Tuesday, 20 January 2015

"Kerajaan Najib dan Rosmah"? Iye ke! "Janganlah Takut! Takkan Desak Najib Berhenti Boleh Masuk Penjara"?

Selasa, 20 Januari 2015

Kita dilandasan yang tepat...........
Menuju ke longkang....


salah satu bukti malysia berada di landasan yg tepat


"Janganlah Takut, Takkan Desak Najib Berhenti Boleh Masuk Penjara"
Walaupun semakin ramai pemimpin UMNO menyedari bahawa Najib Razak lebih berpotensi menjerumuskan parti kepada kekalahan dalam pilihanraya umum akan datang, tetapi tidak ada sesiapa yang berani bersuara secara terbuka mengenainya.

Mereka lebih senang memilih untuk berdiam diri sambil menikmati laba daripada jawatan dalam kerajaan atau GLC yang masih disandang atau kemewahan daripada habuan projek atas nama jawatan dalam parti.

Secara umumnya, mereka tidak sangsi bahawa Najib ketika ini diselubungi dengan pelbagai masalah dan kelemahan, dari hutang negara yang kian bertambah, isu 1MDB, pembaziran, pasaran saham yang menjuman sebagai bukti ketidakyakinan pelabur, ekonomi yang suram dan pelbagai lagi.

Dalam mengurus parti pula, Najib bukan saja gagal mewujudkan keharmonian dalam UMNO, bahkan kepimpinannya yang lemah menjadikan sesama komponen BN lebih banyak berbalah dan bertikam lidah sesama sendiri daripada menunjukkan kesepatakan.

Realitinya, hanya 191 ketua bahagian - itu pun bukan semua - yang masih bersungguh mahu mempertahankan Najib, rata-rata pemimpin di peringkat yang lain mulai terbuka menyatakan harapan dan peluang UMNO akan lebih cerah jika beliau digantikan dengan pemimpin yang lain.

Pemimpin UMNO juga sedar isu yang turut memberatkan lagi penanggungan Najib sebagai Perdana Menteri ialah karenah isterinya, Rosmah Mansor yang tidak habis-habis menimbulkan masalah kepada parti dan negara.

Rosmah bukan saja berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini yang lebih selesa menjadi pendokong dan penyokong setia kejayaan suami, bahkan penonjolannya yang berlebih-lebihan juga menyebabkan kedudukan timbalan perdana menteri hampir-hampir tenggelam dibanjiri glamour serta publisiti mengenainya.

Jika semasa Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, peranan dan kedudukan timbalannya seperti Musa Hitam, Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Pak Lah nampak turut menyerlah dan diakui, kerajaan sekarang lebih dikenali sebagai "kerajaan Najib dan Rosmah".

Tidak banyak, bahkan hampir tidak ada yang menyebut kepimpinan kerajaan sekarang adalah gandingan Najib dengan Muhyiddin. Poster dan kain rentang yang memaparkan Najib dengan Rosmah juga lebih banyak di seluruh negara berbanding Najib dengan Muhyiddin.

Sebab itu, sama ada Anwar bakal dipenjara atau tidak atas kesalahan liwatnya, peluang PR memenangi pilihanraya akan datang lebih cerah berbanding BN. Dengan hanya berbekalkan undi Melayu kampung yang masih setia, semua segmen lain dalam masyarakat sudah menolak Najib dan kerajaan.

Najib dianggap sudah membawa banyak kerosakan dan masalah kepada negara dan hanya penggantian kerajaan saja satu-satunya jalan merintis perubahan serta menjelmakan keadaan yang lebih baik untuk negara.

Pemimpin UMNO bukan tidak sedar hakikat ini. Mereka sedar UMNO lebih mungkin kalah dan Najib tidak berupaya lagi memperbaiki semua masalah serta kerosakan yang bertompok-tompok ini.

Halangan utama pemimpin UMNO untuk tampil bercakap benar ialah sayangkan kemewahan dan jawatan yang dimiliki sekarang. Mereka wala' atau akur dan patuh kepada kepimpinan Najib hanyalah kerana "cari makan" dengannya, biar pun sedar sikap itu tidak baik untuk parti dan negara.

UMNO tidak pernah sekritikal ini sepanjang sejarahnya sebelum ini. Jika wala' kepada Najib boleh membawa kepada hilangnya kuasa UMNO dan kerosakan yang lebih buruk kepada negara, pemimpin UMNO seharusnya berani tampil ke depan bercakap tentang kebenaran.

Luahan rasa tidak puas hati terhadap Najib ini bukan lagi perbualan harian rakyat biasa, penyokong PR atau mereka yang tidak berparti di kedai-kedai kopi, lobi hotel, di pejabat atau di mana saja, bahkan sudah merebak luas di kalangan ahli UMNO sendiri.

Di rumah kebanyakan pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bahagian pun, topik kelemahan Najib dan pelbagai karenah Rosmah sudah menjadi santapan perbualan hari-hari. Kadangkala anak-anak mereka yang masih bersekolah rendah pun turut bercakap tentang kelemahan Najib serta karenah Rosmah.

Rata-rata perbualan itu menjurus kepada kesimpulan bahawa UMNO akan kalah jika Najib terus memimpin parti dan kerajaan dalam pilihanraya akan datang ini. UMNO dan BN dianggap hanya mempunyai harapan jika Najib diundurkan dan diganti dengan pemimpin lain yang tidak banyak isu serta tiada karenah berkaitan isteri.

Untuk itu, inilah masa dan ketikanya pemimpin UMNO harus berani bersuara. Nyatakanlah dengan jujur penolakan ahli peringkat bawahan dan juga suara rakyat yang semakin membengkak menolak UMNO dan kerajaan ini kepada Najib. Suara itu sudah pun semakin kuat di peringkat bawah dan kian membesar hari demi hari.

Meminta Najib berundur untuk kebaikan UMNO dan negara bukanlah suatu dosa dan kesalahan. Jauh sekali boleh menyebabkan dipenjara atau dihukum mati. Belum tentu juga boleh menyebabkan hilang jawatan atau rezeki tersekat di tengah jalan.

Muhyiddin pernah meminta Pak Lah berhenti, tapi hari ini menjadi Timbalan Perdana Menteri. Di peringkat bahagian pula, ramai yang menjadi pemimpin hari ini ialah kalangan yang pernah bersuara meminta Ketua Bahagian masing-masing berundur dan meletakkan jawatan.

Untuk itu, inilah masanya juga pemimpin UMNO perlu segera tampil meminta Najib berundur. Jihad ini ialah untuk kebaikan parti dan juga negara secara keseluruhannya. UMNO dan negara tidak seharusnya terus dirosakkan oleh gandingan Najib dan Rosmah ini.

Jika sampai rakyat yang sudah sekian lama memendam rasa melakukannya dalam PRU 14 nanti, bukan saja UMNO tidak dapat diselamatkan lagi, malah nasib pemimpinnya pun turut berterabur entah ke mana.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena