Tuesday 29 July 2014

DAP terkilan dengan pendedahan mesej Dr Mohd Zuhdi “Whatsapp AJK PAS Pusat”...

Selasa, 29 Julai 2014

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PIMPINAN PAKATAN RAKYAT

     
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat hari ini 23 Julai 2014 telah menerima (MENERIMA BUKAN BERERTI BERSETUJU TETAPI MENERIMA CADANGAN UNTUK DIBAWA BINCANG KE PARTI MASING-MASING) cadangan daripada KEADILAN untuk membuat pertukaran Menteri Besar di Selangor seterusnya mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Parti DAP dan PAS akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti masing-masing dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat.
DAP dan PAS secara dasarnya menghormati prinsip pencalonan jawatan Menteri Besar Selangor adalah daripada KEADILAN.
Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN
Mohamad Sabu
Timbalan Presiden PAS
Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP
FB Pas Pusat

DAP terkilan sikap rasis Dr Zuhdi, minta PAS kembali kepada persetujuan bersama

anthony loke
Kenyatan media Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook;
DAP menyeru pimpinan PAS pusat untuk mengambil satu pendirian yang tegas untuk menjauhkan diri dari cadangan Dr Zuhdi dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara terhadap PAS.
DAP amat terkilan dengan pendedahan mesej Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki dalam “Whatsapp AJK PAS Pusat” yang berbunyi;
“Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi+TSKI+seorang lagi ADUN PKR+12 UMNO, dah bentuk simple majoriti. UMNO dalam kenyataannya mutakhir ini boleh terima TSKI jadi MB.
Lepas ini kalau DAP, gereja dan non Muslim melalak isu serbuan, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana suara non-muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini”
Yang pertamanya, Dr Zuhdi tidak menafikan menulis mesej tersebut tetapi cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa apa yang ditulis oleh beliau adalah “analisis senario” kepada cadangan oleh seorang pemimpin kanan PAS supaya PAS keluar dari PR.
“Analisis” sebegini lebih-lebih lagi dari seorang pemimpin PAS pusat adalah sangat tidak bertanggungjawab dan ada unsur-unsur membelot kepercayaan rakyat. Walaupun cadangan untuk kekal atau keluar dari PR adalah hak pimpinan PAS, namun cadangan untuk bergabung dengan UMNO dan membentuk kerajaan negeri Selangor adalah satu pengkhianatan bukan sahaja kepada PKR dan DAP, tetapi juga kepada rakyat Selangor yang telah memberikan mandat yang jelas kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13.
Mana-mana pemimpin yang berfikiran sebegitu dan melontarkan cadangan tersebut perlu dikutuk dengan sekeras-kerasnya.
Saya ingin mengingatkan Dr Zuhdi bahawa kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS di Selangor adalah di bawah payung Pakatan Rakyat kerana ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP bertanding dalam PRU13 dengan manifesto bersama Pakatan Rakyat
Yang keduanya dan lebih mendukacitakan ialah seorang Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS yang sepatutnya diamanahkan sebagai ‘think tank’ kepada PAS boleh ‘mengimaginasi’ untuk ‘menjentik DAP, gereja dan non Muslim’ apabila ada pandangan yang berbeza. Kemana perginya sifat keterbukaan dan toleransi dalam slogan ‘PAS for ALL’?
Saya juga tidak pernah membayangkan bahawa seorang pemimpin PAS boleh ‘mengimaginasi’ seperti UMNO untuk mengembalikan kuasa politik Melayu Islam melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya. Bukankah cadangan seperti ini seolah-olah bersekongkol dengan SPR dan tiada beza dengan agenda dari PERKASA?
Cadangan dan pemikiran Dr Zuhdi ini amat mencemarkan imej positif PAS yang selama ini dilihat sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan keadilan dan kuat berpegang kepada prinsip. Saya yakin majoriti pemimpin PAS Pusat amat tidak bersetuju dengan cadangan dan pandangan Dr Zuhdi.
DAP menyeru pimpinan PAS pusat untuk mengambil satu pendirian yang tegas untuk menjauhkan diri dari cadangan Dr Zuhdi dan mengambill tindakan yang sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara terhadap PAS. – Roketkini.com

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena