Wednesday, 21 March 2018

[Video Shafie Apdal: Kenapa Perlu Undi Parti Warisan Sabah?] NAJIB LEKEH sungguh, lebih bersandar lakaran baru SPR untuk menang pilihanraya.

Rabu, 21 Mac 2018

Image may contain: bird
Tumpang sekole.

NAJIB LEKEH, LEBIH BERSANDAR LAKARAN BARU SPR UNTUK MENANG PILIHANRAYA


Mungkin dalam minggu ini atau minggu depan, usul persempadanan atau lakaran baru kawasan-kawasan pilihanraya akan dibentangkan di Parlimen.

Mengikut jangkaan, usul tersebut akan diluluskan secara pantas di mana ia akan dibentangkan pada sebelah pagi, kemudian dibahaskan dan dibuat undian bagi kelulusan pada sebelah petang atau malam.

Usul itu juga, sebaik diluluskan melalui undian belah bahagi atau secara majoriti mudah saja, ia kemudian akan terus dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong untuk diperkenan dan diwartakan. 

Bermakna, ia tidak akan melalui Dewan Negara sebagaimana kebiasaannya, meskipun langkah itu adalah dibenarkan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengatakan, Parlimen hanya akan dibubarkan selepas usul persempadanan baru itu dilulus untuk diwartakan.
Dalam erti kata lain, selain keraguan terhadap kemenangan dan sokongan rakyat, tindakan Najib Razak melewat-lewatkan pembubaran Parlimen selama ini hanyalah semata-mata menunggu persempadanan baru diluluskan terlebih dahulu.

Ia dengan sendirinya mengesahkan bahawa Najib tiada keyakinan untuk menang pilihanraya akan datang, meskipun mempunyai pelbagai kelebihan seperti penggunaan jentera kerajaan, kewangan tanpa had, kawalan media dan sebagainya, melainkan dengan berharap kepada bantuan SPR untuk melakar semula kawasan-kawasan pilihanraya sedia ada.

Oleh kerana BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen, mereka tidak boleh menambah kawasan-kawasan pilihanraya, sama ada Parlimen atau DUN yang sepatutnya dilakukan setiap 10 tahun sekali.

Kali terakhir persempadanan baru dilakukan ialah pada 2003, tetapi sejak BN ketiadaan majoriti dua pertiga bermula pilihanraya 2008, pertambahan kawasan pilihanraya terhalang dengan sendirinya.

Meskipun tidak boleh menambah kawasan Parlimen dan DUN, tetapi dengan kuasa yang ada padanya, sesuai dengan pertambahan penduduk di banyak kawasan, SPR masih boleh membuat lakaran baru kawasan-kawasan pilihanraya untuk disesuaikan dengan perkembangan itu.

Malangnya, berdasarkan pendedahan di pelbagai media, lakaran baru kali ini seolah-olah mahu memberi kelebihan kepada UMNO dan BN, khususnya di negeri atau kawasan yang sedang dikuasai oleh pembangkang.

Telah didedahkan bagaimana sesuatu penempatan itu dikeluar atau dimasukkan ke kawasan-kawasan tertentu lebih berasaskan kepada kedudukan kaum dan bukannya untuk memberi kesamarataan berbanding kawasan-kawasan lain.

Terdapat juga kawasan Parlimen tertentu dibesarkan lagi keluasan dan ditambah jumlah pengundi, sedangkan kedudukannya sebelum ini pun sudah merupakan antara kawasan yang teramai jumlah pengundinya.

Dengan semua perkembangan itu, di samping pengesahan Zahid Hamidi bahawa Parlimen hanya akan dibubarkan selepas usul persempadanan atau lakaran baru diluluskan, ertinya inilah talian hayat terakhir BN untuk terus mengekalkan kuasanya.

Di sebalik terkait dengan skandal paling buruk dalam dunia yang sekaligus menyaksikan sokongan terhadapnya merudum hari demi hari, Najib kini hanya bergantung kepada usaha SPR itu untuk terus mengekalkan kuasanya.

Tidak sebagaimana amalan pemimpin terdahulu dan kelaziman dalam mana-mana pilihanraya, faktor utama untuk mencapai kemenangan ialah sejauh mana rakyat menyukai atau memberi sokongan, "Pahlawan Bugis" kita ini agak terbalik sifatnya.

Beliau ingin menang lebih bersandarkan kepada bantuan lakaran baru kawasan-kawasan pilihanraya di seluruh negara, walaupun sedar sokongan rakyat makin menipis terhadapnya.

Ini sekaligus menjadikan Najib sebagai pemimpin paling lekeh dalam usaha mahu mencapai kemenangan dan mengekalkan kuasa.

Bayangkan, katalah berlaku hal-hal tak terduga atau di luar jangkaan sehingga menyebabkan usul persempadanan baru ini tidak dapat dibentangkan dan diluluskan di Parlimen, adakah ia bermakna tarikh pilihanraya juga akan tertunda lagi atau mungkin ditiadakan sama sekali? (ShahbudinHusin 20/03/2018)

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena