Pas jelas kontroversi Whatsapp
SAYA merujuk kontroversi pendapat yang dikemukakan oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dalam perbincangan tidak formal dalam kumpulan whatsapp AJK Pas Pusat yang telah dibocorkan dan kini viral dalam media sosial.
Pendapat yang dikemukakan Dr Zuhdi merupakan suatu pandangan peribadi beliau yang dikomunikasi melalui media sosial dan bersifat informal.
Pas sebagai sebuah parti politik lslam yang berjiwa besar meraikan perbezaan pandangan, tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kenyataan serta analisis peribadi ahli-ahlinya seandainya menimbulkan kontroversi dan kegusaran umum.
Secara tegasnya olahan perancangan senario Dr Zuhdi tidak mewakili pendirian Pas dan tidak pula mewakili dapatan Pusat Penyelidikan Pas (PPP).
Dalam konteks kontroversi perbincangan dalam kumpulan whatsapp AJK Pas Pusat berhubung kajian-ini, saya ingin jelaskan bahawa senario yang tersebar luas melalui paparan skrin tersebut bukanlah merupakan satu-satunya senario yang dibincangkan dengan kaedah 'scenario planning' beliau.
Pelbagai senario lain yang merangkumi kemungkinan-kemungkinan termasuk yang paling buruk atau 'worst case' juga telah dibincangkan secara sumbang saran.
Pas tetap tegas serta istiqamah dengan perjuangan PR mendukungi Dasar-Dasar Bersama (Common Policy Framework) sepertimana yang telah ditegaskan berulang-kali oleh Mursyidul Am Pas, Tuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dr Dzulkefly Ahmad
Pengarah Eksekutif
Pusat Penyelidikan Pas Pusat (PPP)
29 Julai 2014
0 comments:
Post a Comment