Sunday 31 May 2015

JHO LOW ADA DI MALAYSIA...Siapakah yang bakal ditemuinya di sini?

Ahad, 31 Mei 2015


JHO LOW ADA DI MALAYSIA


Mengikut laporan sebuah portal berita iaitu The Ant Daily atau Semut Harian, jutawan kontroversi yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low ketika ini sedang berada di Malaysia.

Berdasarkan apa yang dilaporkan, Jho Low  dikatakan tiba dengan menaiki penerbangan Cathay Pacific dari Hong Kong yang memulakan perjalanan dari Jepun dan tiba di KLIA lewat petang Khamis lalu.

Beliau yang dikesan memakai baju batik hitam putih menaiki pesawat itu bersama seorang lelaki berpakaian biasa dan kemudian bertemu dengan seorang lelaki India tinggi lampai di penghubung terminal KLIA pada kira-kira jam 7.43, sebelum tergesa-gesa berlalu pergi.

Ketika isu 1MDB sedang hangat dan menjadi bara dalam hati majoriti rakyat negara ini dan namanya dikaitkan secara langsung dengan kemelut yang berlaku dalam syarikat pelaburan anak emas Najib Razak itu, kepulangan Jho Low tentu saja menimbulkan banyak persoalan serta tanda tanya.

Apakah urusannya datang ke Malaysia dan siapakah yang bakal ditemuinya di sini? 

Dalam kemelut yang yang melanda 1MDB sehingga ia dianggap skandal kewangan terbesar di era Najib menjadi Perdana Menteri, nama Jho Low telah disebut oleh banyak pihak termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mempersoalkan apakah peranan dan bagaimanakah beliau begitu dipercayai untuk menguruskan pelaburan dana berbilion ringgit milik syarikat tersebut.

Tun Mahathir juga mengaitkan hubungan rapat Jho Low dengan anak tiri Najib, Riza Aziz yang didapati memiliki kekayaan luar biasa dengan kemampuan menerbitkan filem  dengan kos kira-kira RM300 juta di Hollywood serta membeli kondominium mewah di kota metropolitan  New York.

Dalam misteri ke mana perginya RM27 bilion daripada keseluruhan hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion, nama Jho Low paling banyak dikaitkan dan beliau dilihat kunci utama untuk merungkai banyak kekusutan yang bermain di fikiran rakyat.

Blog ini dalam postingnya pada 15 April  2015 bertajuk "Tangkap Jho Low, Buka Semula Kes Altantuya...Habis Cerita!!" juga menyarankan agar Jho Low disiasat bagi memperolehi lebih banyak maklumat penting mengenai 1MDB.

Di kalangan pemimpin UMNO, antara yang mahu jutawan playboy itu turut disiasat ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mengatakan, spekulasi awam mengenai penglibatannya dalam skandal 1MDB terlalu besar untuk diabaikan.

KJ juga mengukuhkan lagi hujahnya dengan berkata, "apa saja cara anda melihat isu ini, cap jari Jho Low berada pada seluruh tempat dalam 1MDB."

Pendirian KJ itu adalah berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Nur Jazlan Mohamed yang belum melihat keperluan untuk memanggil Jho Low dalam siasatannya bagi mencungkil rahsia pelbagai kekalutan yang timbul dalam 1MDB.

Sehingga hari ini pun, Nur Jazlan dilaporkan masih berpendirian sama  dan tidak menyenaraikan Jho Low untuk mengadap jawatankuasa itu.

Lantaran itu, adalah tidak mungkin kepulangan Jho Low ini untuk memberikan keterangan kepada PAC.

Jadi, apakah tujuan Jho Low kembali ke Malaysia di saat ini? Apakah beliau mempunyai jadual bertemu dengan Najib Razak atau Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk sesuatu urusan yang juga berkaitan syarikat itu?

Mungkinkah beliau akan bertemu dengan wanita yang sangat dihormatinya dan dipanggilnya "mummy" iaitu Rosmah Mansor?

Atau beliau pulang kerana urusan keluarga dan sekadar ingin melepaskan rindu kepada ibu bapanya di Pulau Pinang saja?

Daripada segi yang lain, munculnya Jho Low di Malaysia diketika isu 1MDB semakin hangat diperbualkan dan namanya sentiasa disebut, ia seolah-olah beliau ingin menunjukkan sikap "jantannya", sedia berdepan dan tidak takut sama sekali dengan sebarang kesalahan yang mungkin dikaitkan terhadap dirinya.

Mungkin terlalu awal untuk mengaitkannya dengan sebarang proses undang-undang, tetapi apakah peluang keemasan untuk menyoal siasat atau mendapatkan maklumat daripada Jho Low yang bagaikan sudah "menyerah diri" dan ada di depan mata ini akan dibiarkan berlalu begitu saja? (SH 30/05/2015)

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena