Thursday 23 April 2015

PAS telah pun membuka bilik gerakan di Permatang Pauh...

Khamis, 23 April 2015


Sokongan penuh PAS di Permatang Pauh 

Oleh Abd Shukur Harun


AHLI PAS dijangka akan memberi sokongan penuh kepada calon dari PKR untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh. Ini kerana PAS Pusat  sudah mengeluarkan arahan demikian dengan jelas dan tegas. Oleh itu arahan PAS Pusat ini  tidak boleh diatasi oleh mana-mana pihak dalam kedudukan apapun. Penamaan calon bagi PRK itu pada 25 Mei ini, sementara penamaan pengundian pada 7 Mei.

 Walaupun ada kedengaran suara membantah daripada kalangan segelintir ahli PAS di kawasan itu di mana mereka enggan memberikan kerjasama membantu kempen PKR/Pakatan Rakyat kerana isu hudud, tetapi ia dijangka tidak akan memberi kesan dan tidak akan menimbulkan masalah kepada kelancaran kempen Pakatan di PRK tersebut

Dua pemimpin kanan PAS – Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dr. Mujahid Yusuf Rawa – telah mengingatkan ahli PAS supaya terus membantu calon PKR yang dijangka akan diumumkan hari ini (Khamis). Tuan Ibrahim dalam kenyataannya paling tegas mengingatkan ahli PAS supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh melibatkan hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat atau yang melibatkan hukum. Sebagai ahli Majls Syura Ulamak, katanya, beliau mengingatkan supaya ahli PAS memberikan sokongan penuh kepada calon PKR dan keluar mengundi calon PKR nanti. Ini kerana, kata Tuan Ibrahim, keputusan memberi kerjasama kepada PKR dalam PRK Permatang Pauh ini adalah keputusan yang turut melibatkan hukum syarak.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata bahawa semua pihak, terutama PAS Permatang Pauh, perlu akur arahan PAS Pusat agar membantu jentera PKR untuk memenangkan calon PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh itu. Datuk Dr. Mujahid berkata, tidak timbul soal parti itu meletakkan syarat kepada PKR sebaliknya komited membantu jentera pilihan raya. Beliau percaya PAS Permatang Pauh tidak akan memboikot PRK berkenaan dan akan akur dengan keputusan PAS Pusat supaya bekerjasama dengan PKR. "Selain PAS Pulau Pinang, jentera PAS dari Perlis, Kedah dan Perak juga akan membantu," kata Dr. Mujahid. Dalam pada itu, beliau berkata, PAS Pulau Pinang tidak akan menggunakan PRK itu sebagai pentas menjelaskan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

"PRK Parlimen Permatang Pauh diterajui oleh PKR kerana mereka yang bertanding di situ. Jadi PAS akan mengikut peraturan kempen mereka dan kenapa pula saya perlu mencadangkan kepada PKR untuk memberi penjelasan berhubung isu hudud," katanya kepada media. Menurut Dr. Mujahid lagi, PKR yang akan menentukan keutamaan akan isu yang hendak dibangkitkan dalam kempen mereka dan kepada PAS yang penting strategi kempen adalah untuk supaya PKR menang di Permatang Pauh. Sementara itu, PKR akan meneruskan perbincangan dengan PAS dan optimis kedua-dua parti itu akan bekerjasama dalam kempen Pilihan di PRK Permatang Pauh itu.

 Sementara itu, PKR akan meneruskan perbincangan dengan PAS dan optimis kedua-dua parti itu akan bekerjasama dalam kempen Pilihan di PRK Permatang Pauh itu. Pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Othman menyatakan bahawa semua peringkat kedua-dua parti itu akan meneruskan perbincangan untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum hari penamaan calon Sabtu ini. Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan DS Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Penamaan calon bagi PRK itu ialah pada 25 April dan pengundian 7 Mei.  Permatang Pauh akan menjadi tumpuan untuk kesekian kalinya, terutama sekali sejak pilihan raya 2004, 2008 dan 2013.

 Sementara itu ketika berceramah di Padang Serai beberapa hari lalu, Timbalan Presiden PAS, Muhamad Sabu berkata, bahawa PAS akan bekerjasama erat untuk mempertahan kemenangan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh pada 7 Mei depan. Beliau yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS untuk PRK Permatang Pauh itu bertekad untuk mengembelingkan jentera PAS bagi membantu calon Pakatan untuk menewaskan Umno/BN. “Kita tidak boleh bersendirian jika inginkan kemenangan besar untuk menuju Putrajaya. Kemenangan calon PKR adalah kemenangan Pakatan,” katanya.

PAS telah pun membuka bilik gerakan di Permatang Pauh dan sudahpun memulakan kerja,” kata Mohamad Sabu di majlis ceramah isu semasa dan perasmian Dewan Tuan Haji Harun Haji Rejab di Permatang Tok Dik, di sini beberapa hari lalu. PRK Permatang Pauh ini akan menjadi fokus penting pelbagai pihak. Pertamanya, mengenai kerajasama parti komponen dalam Pakatan Rakyat, terutamanya antara PAS dan DAP. Kedua melihat bagaimana pengaruh DS Anwar Ibrahim di kawasan itu selepas beliau dihukum penjara lima tahun. Adakah sokongan akar umbi terus kukuh Ketiga, isyarat masa depan Pakatan Rakyat itu sendiri sama ada ia akan terus kukuh selepas kepergian Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz dua bulan lalu dan pemenjaraan DS Anwar Ibrahim.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz adalah pemimpin PAS yang sangat teguh pendiriannya dalam mempertahankan Pakatan Pakatan Rakyat. Saya kira, sepeninggalannya, PAS akan terus komited dengan Pakatan Rakyat. PRK Permatang Pauh ini nanti akan menyaksikan secara nyata komitmen PAS terhadap Pakatan Rakyat. Pemimpin PAS berulang kali menyatakan bahawa ia tetap berada dalam Pakatan Rakyat, walapun berdepan dengan pelbagai masalah. Bagi pemerhati politik, sekiranya PAS, PKR dan DAP masih mampu memperlihatkan perpaduan dan keutuhan mereka, terutama berdasarkan prestasi di PRK Permatang Pauh ini nanti, maka mereka menaruh  harapan akan masa depan Pakatan Rakyat.












0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena