali dari lubang yang sama. Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Ustaz Fadzil Noor acap mengingatkan kita.
Seandainya PAS terus terjerumus akibat kehilangan "jalan cerita" atau "losing the plot" sekali lagi, maka kita bakal mengulangi nasib yang sama seperti pengalaman PRU ke-11 (2004).
PAS dikhuatiri akan kehilangan sokongan baharunya di kalangan Melayu-Islam di bandar dan pinggir bandar, dan tentunya tidak dapat bertahan mengekalkan kepercayaan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam. Seterunya sangat mahukan natijah ini bagi menggagalkan PAS dan menghancurkan PR. Minta Allah jauhkan!
Setiap kali PAS merasakan parti dan jenteranya "kuat", Allah mengajar kita dengan keputusan yang menginsafkan kita. Di samping pengalaman 2004, pengalaman PRU ke-7 (1986) juga menyedarkan kita. PAS hanya tinggal kerusi tunggalnya, Pengkalan Chepa, di Parlimen dalam pilihan raya yang menyaksikan PAS meletakkan seramai 98 calon, paling tinggi dalam sejarahnya (jumlah kerusi Parlimen 177). Apakah kepimpinan PAS di peringkat pusat serta di peringkat akar-umbi, khasnya di ambang Muktamar ke-61 ini, akan mengizinkan PAS mengundang nasib buruk ini sekali lagi?
Mampukah PAS kini mengelak kesilapan lamanya? Berjayakah PAS mengawal suara emosi (‘atifi) supaya jangan mengatasi suara ilmu, kekuatan informasi dan panduan pengalaman (tajribah)? Penulis akan terus berkongsi pengamatannya dalam artikel seterusnya yang berjudul “Selamatkan PAS”. - Dr.Dzulkefly Ahmad
0 comments:
Post a Comment