Penganjur Bersih 4 tetap teruskan perhimpunan
Published: 18 August 2015 1:24 PM
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, tarikh untuk perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos tidak akan diubah.
Pengerusinya Maria Chin Abdullah berkata, DBKL mencadangkan perhimpunan itu diadakan selepas sambutan Hari Merdeka dan turut mencadangkan 3 tempat lain – Taman Tasik Titiwangsa, Stadium Nasional dan Stadium Merdeka.
"Itu mustahil kerana kami sudah pun mengumumkan tarikhnya dan tidak faham mengapa perlu diubah.
"Kami tidak akan mencampuri persediaan sambutan Merdeka kerana (perhimpunan itu) cuma berhampiran Dataran Merdeka.
"Kami tidak akan mengubah tarikh dan akan menyuraikan perhimpunan pada tengah malam (30 Ogos)," Maria memberitahu wartawan selepas bertemu pegawai DBKL pagi tadi.
"Apa yang kami ingin tekankan ialah, sebelum menetapkan tarikh 29 dan 30 Ogos itu, kami sebenarnya menghubungi DBKL, dan mereka mengatakan tidak ada sebarang aktiviti (akan diadakan di Dataran Merdeka).
"Tetapi sekarang mereka memutuskan untuk mengadakan aktiviti," katanya.
Atas arahan DBKL untuk tidak mendirikan sebarang khemah, Maria berkata mereka akan menasihati peserta perhimpunan mengenai perkara itu tetapi tidak dapat berbuat apa-apa jika orang ramai membawa beg tidur.
"Kami boleh memberitahu orang ramai supaya tidak mendirikan khemah tetapi kami tidak boleh memberitahu mereka jangan membawa beg tidur, kerana itulah paling sedikit yang mereka boleh bawa," katanya.
Maria berkata, datuk bandar memberi jaminan yang DBKL dan polis akan memudahkan dari segi mengawal lalu lintas dan orang ramai sementara Bersih akan memberi arahan kepada peserta perhimpunan supaya menjaga kebersihan.
Beliau berkata DBKL mahu mereka mengambil tanggungjawab penuh semasa perhimpunan tersebut tetapi mereka enggan berbuat demikian kerana ia tanggungjawab bersama dengan pihak berkuasa. – 18 Ogos, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/penganjur-bersih-4-tetap-teruskan-perhimpunan#sthash.Hfit3Llj.dpuf
0 comments:
Post a Comment