Kalau Anwar ke penjara...Apa kata Economist
Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke penjara selepas kes rayuan Liwat II beliau selesai minggu depan, hukuman itu bukan hanya akan menjadikan beliau seorang syahid, tetapi juga memberi peluang pemimpin muda PKR lain untuk menyinar, kata The Economist hari ini.
Menurut lidah pengarang akhbar itu, Barisan Nasional menggagalkan cita-cita politik Anwar selama 16 tahun – sejak kejatuhannya semasa bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 – dan kes beliau di Mahkamah Persekutuan minggu ini "kelihatan seperti penghujung jalan" bagi pemimpin berusia 67 tahun itu.
Tetapi, hikmah di sebaliknya, kata akhbar itu, ialah ruang bagi pemimpin muda dalam PKR seperti Mohamed Azmin Ali, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar, mengambil alih tampuk kepimpinan dan membuktikan kemampuan mereka.
Daripada ketiga-tiga mereka, Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR Azmin dilihat sebagai yang paling cerah masa depan.
"Dia bermula sebagai setiausaha peribadi Anwar selama berada dalam kerajaan dan terbukti seorang timbalan yang setia. Tetapi pemimpin berusia 50 tahun ini sudah bersedia untuk keluar dari bayang-bayang mentornya," kata akhbar itu.
Azmin bukan hanya lebih berpengalaman daripada Nurul Izzah, anak Anwar dan naib presiden PKR, beliau juga “pemenang” dalam episod “langkah Kajang”, yang diilhamkan Rafizi, yang berakhir dengan Azmin memegang jawatan menteri besar Selangor.
Jika Azmin dapat membuktikan kepada pengundi dia boleh mentadbir Selangor dengan cekap, maka dia mungkin boleh memperolehi apa yang mentornya tidak berjaya lakukan: mengambil alih kepimpinan negara sebagai perdana menteri.
Akhbar itu berkata, walaupun sekiranya rayuan Anwar berjaya, kedudukan beliau sudah "tidak sepenting mana lagi dalam pakatan pembangkang seperti suatu masa dahulu".
Anwar, katanya, dua kali gagal memimpin Pakatan Rakyat (PR) mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Tetapi, Ketua Umum PKR itu tetap seorang tokoh berkarisma dan masih boleh menarik orang ramai seperti yang berjaya dilakukannya pada hari Isnin di Universiti Malaya (UM) semasa program “40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara”.
Walaupun pentadbiran universiti mengisytiharkannya tidak sah dan menutup kampus dari dimasuki orang luar, kira-kira 2,000 orang hadir pada acara itu. Akibatnya, penganjurnya, pemimpin pelajar Fahmi Zainol sekarang berdepan tindakan disiplin universiti.-tmi
0 comments:
Post a Comment