Sunday 16 December 2018

[Video Saya dengar berdesing telinga] APAKAH EPISOD 1998 akan berulang kembali? Apakah kali ini Hamzah sekali lagi akan muncul sebagai watak untuk menghalang Anwar?

Ahad, 16 Disember 2018
Image may contain: 1 person, text
Tumpang sekole.

APAKAH EPISOD 1998 AKAN BERULANG KEMBALI?

Di sebalik satu demi satu Ahli Parlimen UMNO bertindak keluar parti di mana sehingga ini jumlahnya sudah mencecah 16 orang, dalam waktu yang sama disahkan seramai 36 Ahli Parlimen BN juga telah menandatangani akujanji menyokong kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Perkara ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin yang turut mengumumkan keluar daripada UMNO bersama lima yang lain semalam.

Kata Hamzah yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sokongan kepada Tun Mahathir itu bertujuan untuk memastikan kestabilan kerajaan dan bagi mengelakkan Parlimen digunakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Tidak sukar untuk memahami bahawa pihak yang dimaksudkan Hamzah yang dikatakan mungkin menggunakan Parlimen untuk menjatuhkan Tun Mahathir itu tidak lain tidak bukan ialah Anwar Ibrahim.

Anwar ketika ini berada dalam dua senario - pertama, sebagai pengganti yang sudah dipersetujui oleh Pakatan Harapan untuk mengambil alih kedudukan Tun Mahathir dalam tempoh kira-kira setahun setengah daripada sekarang dan kedua, beliau mungkin bekerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO yang pro kepada Zahid Hamidi untuk melakukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Jika penantian suatu penyeksaan dan ternampak tanda-tanda Tun Mahathir enggan menyerahkan jawatan, pilihan bagi Anwar ialah mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen bagi menyingkirkan Tun Mahathir.

Meskipun jika Ahli Parlimen PKR berpecah kerana kumpulan pro Azmin ketika ini dilihat sudah "jatuh cinta" kepada Tun Mahathir, tetapi dengan sokongan DAP dan Amanah, ditambah dengan kehadiran sokongan Ahli Parlimen UMNO serta daripada Sarawak, kebarangkalian untuk Anwar berjaya melakukan rampasan kuasa tidak boleh ditolak.

Tun Mahathir ternampak menyedari hakikat ini dan sebab itu usaha menarik Ahli Parlimen UMNO melompat parti giat diusahakan, selain melalui akujanji sokongan terhadapnya yang melibatkan 36 Ahli Parlimen BN itu.

Bermakna, dalam diam-diam sekarang, wujud perlumbaan kuasa antara Tun Mahathir dan Anwar.

Dalam hal ini, yang menarik sekali ialah Hamzah sekali lagi muncul sebagai watak yang dipergunakan untuk menghalang kemaraan Anwar.

Pada tahun 1998 dahulu, sebelum Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Hamzah merupakan salah seorang yang memainkan peranan penting dalam episod tersebut.

Melalui rakaman perbualan Anwar mengorat isterinya yang disebar-luaskan waktu itu, ia telah dijadikan sandaran untuk menunjukkan buruknya perangai beliau sebagai bakal pemimpin negara yang kemudian ditambah lagi dengan hebaran cerita serta pendakwaan berkaitan kes liwat terhadapnya.

Sejak tersingkirnya Anwar pada 1998 itu, Hamzah terus melonjak dalam politik sehingga berjaya menjadi menteri, walaupun beliau bukanlah pemimpin yang menonjol sangat ketokohannya.

Apakah kali ini Hamzah sekali lagi akan muncul sebagai watak untuk menghalang Anwar?

Tetapi, jika benar trendnya ke arah itu, mengapa Tun Mahathir tidak mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar, walhal ia sudah dipersetujui dalam Pakatan Harapan?

Apakah kesalahan atau salah laku yang ada pada Anwar ketika ini?

Sampai bila pula Tun Mahathir mahu memegang jawatan Perdana Menteri, sedangkan usianya sudah melebihi 93 tahun dan beliau juga menyatakan hanya mahu memegang jawatan itu selama dua tahun saja?

Siapakah pilihan sebenar yang ada dalam hati Tun Mahathir yang mahu diserahkannya jawatan Perdana Menteri selepasnya? (ShahbudinHusin 15/12/2018)

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena