Friday 30 December 2016

[Video Muhyiddin - Ringgit jatuh sebab 1MDB] Malaysia perlu amal 'ekonomi sebenar' untuk rawat ekonomi yang sakit & BR1M bukan polisi ekonomi bagi golongan berpendapatan rendah.

Jumaat, 30 Disember 2016
Foto Otai BERSIH.

Malaysia perlu amal 'ekonomi sebenar' untuk rawat ekonomi yang sakit

Malaysia perlu kembali mengamalkan 'ekonomi sebenar' berbanding 'ekonomi kewangan' bagi membariskannya dengan negara-negara serantau yang lain dan mengeluarkan rakyat daripada perangkap 'pendapatan sederhana', kata Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut beliau 'ekonomi sebenar' adalah kegiatan ekonomi yang menjana produk (goods) dan perkhidmatan (services) berbanding kegiatan transaksi dalam pasaran kewangan (financial markets).
Dr Dzulkefly berkata, Malaysia memasuki liga 'pendapatan sederhana' pada tahun 1969, sama seperti Korea Selatan namun negara tersebut telah memasuki kelompok negara 'pendapatan tinggi' pada 1995 sedangkan Malaysia kekal dalam 'Liga Sederhana Tinggi' (Upper-Middle) sejak 1996.
Beliau menambah, walaupun ekonomi negara berubah secara drastik sejak empat dekad lalu daripada mengeksport getah dan bijih timah kepada barangan elektronik dan elektrikal (E&E), malangnya ia terhad kepada kegiatan pemasangan bahan-bahan import tanpa nilai-tambah.
Ketiadaan aspek rantaian nilai dan nilai-tambah di bidang E&E tidak memerlukan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), sekaligus mengakibatkan ianya beku dan tidak berkembang.
Katanya, meskipun negara telah meneroka bidang solar dan sektor LED, bidang R&D masih pada negara HQ (negara asal) manakala dalam sektor automobil pula milik intelektual masih dipegang syarikat Jepun seperti  Mitsubisghi Motors.
"Hanya R&D dalam sektor minyak sawit yang boleh kita banggakan dari seluruh rantaian nilai dari bahan mentah sehingga produk-produk hiliran dengan nilai-tambahnya," ujarnya.
Laporan Organisation for Economic Co-Operation and Development (OECD) juga menyebut Malaysia gagal mengeksploitasi dan mengintegrasi konsep 'Rantaian Nilai Global' yang akan menjadikan produk-produk pembuatan tempatan diperlukan dan mampu bersaing di pasaran global.
"Pengisian domestik dalam barangan ekspot dan 'intermediate' kita, pada hakikat semakin menurun dari 69.5% pada 1995 kepada 59.5% pada 2011. Filipina mengalami peningkatan (70% ke 76.4%), sementara Indonesia (88%) dan China (67.8%) kekal sama," ujarnya.
Sektor pembuatan yang menyumbang 31% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 1999, jelas beliau menurun ke tahap 23% pada tahun lalu (2005).
Walaupun negara telah cuba berpindah ke sektor perkhidmatan dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang kini menyumbang 51% kepada KDNK, namun ia masih memerlukan sektor pembuatan yang kukuh dan berprestasi tinggi untuk membuat lonjakan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
"Hanya dengan produktiviti dan kegiatan industri yang memiliki nilai-tambah dan menaiki rantaian nilai yang lebih tinggi, yang akan mampu menjana pendapatan yang tinggi untuk warga buruhnya," ujar beliau.
Tulisan lanjut Dr Dzulkefly boleh diikuti dalam mingguan Amanah terbaru di pasaran.



BR1M bukan polisi ekonomi bagi golongan berpendapatan rendah

BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) bukan jawapan untuk sebuah polisi ekonomi yang tuntas bagi menyelesaikan isu melingkari golongan berpendapatan terendah 60% kebawah. Naif sekali jika Umno menyangka rakyat terbanyak tidak menyedari hal ini.
Umno menganggap Tun Dr Mahathir Mohamad telah melakukan satu kesilapan besar apabila dengan beraninya mendakwa BR1M adalah 'rasuah'. Anggapan mereka, rakyat khususnya penerima BR1M akan menempelak Tun kerana mengkritik usaha Perdana Menteri Najib Razak dan Kerajaan Barisan Nasional ini. Oleh itu, dakwaan Tun telah menerima kecaman hebat oleh para menteri.
Pada awal-awal tahun pengenalan, BR1M (sebelum GST dilaksanakan) sememangnya menyumbang kepada peningkatan imej seterusnya sokongan rakyat kepada Umno dalam PRU 2013. Namun ia sedikit demi sedikit berkurangan pada tahun-tahun berikutnya.
Rakyat Malaysia hari ini umumnya telah menyedari bahawa:
Pertama, sumber BR1M adalah dari dana awam. Justeru mereka sememangnya berhak mendapat BR1M dan bukanlah suatu kewajipan untuk mereka rasa terhutang budi atau 'berterima kasih' kepada Najib.
Kedua, sejak perlaksanaan GST pada 2015 dan kenaikan harga barangan, BR1M tidak lagi memberi kesan besar terhadap pendapatan boleh guna isi rumah.
Ketiga, BR1M tidak langsung menjadi jawapan kepada isu peluang pekerjaan yang meruncing kini. Kerajaan gagal untuk tampil dengan polisi yang meyakinkan. Jauh di hati rakyat, pekerjaan yang baik dengan upah yang setimpal adalah keperluan mendesak berbanding BR1M meskipun mereka akan terima apa sahaja yang diberikan oleh Kerajaan.
BR1M hakikatnya adalah respon pra-matang Najib kepada proposal kerangka polisi Pakatan Rakyat yang dikemukakan pada Julai 2011 yang lalu.
Saya yang terlibat secara langsung dalam jawatankuasa penyediaan proposal tersebut telah mengambil garis bahawa pemerkasaan ekonomi golongan berpendapatan terendah 60% kebawah perlu menjadi asas untuk memberi nafas baru kepada keseluruhan ekonomi Malaysia yang suram.
Sejak krisis ekonomi global 2008, eksport Malaysia menguncup disebabkan permintaan yang mengecil dari Eropah dan Amerika Syarikat. Pada ketika itu, kita boleh menyaksikan bagaimana negara terpaksa bergantung lebih kepada penggunaan domestik. Pun begitu, ia banyak dibiayai oleh hutang isi rumah yang pastinya tidak mapan untuk jangka masa panjang.
Strategi ekonomi yang mapan hanya mampu dibentuk apabila kita melakukan reformasi ekonomi dengan memperkasakan golongan berpendapatan terendah 60% kebawah. Inilah asas kepada proposal kerangka polisi Pakatan Rakyat 2011
KESIMPULAN
Apabila Pakatan Rakyat pada 2011 tampil dengan kerangka polisi seperti yang telah dinyatakan, Najib memberi respon menerusi BR1M.
Dari konteks pilihan raya, saya terpaksa akui bahawa BR1M dan pendekatan 'cash is king' sangat berkesan untuk UMNO - Barisan Nasional berhadapan PRU 2013.
Pun begitu, dalam keadaan dimana peluang pekerjaan yang baik dan berbaloi amat sukar didapati, peningkatan kos sara hidup yang amat tinggi, cukai GST yang menjerut dan pelbagai lagi kelemahan urustadbir yang wujud hari ini, BR1M tidak lagi mampu menjadi senjata Najib memenangi hati dan memenuhi keperluan rakyat.
Sekarang adalah masanya untuk rakyat mengambil sikap yang teguh dan menyatakan bahawa BR1M dan segala bentuk pemberian bersifat saguhati bukanlah jawapan tuntas kepada isu melingkari kita semua. Dan saya amat yakin pada kebijaksanaan rakyat Malaysia dalam menilai realiti ini.
*Liew Chin Tong adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kluang.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena