Apakah PAS Hanya Untuk Orang Pantai Timur?
Poster calon-calon untuk PAS PAS Pusat sudah pun bertaburan di media sosial.
Kumpulan Pro-Ulama (baca: pro-UG, pro-UMNO) telah memulakan langkah dengan membuat satu poster yang memaparkan calon-calon mereka: Presiden: Haji Abd Hadi Awang, Timbalan Presiden: Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda: Nik Abduh Nik Abd Aziz, Ketua Muslimat: Nuridah Salleh.
Namun ia mendapat kritikan hebat dari pengguna media sosial kerana amat jelas calon-calon yang dibariskan kesemuanya datang dari pantai timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Apakah PAS hanya untuk mereka dari pantai timur? Soal seorang ahli PAS.
"Ia amat tidak realistik. Seolah-olah mereka mahu membolot semua jawatan tertinggi di dalam PAS," ujar seorang lagi ahli PAS.
"Satu hal lagi, kesemuanya datang dari satu kumpulan. Ia tidak menggambarkan dan mewakili kerencaman ahli-ahli PAS. Perwakilan PAS perlu tolak mereka kerana ia amat kenegerian, ia terlalu assabiyah," tambahnya lagi.
"Nampak gaya macam pantai timur hendak menjajah PAS seluruh negara," kata seorang lagi ahli PAS yang tidak berpuas hati dengan poster berkenaan.
"Jika dibandingkan dengan barisan calon-calon dari Pro-Pakatan, mereka lebih realistik. Datang dari pelbagai tempat dan dari pelbagai latarbelakang dipimpin oleh seorang ulama, " katanya.
Satu undian siber juga telah dilakukan oleh seorang facebooker untuk menilai sokongan ahli PAS samada kepada kumpulan pro-ug atau pro-pr.
Lihat pula calon pro-profesional Pas yang terdiri daripada lulusan dari pelbagai disiplin ilmu. Ahmad Awang (calon presiden) berasal dari Perak adalah seorang ulama lulusan agama. Mat Sabu (calon Timbalan Presiden) aktivis parti yang berasal dari Pulau Pinang. Suhaizan Kaiat (calon Ketua Pemuda) berasal dari Johor dan bekas pensyarah UTM. Siti Zailah Yusuf (calon Ketua Muslimat) berasal dari Kelantan dan seorang guru yang berkelulusan dari UITM. Ternyata calon-calon ini mewakili pantai timur, utara dan selatan Semenanjung. Pasukan ini tidak ada semangat lokaliti, bahkan mereka berjuang atas nama Malaysia.
Kita mengharapkan saf kepimpinan Pas selepas muktamar nanti mewakili pelbagai disiplin ilmu dan mewakili lokaliti seluruh Malaysia. Calon-calon pro-profesional memenuhi kreteria ini. Calon-calon pro-ulama hanya dari pantai timur Semenajung dan kesemua mereka lulusan agama. Parti yang kukuh perlu ditunjangai oleh barisan kepimpinan dari latar belakang disiplin ilmu yang berbeza. Ibarat jari, saling perlu-memerlukan antara satu sama lain untuk membina kekuatan cengkaman tangan. Barisan calon pro ulama hanya ada satu jari sahaja, yang akhirnya tangan tidak berfungsi dengan tuntas dan sempurna.