Thursday 7 September 2017

[Video Anwar tidak bohong - Tun M] Alang-alang Pas meniru hujah Umno, umumkan sahaja walimahnya & Sampai bila nak tunggu Pas? – Saifuddin Nasution

Jumaat, 8 September 2017

Image result for Gambar pakatan harapan

Alang-alang PAS meniru hujah UMNO, umumkan sahaja walimahnya

Kenyataan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa satu undi untuk HARAPAN bermakna satu undi untuk DAP pastinya membuatkan ramai semakin keliru yang mana satu PAS yang mana satu UMNO.
Strategi memfokuskan serangan ke atas DAP dan memburuk-burukkan DAP dengan mempergunakan isu kaum dan agama tidaklah asing kepada UMNO. Malangnya kini, PAS juga turut bermain propaganda yang sama, mengangkat politik kebudak-budakan dan politik huru-hara. Sehingga sudah sukar membezakan yang mana PAS dan yang mana UMNO.
Sepertinya kini, undi untuk PAS bermakna mengundi untuk meneruskan gaya politik UMNO.
Kristian dan Sekular
Terdesaknya PAS mengikut jejak langkah UMNO menyebabkan mereka mencapai apa saja propaganda yang ada lalu dilambakkan kepada umum. Sehingga meracau mengatakan DAP menggerakan gerakan Kristian untuk mensekularkan negara ini.
Suatu masa dahulu, penceramah-penceramah PAS sendiri yang mengajar bahawa sekular itu bermakna ‘agama suku negara suku’, dalam erti kata lain negara tidak lagi beragama. Nah, sekarang bagaimana pula PAS boleh mengatakan sebuah gerakan agama Kristian mahu mewujudkan sebuah negara tidak bergama seperti mana yang PAS fahami?
Politik menghasut api kebencian antara umat Islam dan Kristian ini merupakan politik kebudak-budakan dan politik huru-hara.
Cita-Cita PAS Indah Khabar Dari Rupa
Muhammad Khalil perlu berhenti menabur janji yang hanya indah khabar dari rupa. Beliau menceritakan tentang mahu mengubah Malaysia supaya menurut kepada ideologi PAS dengan sasaranya memenangi 40 kerusi parlimen. Sesiapa yang waras boleh nampak dengan jelas, sekiranya PAS memenangi 40 kerusi parlimen, mustahil PAS boleh membentuk kerajaan Persekutuan lantas mengubah Malaysia menjadi lebih PAS.
Pencapaian terbaik PAS memenangi 27 kerusi Parlimen adalah melalui pakatan pembangkang manakala pencapaian terburuk PAS pula jika dicermati adalah sewaktu mereka mereka bertanding secara sendirian.
Bagaimanakah Muhammad Khalil membayangkan kemungkinan sedemikian, adakah beliau sebenarnya merasakan 40 kerusi itu mencukupi mengambil kira sekali kerusi yang mungkin dimenangi UMNO lantas membentuk satu gabungan UMNO-PAS?
Jika tidak, maka jelas itu hanya merupakan strategi igauan di siang hari.
PAS dan Sifat Ujub
Kenyataan Muhammad Khalil itu juga memperkukuhkan lagi tanggapan bahawa PAS sememangnya tidak mengerti akan semangat sesebuah pakatan. Dan itulah puncanya mengapa suatu masa dahulu mereka bertindak memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP.
Oleh kerana sifat ujub (kagum terhadap diri sendiri) kebanyakan pimpinan PAS, mereka merasakan mereka yang paling kuat, lalu mula bertindak mengikut kepala sendiri sehingga akhirnya berseteru dengan PKR dan DAP.
Jelas selama ini PAS tidak faham bahawa kebanyakan kerusi yang mereka menangi sekarang adalah hasil usaha sebagai satu pakatan pembangkang suatu masa dahulu. Rakyat tidak kira kaum dan agama memberikan undi kepada PAS kerana mereka merasakan pakatan politik yang terbina dahulu merupakan satu pakatan yang terbaik untuk membentuk kerajaan.
Undi diberikan kerana rakyat merasakan bahawa idea yang dibawa semua parti secara gabungan itu adalah apa yang mereka perlukan. Bukannya kerana ideologi khusus mana-mana parti dalam gabungan.
Begitulah juga nanti untuk Pilihanraya ke-14, satu undi untuk HARAPAN merupakan satu undi untuk PPBM (BERSATU), AMANAH, PKR dan DAP, pakatan politik yang benar-benar berpotensi membentuk sebuah kerajaan stabil, progresif dan bersih.
Saya menyeru kepada Muhammad Khalil supaya bermuhasabah dan membuang rasa ujub yang membarah di dalam PAS. Selain berhentilah meniru-niru UMNO, jika sememangnya sudah ada mimpi-mimpi untuk bersanding dengan UMNO, umumkan saja walimahnya!

Sampai bila nak tunggu Pas? – Saifuddin Nasution

Sampai bila nak tunggu Pas? - Saifuddin Nasution
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution hari ini mempersoalkan sampai bila PKR akan membuka pintu rundingan dengan PAS, selepas timbul percakaran dalaman parti itu mengenai keputusan untuk terus berbincang dengan parti Islam itu yang bukan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).
Saifuddin berkata PKR sudah 2 tahun berusaha untuk mendapatkan kerjasama PAS menentang Barisan Nasional (BN) tetapi masih gagal.
“Pendirian saya ialah setiap usaha dan ikhtiar harus ada garis masanya supaya ada kepastian dan ini memudahkan semua pihak,” katanya
dalam kenyataan hari ini untuk menafikan spekulasi beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai setiausaha agung.
PKR semalam menafikan Saifuddin, dilihat antara pemimpin parti yang tidak bersetuju kerjasama dengan PAS, meletak jawatan.
Saifuddin berkata walaupun pelbagai usaha dibuat, adalah jelas PAS lebih berkenan kepada Umno, dan ini memaksa parti lain dalam PH membuat keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dengan PAS.
“Rakyat dapat melihat dengan jelas usaha ini dan rakyat dapat melihat saban hari PAS menunjuk sikap dingin dengan PKR dan Pakatan Harapan sebaliknya semakin lunak dengan Umno/BN,” kata Saifuddin.
Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau sendiri bersetuju supaya usaha berunding dengan PAS diteruskan.
Ia bagaimanapun mengundang kritikan beberapa pemimpin, termasuk Ahli Parlimen Selayang William Leong yang bertindak meletak jawatan daripada Biro Politik PKR.
Semalam, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sebarang usaha untuk mengadakan kerjasama dengan PAS akan dihalang.
Saifuddin berkata, beliau percaya Anwar akan memahami dan menghormati keputusan PH menolak kerjasama dengan PAS.
“Adalah lebih utama PKR menumpukan sepenuh usaha dan tenaga membantu mengukuhkan PH dan menerima hakikat PAS sudah ada pilihannya,” katanya. 

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena