PENYOKONG ZAHID HAMIDI MASIH GUNDAH GULANA, TAK PUAS HATI
Walaupun Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini telah memutuskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun depan, tetapi masih kedengaran penyokong Zahid Hamidi yang tidak gembira dengan perkembangan itu.
Berbual-bual dengan mereka yang dekat dengan Timbalan Perdana Menteri itu dan individu yang dikenali sebagai penyokong setianya, hakikat itu bukanlah terlalu rahsia sebenarnya.
Sesetengahnya, malah meluahkan perasaan gundah gulana dan tidak berapa selesa itu secara terbuka dengan hujah-hujah yang dirasakan ada juga logiknya.
Terdapat dua isu yang mereka bangkitkan di sebalik keputusan menetapkan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang dipersetujui oleh Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini.
Pertama, mereka tetap meragaui keupayaan Najib Razak mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam PRU 14 akan datang berikutan isu 1MDB, derma RM2,600 juta, kenaikan harga barang dan kos sara hidup rakyat masih lagi berada berlarutan dan seolah-olah sedang menguasai pemikiran majoriti pengundi.
Kata mereka, walaupun Najib mendapat sokongan yang padu daripada UMNO, tetapi hakikatnya di kalangan pengundi atau rakyat biasa, masih sukar untuk mencari tiga atau empat daripada sepuluh mereka yang ditemui itu sedia untuk menyokong UMNO dan BN.
Majoritinya masih lagi bersungut dan tidak puas hati tentang pelbagai kekecamukan dan kemelut dalam negara sejak Najib memimpin negara ini.
Bagi penyokong Zahid Hamidi tadi, selagi Najib yang menjadi Perdana Menteri dan seteru utamanya pula ialah Tun Mahathir Mohamad yang dianggap mempunyai pasakan nostalgia amat kukuh di hati rakyat pelbagai kaum, kesukaran dan kemungkinan kalah tetap tidak boleh dielakkan.
Lantaran itu, kata mereka, jika Zahid Hamidi yang tiada banyak isu besar dan tiada skandal 1MDB yang memimpin UMNO dan BN dalam PRU 14 akan datang, peluang meraih kemenangan itu lebih selesa untuk diraih dan dihidangkan.
Namun, kata mereka, harapan melihat Najib mengundurkan diri sebelum PRU 14 sudah pun tertutup dengan keputusan Perhimpunan Agung itu dan Zahid Hamidi kini terpaksa bersedia untuk menerima kekalahan dan tumbangnya UMNO serta BN secara berjemaah hanya disebabkan beban yang sebenarnya berpunca daripada seorang individu sahaja iaitu Najib.
Isu kedua yang menjadi kebimbangan penyokong Zahid ialah sekiranya UMNO dan BN hanya menang tipis dan lebih buruk dalam PRU 14 akan datang berbanding PRU 13 lalu.
Kata mereka, oleh kerana Perhimpunan Agung telah memutuskan untuk terus mengekalkan Najib sebagai Presiden UMNO, bermakna jika keputusan yang buruk sekalipun dicapai dalam PRU 14 nanti, tiada peluang sama-sekali untuk Zahid Hamidi melonjakkan dirinya lebih daripada jawatan Timbalan Presiden yang sudah diperuntukkan kepadanya.
Apakah jika PRU 14 menghasilkan keputusan yang lebih buruk dan tinggal nyawa-nyawa ikan buat UMNO dan BN, kita masih sanggup berperdana-menterikan Najib lagi? soal penyokong Zahid Hamidi tadi.
Dalam pada itu, jika kita renung kembali ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, hanya Najib yang terlihat begitu gembira dan puas hati dengan lulusnya usul tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi itu, manakala Zahid Hamidi tidak banyak mengulas mengenainya.
Apakah dalam hati Zahid Hamidi juga terpercik perasaan tidak puas hati itu? (ShahbudinHusin 12/12/2017)
0 comments:
Post a Comment