Azih Muda

BATU PAHAT – Cuepacs berharap pada pembentangan Belanjawan Negara 2015, kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bonus sebanyak dua bulan kepada penjawat awam.

Presidennya, Azih Muda berkata, permintaan berkenaan memandangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dicatat negara kini antara yang tertinggi.

Menurutnya, pemberian bonus itu diminta berdasarkan indeks penunjuk prestasi (KPI) sektor awam yang menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini.

“Diharapkan dengan kedua-dua sebab berkenaan, kerajaan akan dapat mempertimbang memberikan dua bulan bonus kepada penjawat awam,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tri Tahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae).

Azih berkata, Ceupacs juga memohon peruntukan pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat dan kakitangan awam ditambah dalam belanjawan berkenaan.

Katanya, jika kerajaan tidak dapat mengumumkan penambahan itu dalam belanjawan kelak, pihaknya berharap perkara itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK-11).

“Dalam menuju status negara maju menjelang 2020, kerajaan perlu menyediakan perkara ini terlebih dahulu.

“Kerajaan juga perlu meneruskan Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan tanpa menggantikannya dengan badan berkanun seperti dirancang.

“Perkara itu perlu diteruskan kerana pertukaran bahagian itu ke badan berkanun lain akan mengganggu kelancaran proses pinjaman perumahan kakitangan awam,” katanya.
DICATAT OLEH