Kejam. Itu sahaja yang boleh dilafazkan terhadap individu yang dikenalpasti sebagai Faiz yang menipu 75 orang miskin dan anak yatim di Johor Bharu.
Faiz dikatakan membuat janji palsu kepada anak-anak yatim ini dengan menipu untuk memberi mereka penginapan percuma dan juadah berbuka puasa beserta sumbangan di sebuah hotel. Anak-anak yatim ini terpaksa menempuhi perjalanan sejauh 354 kilometer untuk ke Hotel Berjaya Waterfront di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, kelmarin.
“Saya tidak tahu apa salah anak yatim dan anak dari keluarga kurang berkemampuan hingga ada pihak tertentu sanggup menganiaya mereka Ramadan ini,” kata Amirah Ariffin, salah seorang pengiring anak yatim tersebut, 47, semalam.
Kesemua 75 peserta rombongan berkenaan berusia antara 5 hingga 18 tahun. Mereka adalah anak yatim dan keluarga kurang mampu dari Jalan Pahang Lama, Gombak Selangor. Rombongan ini diuruskan oleh Surau Silaturrahim kampung berkenaan setelah lelaki bernama Faiz berkenaan menyatakan dia mahu meraikan anak-anak yatim berkenaan.
“Lelaki bergelar Faiz menghubungi saya Isnin lalu (21 Julai) meminta kerjasama mengumpul 75 anak dari keluarga miskin dan anak yatim untuk dibawa ke Johor Bahru di mana majlis itu dikatakan bakal diadakan pada 23 Julai (kelmarin).
“Saya dan sukarelawan surau bersyukur lelaki itu menyatakan niat murni pengurusan hotel menaja kemudahan pengangkutan, penginapan dan makanan,” katanya.
“Kali terakhir kami menghubungi Faiz ketika dalam perjalanan iaitu jam 11 pagi kelmarin dan kami pelik kerana selepas dua jam, dia mematikan telefon.
“Sebaik tiba di lobi hotel pada 2.30 petang, saya dimaklumkan tiada tempahan bilik hotel atau penganjuran majlis.
“Kami buntu kerana tidak memiliki sumber kewangan menguruskan penginapan dan makanan peserta hingga terpaksa memaklumkan kejadian kepada pihak hotel dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya yang bertolak pulang ke Gombak jam 12 tengah hari, semalam.
Sementara itu, salah seorang peserta rombongan, Muhammad Hishamuddin, 17, berkata, dia dan rakannya tidak menyangka diperdaya pihak tertentu.
“Ini kali pertama saya menjejak kaki ke hotel. Saya berterima kasih kerana pengurusan hotel bersimpati dengan nasib kami dan menawarkan penginapan sehari, makanan serta kemudahan bas untuk pulang,” katanya. - SiakapKeli.com
0 comments:
Post a Comment