Tuesday 26 May 2015

Perjuangan Mat Sabu: Graduan Ikhwaniata bentang sinopsis tesis kesarjanaannya...

Selasa, 26 Mei 2015

Mohamad Sabu dalam tesis

SOROTAN                                                                                                           
Selalunya para sarjana atau calon sarjana akan mencari dan mengangkat sesuatu isu (tema) atau seseorang (tokoh) bagi dijadikan bahan kajian (disertasi) bagi mendapat ijazah lanjutan seperti master atau P.Hd. Isu atau tema atau tokoh yang dipilih itu pastilah mempunyai nilai tersendiri dan ada keistimewaan pada pandangan matanya.
Ikhwaniata bentang sinopsis tesisnya.
Kalau mengenai seseorang (tokoh) ia akan dikaji latar belakangnya, kehebatan dalam bidang diterjuninya. Kajian itu juga akan meliputi pencapaian seseorang tokoh itu disamping kegagalan, kelemahannya serta lenggang lengguk perjalanannya. Kemudian kajian itu akan membuat kesimpulan terhadap tokoh yang dikajinya itu.

Apabila Mohd Ikwaniata Taib, seorang graduan membuat kajian ke atas perjuangan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu ertinya sosok ini ada nilai tertentu baginya. Mohamad Sabu istimewa dan penting untuk dibicarakan di meja hijau. Dan seseorang yang sudah dimasukkan ke dalam tesis, atau pun pendapatnya dirujuk, biasanya dia hebat, unik ataupun memiliki kelebihan-kelebihan tertentu yang baik untuk dikaji.


Tujuan kajian itu sendiri selain mendalami pembawaan seseorang itu tentang pemikiran (fikrah), perjuangannya sudah pastilah ia untuk dijadikan panduan dan ibrah daripada pemikiran dan bentuk perjuangannya kepada generasi akan datang dalam konteks politik sebagai panduan membangun negara dan menyemarakkan jihad. 

Memang pemilihan Mohmad Sabu sebagai kajian melengkapkan tesis kesarjanaan (Master) bagi Mohd Ikwaniata adalah tepat. Mohamad Sabu bukan calang-calang orang dalam bingkai perjuangan politik di negara ini amnya dan dalam Pas khususnya. Sumbangan diberikan Mohamad Sabu bukan sedikit, dan paling mahal ialah kekentalan sifat juang yang tidak mengenal kalah. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang senantiasa bersemangat dan seronok dengan perjuangannya. Kecewa tidak pernah dipamer putus asa tidak pernah diukir.

Menyuluh ke dalam frame perjuangannya, Mohamad menjadikan demokrasi dan keadilan sosial yang berlandaskan Islam sebagai akidah perjuangannya. Dua elemen itu adalah kembar siam. Itulah wajah perjuangannya di mana ada kalanya wajah ini tidak terpandang kerana orang lebih memerhati dan mengukur dari segi karektornya. Pakaiannya yang simple, tidak berjubah dan berserban, menyimpan janggut panjang, menyebabkan dia dilihat liar dengan Islam syariat?

Sudah pasti tesis Mohd Ikwaniata boleh dijadikan bahan bacaan bagi sesiapa ingin mengenali Mohamad Sabu secara mendalam dari sudut ilmiah dalam konteks perjuangannya. Dari tesis itu, dapat dikenali, introduction mengenai seorang Mohamad Sabu dibuat secara akademik dan adil yang wajar untuk dijadikan penilaian tuntas.
Ikhwaniata menyerahkan tesisnya kepada Mat Sabu, diperhati oleh Redhuan.
Tesis bukan sembarangan tulisan, ia bukan pujian-pujian melampau seperti dalam facebook  ataupun seruan diatas pentas halaqah, atau liqad kerana ia akan dikaji dan dibahas mencari kebenarannya. Tesis bersifat dua hala dan sedia untuk dibahas bukan sahaja didengar kemudian ditelan mentah-mentah. Dan mereka yang menulisnya juga mestilah bertanggungjawab dengan hujah dan fakta akademik.

Dalam keadaan Pas kini sedang membuat pemilihan pemimpin elok kalau tesis Mohd Ikwaniata itu dijadikan bahan untuk mengenali Mohamad Sabu. Para perwakilan muktamar yang baru menyibukkan diri dalam Pas, atau mula memasuki Pas dua tiga hari mungkin tidak mengenali siapa dia Mohamad Sabu dan apa sumbangan signifikannya kepada Pas. Tesis berkenaan akan menyediakan ruang atau medan itu serta menjawab kekaburan anda.

Upacara penyerahan tesis itu kepada Mohamad Sabu oleh Ikwaniata dilakukan semalam di pejabat Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), dalam suasana serba ringkas. Seperti apa dikatakan Ikwaniata dia memilih Mohamad Sabu sebagai tokoh kajiannya kerana teruja dengan perjuangan Timbalan Presiden Pas itu. Mulanya dia memilih bekas MB Kedah Allahyarham Azizan Abdul Razak untuk dijadikan bahan kajian, tetapi kerana susah mendapat bahannya, akhirnya ditukar kepada Mohamad Sabu. Penukaran ini sudah memberi gambaran yang Mohamad Sabu senang untuk ditemui dan mesra rakyat.

Sungguh tepat sebagai anak muda yang mencintai demokrasi dan melihat gerakan sosial (NGO) sebagai daya pemacu baru di negara ini, pemilihan Mohamad Sabu sebagai salah seorang ikonnya sangat betul dan kena pada waktunya.

Gerakan sosial dan politik dimainkan Mohamad menjadikan beliau adalah antara tokoh ulungnya di era pasca merdeka ini. Sebenarnya Mohamad bukan terbatas kepada lingkaran itu sahaja, tetapi dia juga adalah figure antarabangsa dengan penyertaan dan lawatannya ke luar negara.

Seperti mana disebut oleh Prof Redhuan Othman yang menjadi penyelia kepada kerja menyiapkan tesis itu, Mohamad Sabu adalah orang terawal dijemput oleh kerajaan Revolusi Iran untuk membuat lawatan ke negara berkenaan, bersama pemimpin lain. Ertinya pendedahan dengan dunia luar ke atas Mohamad Sabu memungkin dia meluaki pengalaman dan sejarah terlalu luas. Pemikiran Mohamad juga bukan sahaja terpancar dalam negara bahkan hingga ke universiti Frankfurt. Cuma seperti kata Redhuan, perjalanan dan pemikiran Mohamad Sabu tidak dirakam dalam bentuk tulisan menyebabkan ia seakan tidak terpandang dan tiada dalam rak di perpustakaan.

Namun bagi mereka yang menjejaki perjuangan Mohamad Sabu dari awal sejak di alam kampus, mengenali siapa dia Mohamad Sabu yang kini adalah tokoh sepertinya yang tidak ada tolak banding dalam Pas. Hatta kalau hendak diukur dengan Presiden Pas Abdul Hadi Awang pun, Mohamad mendahului Abdul Hadi.

Di sini saya tidak mahu menokok tambah apa yang ditulis dan disimpulan oleh Ikhwaniata. Saya akan menurunkan kesimpulan tesisnya mengenai Mohamad Sabu.

Menurut Ikwaniata Mohamad Sabu merupakan seorang pemimpin PAS yang hebat dan istimewa dalam politik tanah air sejak dibangku sekolah lagi. Mohamad Sabu memulakan perjuangan awal bersama Abim sebelum menyertai Pas tahun 1978.

Menurut kajiannya, Mohamad melalui tiga peringkat perjuangan. Peringkat pertama menggunakan pentas ceramah untuk menyampaikan pemikirannya. Peringkat inilah yang mempopularkan diri Mohamad Sabu kemudian menjadi figure penting. Ceramahnya mendapat sambutan ramai hingga digelar sebagai raja pentas.

Dalam kajian Ikwaniata kehebatan Mohamad Sabu berceramah sama hebat dengan tokoh Pas, Zulkefli Mohamad. Ceramahnya juga berjaya menarik perhatian ramai dan ini secara tidak langsung Mohamad menjadi aset kepada Pas untuk mengutip dana perjuangan.Manakala menurut Subky Latif kata pengkaji Mohamad Sabu adalah Bapa Kemerdekaan Baru, tentunya kenyataan ini kerana Mohamad cuba membetulkan sejarah kemerdekaan negara ini yang dikelirukan.

Mengenai topik yang disentuh Mohamad Sabu dalam ceramah-ceramahnya menurut Ikwaniata, isu-isu agama, penyalahgunaan kuasa, rasuah, demokrasi dan sebagainya. Maklumat mengenai penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan sampai ke pengetahuan rakyat menerusi ceramah Mohamad Sabu. Kelebihan bagi Mohamad Sabu dalam ceramah dapat mengolah isu dengan baik yang menjadi real kepada pendengar.

Peringkat kedua Mohamad menggerakkan perjuangannya ialah menerusi jalan raya. Mohamad menjadikan jalan raya sebagai platforum untuk menggerakkan rakyat bagi menuntut ketidakadilan dan menentang kezaliman dan kerakusan. Beliau memimpin tunjuk perasaan yang disertai puluhan ribu rakyat dari berbagai kaum. Kehebatan tunjuk perasaan yang dikepalai Mohamad ini juga sekaligus menjadikan beliau digelar sebagai Imam Jalan Raya, oleh Saifuddin Nasution.

Manakala peringkat ketiga perjuangan Mohamad Sabu menurut Ikwaniata menggabungkan kedua-duanya, iaitu pentas ceramah dan jalan raya dimana terhasillah rundingan dan persepakatan politik. Peringkat ketiga ini semakin jelas selepas Mohamad Sabu dilantik menjadi Timbalan Presiden PAS pada 2011. Kolobrasi politik antara kaum dengan satu semangat dan harapan menumbangkan UBN semakin hebat.

Menurut Ikwaniata sebagai seorang Timbalan Presiden, peranan Mohamad Sabu adalah membantu Presiden seperti dalam Fasal 23 (2) Perlembagaan PAS. “Saya bukanlah yang terbaik, tetapi insya Allah akan membantu ke arah itu”. Mohamad Sabu juga menjadi jambatan penghubung PAS dengan NGO dan parti-parti di dalam Pakatan Rakyat.

Bagi pengamatan Ikwaniata Timbalan  Presiden PAS ini dilihat mempunyai kelebihan terutamanya melebarkan pengaruh PAS kepada bukan Melayu khasnya masyarakat Cina, India dan lain-lain. Dalam masa yang  sama, beliau menjadi ‘perunding’ untuk menarik pemimpin UMNO dan bekas penjawat awam untuk menyertai PAS. Ini tidak tersangkal beberapa tokoh dan pemuka Umno telah menyeberang bersama Pas, seperti Muhammad Taib, Tamrin Ghafar, Sobree Shafee dan lain-lain.

Selain itu juga pengkaji menyimpulkan Mohamad sebagai pemimpin tahan diuji. Mohamad sepanjang perjuangan bersama Pas telah ditahankan dibawah akta ISA dua kali, ditangkap polis berkali-kali serta dihadap ke mahkamah serta dibicarakan ribuan kali. Usaha paling keji kepada Mohamad ialah untuk membunuh kerjayanya menerusi character assassinations, termasuk memerangkapkan beliau dalam bilik hotel dengan perempuan kemudian dituduh di mahkamah syariah.

Membaca kesimpulan tesis ini meletakkan Mohamad Sabu sebagai tokoh penghubung Pas dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dan seorang pejuang yang gigih dan kental serta bejiwa waja. Dalam erti kata lain Mohamad Sabu adalah watak penting bagi Pas. Ia sesuai dengan apa ditekankan oleh beberapa pemerhati dan pengulas politik sebelum ini, Pas akan kerugian besar kalau Mohamad Sabu tidak dikekalkan di jawatan yang ada sekarang ini.

Paling menarik ialah Mohamad Sabu dilihat seorang berani mengemukakan idea dan pandangan baru yang kontradik dengan sejarah. Misalnya pengikhtirafan Mohamad Sabu kepada Mat Indra sebagai seorang pejuang Melayu dan bukan komunis. Hal ini disifatkan oleh Prof Dr Redhuan sebagai keberanian Mohamad Sabu berhujah dan membentangkan pemikirannya.

Gara-gara kenyataan Mohamad Sabu itu kata Redhuan menyebabkan para sarjana terpaksa membetulkan persepsi dan fakta sejarah ke negara ini termasuk mengatakan Malaysia tidak pernah dijajah bagi memberi gambaran Mat Indra bukan penentang penjajah.

Kesimpulan dari saya, tesis ini sangat berharga dan boleh dijadkan panduan terbaik kepada ahli Pas dalam mengenali pemimpin mereka. Apa diperkatakan Ikwaniata adalah secara jujur dan bukan dibina sokongan itu atas rasa taksub, hormat guru melebihi tepi jubahnya, melainkan berdasarkan fakta dan sejarah yang dinilai dan dihuraikan secara ilmiah.

Manakala untuk adil bolehlah cari mana-mana tesis mengenai orang yang hendak mencabar kedudukan Mohamad Sabu dikedudukan nombor dua itu bagi dijadikan perbandingan. Adakah? [wm.kl.3:13 pm 26/05/15]

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena