Wednesday 28 November 2018

[Video Adib cedera bukan kerana dilanggar] Mana 'Water Cannon'? Mengapa era kebangkitan reformasi dahulu semburan air dilakukan di Masjid Jamek dan Masjid Kampung Baru? Kesimpulannya, pemaju SALAH, tetapi polis tidak cukup tegas!

Khamis, 29 November 2018
Foto Suara Rakyat.
SIASATAN POLIS mendapati peguam kepada pemaju One City Development Sdn Bhd memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, kelmarin.
TIBA-TIBA firma guaman berkait syarikat pemaju One City Development Bhd menafikannya?

APA SEBENARNYA YANG DAH BERLAKU 

KESIMPULANNYA, PEMAJU YANG SALAH TAPI POLIS YANG TIDAK CUKUP TEGAS LEBIH MENAMBAHKAN LAGI MASALAH

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berhubung kekacauan di sebuah kuil di Subang Jaya, jelas yang menjadi punca segala-galanya  adalah pihak pemaju yang memiliki tanah tapak kuil tersebut.

Dalam usaha untuk mengambil alih tanah milik mereka yang dijadikan tapak kuil, pemaju didapati telah melakukannya dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang.

Meskipun telah ada persetujuan bahawa proses itu mahu dilakukan dengan baik dan aman pada 26 November bermula jam 7.00 pagi, malah ia sudah pun dimaklumkan kepada pihak polis untuk membantu mengawal keadaan, tetapi pihak pemaju didapati telah mengupah sekumpulan samseng Melayu untuk memasuki secara ceroboh dan mengawal kawasan kuil seawal kira-kira jam 2.00 pagi iaitu sebelum ketibaan pihak polis.
Peguam pemaju didapati telah membayar wang sebanyak RM150 ribu kepada ketua kumpulan samseng tersebut, tetapi 50 samseng yang menceroboh dan memasuki kuil hanya dibayar antara RM150 hingga RM300 sahaja setiap seorang.

Dengan itu, bayaran kepada 50 samseng yang diarahkan menceroboh dan memasuki kuil itu adalah antara RM7,500 hingga RM15,000, sedangkan wang yang dibayar kepada ketua kumpulan yang berurusan dengan peguam ialah sebanyak RM150 ribu.

Dalam erti kata lain, upah kepada 50 samseng itu hanya sekitar 10 peratus saja daripada bayaran RM150 ribu yang diterima oleh ketua kumpulan itu.
Aduhhh...malangnya nasib Melayu, sudahlah dibayar upah untuk menceroboh tempat ibadah agama yang berbeza yang tidak sepatutnya dilakukan kerana ia tentu saja akan menimbulkan konflik kaum dan agama, lebih malang lagi upah yang diterima adalah seciput cuma berbanding laba berganda yang diraih oleh sang ketua.

Dalam pada itu, meskipun urusan mengupah 50 samseng itu adalah dilakukan oleh peguam pemaju, adalah hampir pasti dan diyakini ia merupakan arahan atau kehendak pihak pemaju sebagai tuan punya tanah di mana terletaknya kuil tersebut.

Muhyiddin dalam sidang akhbarnya juga membayangkan perkara yang sama dengan tidak menolak kemungkinan duit itu datangnya daripada pemaju yang disalurkan kepada peguam terbabit.

Ini kerana peguam biasanya adalah pihak yang hanya menurut arahan dan dibayar atas sesuatu arahan serta agak mustahil ada mana-mana peguam sedia mengeluarkan wang sendiri bagi sesuatu perkara yang mereka tiada kepentingan sama sekali.

Maka, mahu tidak mahu, pemajulah yang bersalah dan harus dipersalahkan dalam hal ini.

(Di penghujung artikel turut disertakan kenyataan media penuh oleh Muhyiddin untuk kita lebih memahami insiden kekacauan yang terjadi)

Kenapa mereka tidak mahu mengikut cara yang betul untuk mengambil alih tanah itu sebagaimana yang sudah dipersetujui akan dilakukan bermula jam 7.00 pagi serta dengan bantuan pihak polis?

Mengapa perlu mengupah kumpulan samseng dan bertindak dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang?

Lebih buruk, akibat daripada tindakan yang melanggar undang-undang itu telah menyebabkan tercetusnya rusuhan yang melibatkan banyak kecederaan dan kenderaan dibakar serta nyaris-nyaris meletusnya suatu kekacauan yang melibatkan kaum dan agama di negara kita.

Disebabkannya jugalah telah berlaku di mana seorang anggota bomba Melayu cedera parah dan sehingga kini masih lagi tidak sedarkan diri.

Bagaimana jika kekacauan itu berakhir dengan rusuhan kaum yang tidak terkawal sudahnya?

Untuk itu, tindakan undang-undang yang sekeras-keras harus diambil kepada sesiapa juga yang terlibat sehingga tercetusnya pergaduhan dan kekacauan tersebut.

Berkaitan hal ini, perkara yang turut sama menyumbang kepada kejadian rusuhan berlarutan sehingga dua tiga hari ialah ketidaktegasan pihak polis dalam bertindak ketika di awal kejadian.

Sepatutnya pihak polis perlu tegas dan tidak berlengah-lengah dalam bertindak bagi membendung kejadian daripada menjadi lebih parah kerana ini adalah kejadian jenayah dan perlanggaran terhadap undang-undang.

Alasan pihak polis sebagaimana kenyataan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun bahawa mereka tidak boleh meredakan rusuhan dengan menembak air kerana kuil adalah kawasan rumah ibadat, sebenarnya tidak masuk akal sama sekali.

Apakah pihak polis lupa bahawa ketika era kebangkitan reformasi dahulu semburan air banyak dilakukan di kawasan Masjid Jamek dan juga Masjid Kampung Baru?

Apa bezanya masjid dengan kuil?

Apa yang diminta bukanlah untuk polis bertindak secara keterlaluan atau keras, tetapi cukup sekadar mematuhi SOP sedia ada dalam menangani sesuatu kekacauan, jenayah dan juga rusuhan.

Lebih-lebih lagi jika kekacauan yang boleh disemarakkan dengan api perkauman dan agama, pihak polis tidak boleh berkompromi sama sekali kerana bahayanya terlalu besar untuk dibiarkan berlarutan, apa lagi sehingga dua atau tiga hari lamanya.

Yang tidak kurang pentingnya, insiden di Subang Jaya ini seharusnya menjadi pengajaran kepada Ketua Polis Negara agar selepas ini mesti menampakkan kepimpinan yang lebih tegas dan berani dalam menegakkan undang-undang negara. (ShahbudinHusin 28/11/2018)
DI BAWAH ADALAH KENYATAAN MEDIA YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN MENTERI DALAM NEGERI BERKAITAN ISU PERGADUHAN TERSEBUT.

1. Isu pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya pada 26 November 2018 telah mendapat perhatian rakyat. Pelbagai telahan telah dibuat berhubung insiden ini terutamanya mengenai penglibatan sekumpulan lelaki Melayu yang menceroboh kuil penganut agama Hindu dan menimbulkan kekecohan di tempat kejadian.

2. Kerajaan memandang serius insiden ini yang telah mewujudkan keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.

3. Saya ingin menjelaskan bahawa berdasarkan siasatan polis, insiden ini tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman. Kejadian ini berlaku berpunca daripada pertikaian antara pihak pemaju One City Development Sdn Bhd dan ahli jawatankuasa kuil mengenai hak milik tanah tapak kuil tersebut.

4. Sebagai penyelesaian kepada pertikaian ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2014 telah merekodkan penghakiman persetujuan bahawa kuil tersebut akan dipindahkan ke satu lokasi baharu yang disedikan oleh pihak pemaju dan tapak asal kuil diserahkan kepada syarikat pemaju yang merupakan pemilik tanah.
       
5. Namun demikian, penghakiman persetujuan ini tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat pihak penganut agama Hindu yang membantah penghakiman tersebut.

6. Berdasarkan siasatan pihak polis, terdapat dua kumpulan penganut agama Hindu dalam kes ini yang mana satu daripadanya bersetuju untuk berpindah dan satu kumpulan lagi tidak bersetuju.

7. Setelah beberapa siri rundingan antara pihak-pihak ini gagal mencapai kata sepakat, pihak pemaju telah merancang untuk melaksanakan perintah mahkamah dengan mengambilalih tapak kuil tersebut sepertimana perintah mahkamah.

8. Beberapa cubaan telah dibuat oleh pihak pemaju untuk mengambilalih tapak kuil tersebut tetapi gagal disebabkan bantahan daripada kumpulan penganut agama Hindu dan kekecohan yang berlaku di tapak kuil.

9. Susulan itu, pihak pemaju sekali lagi merancang untuk mengambilalih tapak kuil yang dijadualkan bermula pada jam 7.00 pagi 26 November 2018. Perbincangan mengenainya telah diadakan di antara pihak pemaju dan ahli jawatankuasa kuil. Pihak polis juga telah dimaklumkan mengenai rancangan ini dan bersedia untuk mengawal ketenteraman di sekitar kawasan kuil tersebut.

10. Namun demikian, pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju telah tidak mematuhi proses pengambilalihan tapak kuil sepertimana yang dirancang mengikut peruntukan undang-undang. Siasatan pihak polis mendapati peguam kepada syarikat pemaju telah mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh kuil tersebut dan mengawal kawasan kuil sebelum ketibaan pihak pemaju dan polis pada pagi 26 November 2018.
     
 11. Berdasarkan siasatan polis, sejumlah RM150,000 telah diserahkan kepada ketua kumpulan ini untuk melakukan kerja menceroboh, mengambilalih dan mengawal kuil. Seramai lebih kurang 50 orang telah diupah untuk melakukan kerja ini yang setiap setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300.

12. Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang ini telah menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda.

13. Saya amat kesal dengan tindakan gopoh dan cuai yang diambil oleh pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju yang jelas melanggar undang-undang. Sekiranya tindakan gopoh dan cuai ini tidak diambil, saya percaya insiden pergaduhan di antara kumpulan lelaki Melayu dan penganut agama Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman tidak berlaku.

14. Susulan insiden ini, pihak polis telah menahan 21 orang individu untuk membantu siasatan. Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti individu-individu lain yang terbabit di dalam insiden ini, termasuk kejadian rusuhan yang melibatkan sekumpulan kaum India pada malam 27 November 2018. Insiden kedua ini telah menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota bomba dan seorang anggota polis selain kerosakan harta benda milik awam dan persendirian.

15. Saya telah diberikan taklimat terperinci oleh Ketua Polis Negara mengenai kedua-dua insiden ini dan saya percaya pihak polis akan dapat melengkapkan siasatan dalam masa terdekat serta membawa mereka yang terbabit dalam perbuatan jenayah ini ke muka pengadilan secepat mungkin.
     
16. Saya ingin menegaskan bahawa insiden pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman. Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia telah hidup secara aman dan harmoni sejak sekian lama. Tidak mungkin kerana satu kejadian terpencil yang membabitkan pertikaian antara jawatankuasa kuil dan pihak pemaju dijadikan sebab untuk mengeruhkan hubungan kaum dan agama di negara kita.

17. Saya menggesa pihak-pihak yang terlibat di dalam isu pertikaian hak milik tanah tapak Kuil Sri Maha Mariamman supaya menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik menurut saluran undang-undang. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi isu ini untuk mencetuskan ketegangan kaum.

18. Saya telah mengarahkan pihak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berhubung insiden ini. Ini termasuk mereka yang membuat kenyataan berbaur perkauman yang bersifat provokatif, menyebarkan berita palsu yang berunsur fitnah dan hasutan serta menganjurkan perhimpunan-perhimpunan untuk membakar sentimen kaum.

19. Sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara keselamatan dan keamanan negara, Kementerian Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menjejaskan ketenteraman awam. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil demi memelihara keselamatan dan keamanan negara.

KEMENTERIAN DALAM NEGERI 
PUTRAJAYA.
28 NOVEMBER 2018.   

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena