KDN: Rusuhan di kuil keterlaluan, tahniah polis kerana kawal keadaan
Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman menyifatkan dua siri rusuhan yang berlaku di sekitar kuil Seafield Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di Subang Jaya sebagai keterlaluan.
Beliau yang turun ke lokasi kejadian susulan rusuhan kedua yang mula tercetus pukul 1 pagi tadi mengingatkan bahawa orang awam tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri.
"Ini saya rasa keterlaluan. Atas Sebab apa pun kita tidak boleh ambil tindakan sendiri," katanya.
Terdahulu, kira-kira 2,000 individu berkumpul di sekitar kuil Sri Maha Mariamman sejak malam semalam meskipun selepas polis mengeluarkan arahan agar orang ramai bersurai.
Walaupun jumlah orang ramai di sekitar kuil berkurangan selepas tengah malam, kekecohan tercetus sekali lagi yang melibatkan kenderaan dibakar dan lori bomba yang berada di tempat kejadian dibaling dengan objek keras.
Sekumpulan besar individu yang hadir turut berarak ke kompleks One City dan merusuh di pejabat pemaju yang juga merupakan pemilik tanah kuil yang terlibat dalam pertikaian berkenaan.
Ketika kejadian, anggota polis dan sekurang-kurangnya sebuah lori pasukan Polis Simpanan Persekutuan berada di tempat kejadian.
Sementara itu, Azis mengucapkan tahniah kepada pihak polis yang menurutnya berjaya mengawal keadaan daripada bertambah parah.
"Saya ucapkan tahniah kepada pihak polis. Dalam keadaan ini terus cuba mengawal keadaan daripada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
"Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlanjutan ia akan menjadi lebih parah," katanya.
Ketika ditanya kenapa polis tidak bertindak ketika kekecohan mula berlaku, Azis menjelaskan bahawa polis menerima arahan untuk memantau dan mengawal keadaan.
Jelas Azis, polis juga tidak mahu dilihat berpihak.
"Kita dapat arahan agar polis memantau keadaan agar tidak berlaku kekerasan. Polis sangat membantu dalam memastikan tidak ada perkara keganasan yang berlaku
"Polis mengawal keadaan dan mereka tidak mahu nanti disebut pula berpihak. Mereka tidak berpihak," katanya.
Sementara itu, Azis turut menegaskan bahawa kejadian berkenaan merupakan pertikaian yang tidak melibatkan kaum dan boleh diselesaikan secara baik.
Mk.
0 comments:
Post a Comment