Perghhh : Tobat Mak Tak Akan Pergi Ke Majlis Itu Lagi.
Hari ini (2 Julai), mak pergi ke MAEPS Serdang kerana mendapat jemputan dari BAITULMAL untuk ke Majlis Sumbangan Hari RAya.
Dalam fikiran aku, Alhamdulillah, mungkin mak dapatlah barang-barang untuk Hari Raya nanti.
Aku tak dapat temankan kerana aku ada tugasan buat Audit Dalaman di syarikat aku. Suami pula tidak dapat cuti. Jadi, abang iparku sudi membantu.
Mak bangun seawal jam 2 pagi kerana Baitulmal menghubungi dan meminta datang ke Masjid Az-Zubair pada jam 4 pagi. Mereka kata, makanan sahur disediakan.
Mak dan abang ipar ke masjid tepat pada jam 4 pagi. Belum sempat makan sahur, semua jemputan diarahkan menaik bas dengan segera kerana sudah tiba masa untuk bergerak.
Mak cepat-cepat mengambil sebungkus bekas makanan dan naik ke bas. Dalam perjalanan, mak buka makanan tersebut. Apa yang ada hanyalah sedikit nasi dan lauknya ikan bilis goreng sejemput. Tiada sayur dan kurma dua biji.
Bukan tidak bersyukur, lebih baik sahur di rumah kalau makan pun tidak kenyang.
Sampai di MAEPS, hari masih gelap. Niat memang nak bersolat subuh. Namun bas berhenti sangat jauh dari dewan, lebih kurang 500 meter. Mak yang berumur 62 tahun mengagahkan diri berjalan sejauh itu. Dari langit gelap sampai cerah, barulah sampai ke dewan.
Tiada sesiapa kakitangan yang datang membantu insan-insan lemah seperti mak. Mak kata ada orang lebih tua dari mak, sampai jatuh terjelepok kerana tak mampu lagi nak meneruskan perjalanan. Ramai yang merungut mengapa pemandu bas memberhentikan kami jauh dari dewan.
Mak juga telah meninggalkan solat subuh di bulan Ramadan kerana setibanya di dewan, toilet penuh dengan orang. Mak pula tak mampu nak berdiri lama, terus ke kerusi yang disediakan. Abang ipar sahaja yang pergi bersolat. Mak terlalu letih pagi ini.
Jam 7 pagi, semua jemputan menanti-nanti apa yang akan berlaku lagi selepas ini.
Sehingga jam 9 pagi, taiada apa yang dibuat pada waktu itu. Hanya menungu dan menunggu. Mak ke toilet sebab dah bosan menunggu dan bertegur dengan seseorang.
"Majlis apa ye, ramai sangat ni?" tanya mak.
Gadis itu menjawab, "Majlis ini saja nak meramaikan majlis makcik,"
MAk mengangguk tanda faham. Mak terpandang di luar dewan, Perdana Menteri Dato' Seri Najib baru sampai dengan keretanya dengan pengiring.
Terdetik dalam hati mak, "PM boleh pula naik ereta sampai dewan, kenapa rakyat perlu susah-susah jalan jauh-jauh?"
Hampir sejam PM berucap, majlis adalah sumbangan aidilfitri untuk asnaf Baitulmal. Memang ada sumbangan untuk anak-anak yatim dan asnaf-asnaf terpilih. Tetapi selain itu, lebih 1,500 orang termasuk mak hanyalah sebagai jemputan sahaja.
"Kalau aku tahu, aku takkan benarkan mak pergi."
Untuk yang lain-lain, tiada sumbangan aidilfitri pun. Yang diberi hanyalah sebuah beg kain berisi kain pelikat, kain batik dan tuala kecil.
Barulah aku tahu sumbangan aidilfitri macam ni.
Duit raya pun tiada. Dalam hati mak, "Tak apalah, ini saja rezeki yang ada."
Tetapi bagi aku, kepenatan mak lebih dari apa yang diberikan. Aku menyesal bagi mak pergi. Rakyat kena tipu.
Habis majlis pada jam 11 pagi. Abang ipar minta mak cepat-cepat keluar kerana takut ditinggalkan bas sebab mak berjalan terlalu perlahan. Mak ikut saja, tetapi mak sempat merungut, penat macam nak mati. Mak tak larat tetapi mak gagahkan juga. Berkali-kali mak berhenti kerana kepenatan.
Mak ada semput, mak asyik berkata, "Tobat aku takkan pergi lagi,". Sampai abang ipar terpaksa memapah mak.
Aku menangis mendengar cerita mak. Sedih sangat-sangat.
Sesampai di dalam bas, mak menarik nafas lega kerana dapat duduk. Sebelum bas bertolak, kakitangan Baitulmal memberikan sampul raya. Mak cakap syukur dapat rezeki walaupun penat. Tetapi bila sampai rumah, buka-buka hanya ada RM30.
Mak ketawa sendiri, "Tobat aku takkan pergi lagi".
Aku yang mendengar cerita mak, rasa sangat marah ketika ini. Apa itu Baitulmal? Apa itu PM? Apa itu politik? Buat event untuk menyusahkan golongan warga emas dengan tujuan hendak meramaikan majlis. Kata dapat sumbangan Hari Raya tetapi dapat kain pelikat, batik dan tuala? Kau ingat kami rakyat beraya dengan kain itu semua?
Kalau mak pengsan sebab penat berjalan, memang aku saman pihak Baitulmal! Aku tak suka bila sesuatu perkara dibuat hanya untuk kepentingan orang lain. Orang macam mak terseksa. Siapa tak marah kalau macam ni. - Rabiatun Asmah Mohd Ali.
Perkongsian Puan Rabiatun ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM
0 comments:
Post a Comment