Bekas setiausaha agung PKR dedah Anwar dihina ketika krisis Selangor
Bekas setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikasari individu dipercayai presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mahu membincangkan kemelut menteri besar Selangor tahun lalu.
Walaupun tidak menyatakan identiti Hadi secara langsung, Saifuddin mengimbas peristiwa ketika dirinya menemani ketua umum PKR berjumpa dengan individu terbabit untuk mengadakan perbincangan.
"Masih ingat saat aku menemani Datuk Seri Anwar berjumpa dengannya. Bagaimana Datuk Seri Anwar diaibkan dengan bahasa yang cukup kasar," katanya dalam status Facebook hari ini.
Perbincangan itu dipercayai merujuk kepada pertemuan singkat Anwar dengan Hadi di Terengganu untuk menukar jawatan menteri besar Selangor yang ketika itu disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Saifuddin berkata, pertemuan itu bagaimanapun tidak membuahkan hasil kerana individu itu beredar kerana kurang sihat implikasi pengambilan ubat.
"Perbincangan terhenti. Dia kemudian beredar. Dua temannya yang juga turut hadir kemudian meminta maaf. Dia baru makan ubat kata mereka.
"Aku dan Datuk Seri Anwar kemudian meminta diri. Indahnya akhlak," katanya sinis.
Bekas ahli Parlimen Machang itu berkata, dirinya menyaksikan sendiri Anwar dihina dan menganggap individu itu "bukan malaikat" yang perlu dipertahankan.
Beliau turut menggambarkan individu tersebut semasa pertemuan itu sebagai "amat kasar" dan Anwar pula bersikap "amat lemah lembut".
"Yang hadir di situ saya. Yang tengok dan dengar sendiri kata penghinaan itu saya.
"Yang dok cerita lebih-lebih kata dia lebih tahu pula sebenarnya tak ada di situ pun. Tapi pertahan gila-gila... 'dia bukan malaikat'," katanya.
Pada Ogos tahun lalu, media melaporkan Anwar dan Hadi mengadakan pertemuan sulit di sebuah hotel di Kuala Ibai, dekat Kuala Terengganu, namun beberapa sumber dalaman parti mendakwa perbincangan itu gagal mencapai kata penyelesaian.
Anwar dilaporkan enggan mengulas lanjut hasil pertemuannya dengan Hadi dan menganggap ia hanya pertemuan biasa.
"Perjumpaan biasa... kita baru dalam proses perbincangan... bincang banyak isu... hasilnya macam biasa," kata Anwar dipetik Astro Awani ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, 12 Ogos lalu. – 9 Julai, 2015.
KedahLanie.
0 comments:
Post a Comment