Najib Dikelilingi Penasihat Yang Teruk
'PM dikeliling penasihat pandai memandai'
Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini dikelilingi penasihat "pandai memandai".
Katanya, golongan penasihat tersebut lebih mementingkan perut masing-masing berbanding mempertahankan perdana menteri daripada serangan.
Lebih menyukarkan Najib lagi, pemimpin yang mempertahankan anak bekas perdana menteri itu tidak memiliki kredibiliti dan pengalaman, kata Nur Jazlan.
Ini menyebabkan segala hujah yang dikemukakan untuk mempertahankan Najib dapat dipatahkan dengan mudah, katanya.
"Di sinilah letaknya perbezaan utama Tun Dr Mahathir dan Najib sebagai Presiden Umno dan perdana menteri kerana pada zaman Najib, beliau tidak mempunyai barisan menteri kabinet yang berpengaruh terhadap rakyat," katanya.
Menulis dalam blognya, Nur Jazlan berkata, apa yang berlaku dalam Umno ketika ini bukan sesuatu yang baru.
Di bawah tajuk "Bubar Parlimen Dalam Tempoh Terdekat Pilihan Terbaik Umno Terus Berkuasa?" Nur Jazlan berkata, apa yang disaksikan ketika ini, sokongan diberi semua pihak terhadap Najib bukan sesuatu yang mengejutkan.
"Ahli parti tidak perlu menoleh jauh ke belakang untuk melihat sokongan seperti ini pernah diterima presidennya yang keenam, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 sebaik tamat pilihan raya umum ke-12," katanya.
Menurut Jur Jazlan, BN ketika itu hanya mendapat 140 kerusi, termasuk hanya 79 disumbangkan oleh Umno.
Gerakan tersusun jatuhkan PM
Sebaik tamat PRU ke-12, katanya, kedengaran wujud gerakan tersusun untuk menjatuhkan Abdullah dan menggantikannya dengan Najib.
Buat masa ini, kedudukan Najib sebagai presiden Umno secara lahiriah masih kukuh namun kehilangan panglima perang politiknya yang paling kanan, arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis, mungkin menyebabkan beliau sendiri kehilangan arah.
Manakala daripada segi pentadbiran pula, Najib kehilangan ketua staff Sri Perdana, Datuk Azlin Alias serta setiausaha sulitnya, Datuk Po’ad Jelani.
Keadaan itu, katanya, boleh diibaratkan seperti "sudah jatuh ditimpa tangga".
"Terpalit dengan pelbagai isu daripada soal pentadbiran dan pengurusan kewangan negara hinggalah berkaitan keluarganya, Najib sebenarnya berdepan satu situasi yang begitu meruncing.
Temubual tidak meyakinkan
"Najib sewajibnya sedar dan perlu membuka mata serta hati bahawa kenyataan terbuka diterimanya kini, mungkin hanya bersifat retorik semata-mata.
"Amat jarang sekali seorang perdana menteri terpaksa membuat tembual di televisyen secara terbuka bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan bekas perdana menteri kerana kebiasaannya ia dilakukan di belakang tabir atas hubungan bapa dan anak," katanya.
Namun kata anak bekas menteri itu, hasil temubual itu kelihatan langsung tidak meyakinkan Dr Mahathir dan menambahkan lagi kurang keyakinan di kalangan rakyat.
Malah kata Nur Jazlan, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menuntut Najib menjawab persoalan berkenaan.
Katanya, selepas pengisytiharan solidariti ketua Umno bahagian di PWTC awal bulan ini, kenyataan Shafie itu membuka semula kemungkinan berlaku kudeta teratur dalam pimpinan tertinggi Umno seperti yang dialami Pak Lah pada 2008 walaupun ketika itu, daripada zahirnya semua menyatakan sokongan kepada Pak Lah.
"Umno yang kini dicap sebagai sebuah parti feudal sudah pasti di kalangan bangsawannya bertindak mengelilingi pemimpin apabila beliau diancam dan tradisi ini sama seperti dipamerkan golongan bangsawan Inca yang mengelilingi raja mereka apabila diancam penjajah Sepanyol 500 tahun lalu.
"Namun, nasib semua bangsawan empayar Inca ini sama seperti dialami raja mereka apabila semuanya dibunuh menyebabkan rakyat bertaburan melarikan diri dan runtuhlah empayar itu di Amerika Selatan.
"Sifat bermuka-muka dalam Umno bukan satu perkara baru dan seorang gentleman seperti Pak Lah pun boleh dimainkan," katanya.
- mkini
0 comments:
Post a Comment