Friday, 30 January 2015

[Video] Kerajaan Kalah Dalam Saman Terhadap BERS✓H...Akan terus berdemonstasi di jalan – Maria Chin

Sabtu, 31 Januari 2015

Kerajaan Kalah Dalam Saman Terhadap BERS✓H

Mahkamah tolak saman Putrajaya atas himpunan Bersih 2012 

Mahkamah Tinggi menolak tuntutan saman ganti rugi kerajaan persekutuan terhadap kumpulan reformasi pilihan raya Bersih bagi kerosakan harta benda semasa perhimpunan pada April 2012 di Kuala Lumpur, mengatakan Putrajaya tidak dapat membuktikan “balance of probability” (kebarangkalian yang munasabah). 
Hakim John Louis O' Hara mengumumkan keputusan itu dalam satu penghakiman lisan hari ini.

Pada Mei 2012, Putrajaya mengambil langkah yang tidak pernah dibuat sebelum ini dengan menyaman pengerusi bersama Bersih ketika itu, Datuk Ambiga Sreenivasan, dan ahli jawatankuasa pemandu kumpulan itu, sebagai penganjur perhimpunan, menuntut ganti rugi sebanyak RM122,000.

"Plaintif (kerajaan) mengatakan, defendan gagal menjalankan tanggungjawab berkanun mereka apabila perhimpunan itu menjadi hilang kawalan dan bertukar menjadi rusuhan, menyebabkan kerosakan kepada kenderaan, kebanyakannya milik polis dan membabitkan kos pembaikan berjumlah RM122,000," menurut tuntutan itu.

Kerajaan memfailkan saman terhadap Ambiga di bawah Seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 yang menyatakan penganjur perlu "memastikan perhimpunan itu tidak akan membahayakan kesihatan atau menyebabkan kerosakan kepada harta atau alam sekitar".

Tetapi pada Jun 2012, Ambiga memfailkan saman balas terhadap Putrajaya, mendakwa kerajaan melanggar hak perlembagaan beliau.

Antara lain, bekas pengerusi Majlis Peguam itu berkata, PAA bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Seksyen 6 yang katanya membataskan haknya terhadap kebebasan berhimpun.

O'Hara juga membenarkan tuntutan tangkapan tidak sah, penahanan dan serangan oleh polis terhadap Wong Chin Huat, salah seorang ahli jawatankuasa pemandu, dan mengarahkan beliau dibayar RM21,000 sebagai ganti rugi.

Hakim juga mengarahkan beliau Wong dibayar RM30,000 sebagai kos.


Beliau juga menolak tuntutan Putrajaya untuk satu deklarasi yang sebagai penganjur perhimpunan, Bersih mesti bertanggungjawab terhadap kerosakan harta benda awam, termasuk kenderaan polis.

"Adalah jelas pada pandangan mahkamah ini yang kerosakan berlaku hanya selepas Ambiga membatalkan perhimpunan tersebut.

"Tambahan pula, tiada bukti yang membolehkan mahkamah berpuas hati yang kerosakan yang berlaku adalah disebabkan peserta perhimpunan yang sah atau dilakukan ejen bebas," katanya.

Ambiga kemudian memberitahu pemberita, hakim membuat beberapa komen yang signifikan mengenai tingkahlaku polis.

"Ini keadilan bagi Bersih dan hak rakyat untuk berhimpun, dan ini hari yang sangat positif bagi Malaysia. Saya harap kerajaan tidak memfailkan rayuan," katanya.

"Saya rasa hakim itu sudah menyatakan dengan jelas, apa saja keadaan, kerajaan perlu membuktikan kesnya terhadap individu-individu tertentu itu."

Beliau juga mengulangi kenyataan yang Bersih tidak pernah menyokong keganasan.

Wong berkata pampasan yang diterimanya sangat bermakna kepada semua peserta perhimpunan aman kerana anggota polis menjadikan modus operandi mereka untuk tidak memakai tag nama dan nombor mereka.

"Tetapi saman ini menunjukkan apabila saya dibelasah polis, mereka tidak terlepas daripada bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata keputusan itu juga bermakna polis sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.

"Mereka mempunyai tanggungjawab, dan dalam kes saya, pegawai polis itu tidak memberitahu saya mengikut undang-undang mengapa saya ditangkap dan ditahan," katanya.

Katanya wang RM21,000 itu akan diberi kepada satu dana kebebasan yang ditubuhkan Naib Pengerusi Bersih Thomas Fann bagi menyokong mana-mana rakyat Malaysia yang menghadapi masalah menjalankan hak perlembagaan mereka.
 


Akan terus berdemonstasi di jalan – Maria Chin

KUALA LUMPUR: Ekoran penolakan tuntutan saman pihak kerajaan Malaysia terhadap Pengerusi BERSIH 3.0, Datuk S Ambiga dan 14 jawatankuasa penganjur, Aktivis Maria Chin Abdullah menyatakan akan terus berhimpun di jalanan.

Baginya, keputusan Mahkmah ini menunjukkan bahawa rakyat mempunyai hak untuk berdemonstrasi di jalanan. “Kami akan teruskan untuk berhimpun di jalanan kerana itu adalah hak kami, dan kami akan terus berjuang bagi memastikan Pilihanraya Umum berjalan dengan bersih,” katanya sewaktu ditemui pemberita di luar mahkamah.

Pada masa sama, Maria turut mengharapkan agar kerajaan tidak mengemukakan rayuan kerana ia akan lebih membazirkan wang, masa dan tenaga rakyat.

“Sudah terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rakyat untuk berhimpun dan adalah tidak perlu untuk kerajaan mengambil tindakan ke atas perkara ini.

“Jika kerajaan membenarkan perhimpunan ini dilakukan, pastinya tidak ada kemusnahan harta awam dan pastinya juga kami tidak ada di sini,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga turut menyatakan bahawa Bersih sendiri tidak pernah menyokong keganasan.

“Mereka yang melakukan keganasan harus bertanggungjawab di atas keganasan yang dilakukan,” ujarnya. Selain itu, defenden ketujuh, Dr Wong Chin Huat yang menerim wang ganti rugi bersyukur dengan jumlah ganti rugi sebanyak RM51,000 yang diterimanya.

Beliau sebelum ini telah dipukul oleh pihak polis pada perhimpunan itu, menyatakan wang tersebut akan didermakan.

“Duit ganti rugi itu saya akan dermakan kepada tabung kebebasan,” ujarnya. -FMT
Kelab Greenboc 
Dicatat oleh 

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena