Sunday, 25 January 2015

Local Council Election - Harus beringat 'POLITIK PERKAUMAN' adalah nyawa UMNO...

Ahad, 25 Januari 2015

Pilihan Raya PBT, Pendemokrasian dan 13 Mei

Saya mengikuti dengan penuh minat apa yang sedang dibahaskan berhubung isu Pilihan Raya PBT atau Local Council Election di media perdana dan alternatif. Seperti biasa dengan sebarang isu di Malaysia, ianya dikaitkan dengan isu kaum dan politik perkauman. Malangnya kali ini, kaitan itu dibuat oleh Presiden PAS dan bukan UMNO. Isu 13 Mei sememangnya sering digunakan oleh UMNO untuk menghalang proses pendemokrasian yang lebih menyeluruh. Segala persoalan ketelusan dan pertanggung-jawaban dijawab dengan ancaman akan berlakunya 13 Mei. Oleh itu apabila ianya disebut oleh Presiden PAS, maka ramai yang terkejut dan tertanya-tanya.

Sememangnya kekhuatiran yang ditimbulkan oleh Dato Seri Tuan Guru Hj. Hadi ada asasnya. Politik Malaysia di bawah UMNO, hakikatnya sebegitu. Tiada walaupun satu peristiwa yang akan terlepas dari tafsiran secara perkauman sempit yang digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat khususnya orang Melayu, walaupun ianya sesuatu yang baik dan boleh membawa kebaikan kepada semua, termasuk orang Melayu. Oleh itu, sekiranya persoalan pilihan raya PBT ini tidak diurus dengan baik, maka golongan haluan kanan Melayu seperti PERKASA dan ISMA berkemungkinan mengambil kesempatan. Jika pembinaan Kondominium mewah di Datum Jelatek pun boleh dijadikan isu perkauman, maka apatah lagi isu pilihan raya PBT?

KEBAIKAN PILIHANRAYA PBT
Oleh itu pada mulanya, marilah kita akui bahawa pilihan raya PBT adalah sebahagian dari usaha pendemokrasian di mana peranan rakyat diperkasakan dengan dibenarkan mereka memilih wakil mereka untuk menjadi ahli majlis di PBT. Ianya sesuatu yang pada dasarnya baik kerana berasaskan prinsip keadilan dan demokratik termasuk “No taxation without representation” atau tiada pencukaian tanpa perwakilan; yang telah menjadi cogan kata perang kemerdekaan Amerika dari penjajahan British.

Sepertimana cukai diambil oleh kerajaan Pusat dari rakyat, maka rakyat memilih wakil rakyat untuk mewakili mereka di Pusat (Parlimen). Begitu juga dengan kerajaan Negeri di mana cukai diambil dari rakyat Negeri itu dan rakyat negeri tersebut memilih wakil mereka untuk mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri. Maka begitu juga dengan PBT, di mana rakyat dicukai oleh PBT dan rakyat di dalam PBT tersebut berhak memilih wakil mereka untuk mewakili mereka di PBT. Ini adalah antara lainnya untuk menentukan bahawa duit cukai yang dikutip oleh Pusat, Negeri dan PBT digunakan dengan cara yang selari dengan kehendak pembayar cukai di semua peringkat berkenaan.

Pilihan raya PBT bukan sesuatu yang buruk dan tidak semestinya dikaitkan dengan persoalan penguasaan satu kaum ke atas PBT dan Negara. Sebaliknya ianya usaha menjamin ketelusan dan pertanggung-jawaban yang lebih berkesan demi kebaikan rakyat keseluruhannya. Oleh sebab itu ianya diamalkan di kebanyakan, kalau tidak kesemua, Negara demokrasi termasuk UK dan Turki.

HAKIKAT POLITIK NEGARA
Namun demikian, pada masa yang sama, kita perlu juga mengakui hakikat politik negara Malaysia dan bagaimana UMNO dan BN telah mengekalkan obor perkauman sehingga ianya boleh dinyalakan kembali dengan begitu mudah sekali oleh golongan politik kanan yang dilindungi. Ini menuntut agar menjadi lebih kreatif dalam berusaha untuk mencapai matlamat dengan memikirkan cara yang tidak akan memberikan peluang kepada mana-mana golongan terdesak ini untuk mengambil kesempatan. Pendekatan dan kaedah yang digunakan di UK dan Turki serta negara-negara lain tidak boleh diikuti secara bulat-bulat begitu sahaja kerana realiti politik mereka mungkin berbeza.

Oleh itu dalam beberapa perbincangan yang pernah diadakan dengan PR Selangor sebelum PRU ke 13 pada 2013, beberapa model telah dibincangkan supaya memungkinkan pilihan raya PBT diadakan tanpa memberi ruang kepadanya dieksploitasikan. Di antara yang pernah dicadangkan adalah dengan diadakan pemilihan untuk hanya 12 dari 24 ahli majlis yang diperlukan sambil baki 12 lagi dilantik dengan tujuan mengimbangi ketidak-adilan perwakilan semua kaum sekiranya ianya berlaku. Ada juga cadangan diadakan pilihan secara berpasukan di mana setiap pasukan mempunyai calon dari setiap kaum dan apabila sesuatu pasukan menang, dengan sendirinya perwakilan mengikut kaum turut juga dipenuhi.

BANTAHAN OLEH GOLONGAN ‘PURIST’ DEMOKRATIK
Mungkin golongan ‘purist’ akan membantah bahawa kaedah sebegini tidak memenuhi kehendak demokrasi sepenuhnya. Mungkin bantahan itu ada kebenarannya, tetapi adakah mungkin dipenuhi tuntutan demokrasi sepenuhnya di peringkat PBT sedangkan di peringkat Negeri dan Pusat ianya tidak dipenuhi? Apabila suasana negara menjadi lebih demokratik dan media dibebaskan sehingga golongan kanan Melayu dipinggirkan sepertimana sepatutnya, mungkin pada ketika itu ianya boleh dilaksanakan dengan lebih baik lagi.

Lagi pun pada pendapat saya, kaedah yang dicadangkan ini adalah satu daripada langkah ke arah yang lebih baik dan merupakan satu kemajuan ke arah pendemokrasian.

Dan inilah cabaran bagi barisan pemimpin sedia ada. Bagaimana untuk melicinkan lagi proses pendemokrasian dengan mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang paling sesuai untuk menghadapi keadaan dan realiti politik semasa. Perlaksanaan yang tidak mengambil kira keadaan dan hakikat masyarakat akan bertemu kegagalan sambil tidak mengusahakan perlaksanaannya sama-sekali, dalam apa bentuk sekali pun, atas alasan keadaan dan suasana, adalah ‘kegagalan sebelum bermula’.

Pokoknya masalah ini boleh ditangani dengan baik dan bijaksana sehingga pilihan raya PBT boleh diadakan dalam bentuk tersendiri tanpa menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu bahawa mereka akan hilang pengaruh di PBT tertentu. Persoalannya adalah samada ingin mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak atau sengaja ingin mencari perbalahan dengan tujuan menghancurkan PR.

POLITIK PERKAUMAN DAN PAS
Politik perkauman adalah nyawa UMNO. Oleh itu orang Melayu lebih ramai terpengaruh dengan politik perkauman berbanding kaum lain. Kalau boleh, semua peristiwa hendak difahamkan kepada rakyat sebagai cabaran dan ancaman terhadap orang Melayu. Islam digunakan sebagai alat politik untuk menyatupadukan Melayu atas agenda politik Melayu sedangkan agenda politik Islam terus diabaikan. Agenda politik Melayu adalah berbeza dengan agenda politik Islam. Agenda politik Melayu adalah adu-domba dan perkauman demi menjaga kedudukan Melayu walaupun ajaran Islam dipinggirkan. Agenda politik Islam adalah kesatuan dan perdamaian atas keadilan Islam demi menzahirkan kebenaran.

Orang Melayu akan terus tenggelam dalam arus politik Melayu atau politik perkauman kecuali diselamatkan dengan politik Islam. Demi agenda politik Melayu yang memerlukan supaya sentiasa dibezakan antara Melayu dan bukan Melayu, maka Islam turut di Melayukan. Memperjuangkan Melayu menurut mereka adalah memperjuangkan Islam. Dan menentang kehendak bukan Melayu adalah juga memperjuangkan Islam. Sedangkan Islam adalah keadilan untuk semua termasuk yang bukan Islam dan bukan Melayu.

Hanya PAS, buat masa ini, adalah harapan orang Melayu supaya terselamat dari arus politik perkauman sempit yang dibawa kumpulan yang terdesak. Amatlah malang sekiranya PAS juga terbawa-bawa dengan agenda politik perkauman Melayu dengan hasrat ‘menjentik’ kaum lain yang beragama selain Islam. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada pimpinan PAS supaya istiqamah dengan perjuangan Islam yang dibawa selama ini.

KESIMPULAN
Usaha pendemokrasian ini diperlukan kerana ianya akan menjamin ketelusan dan pertanggung-jawaban. Pada masa yang sama juga perlu menjamin supaya obor perkauman tidak dinyalakan oleh pihak yang terdesak. Saya yakin penyelesaian boleh dicari sekiranya ianya diusahakan secara berhikmah, ikhlas dan penuh tanggungjawab.

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena