Haron Din Gopoh Dalam Menilai Najib
'Haron belum sempat teliti pendedahan pada Najib'
Seorang pemimpin progresif PAS berkata Musyidul Am Datuk Haron Din "belum berkesempatan" melihat kronologi pendedahan dakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sejumlah wang yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.
Sebaliknya, Dr Dzulkefly Ahmad yang juga setiausaha Gerakan Harapan Baru berkata beliau berbeza pandangan dengan Haron dan menegaskan Najib perlu bertanggungjawab menjawab dakwaan tersebut.
"Ternyata perkara itu (pendapat) bercanggah dan mungkin kami mempunyai perspektif masing-masing," kata beliau dalam sidang media di Shah Alam.
"Saya beranggapan beliau belum berkesempatan melihat semua kronologi pendedahan itu," kata pemimpin yang disingkirkan muktamar baru-baru ini.
Sebelum ini Haron berkata "tidak masuk akal" bagi menggambarkan perasaannya terhadap Najib yang didakwa media luar berhubung penyaluran dana ke akaun peribadi perdana menteri itu.
Haron berkata logik akal menyatakan jika seseorang mahu mengambil dana awam ke akaun persendirian, mereka tidak akan melakukan sebegitu sebaliknya akan disalurkan ke akaun rahsia.
Dalam laporan Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini, hampir USD$700 juta wang daripada dana 1MDB disalurkan ke akaun persendirian atas nama "Dato' Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak" menjelang pilihan raya umum ke-13.
Najib kemudiannya menafikan dakwaan itu malah menyalahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kelihatan beberapa kebelakangan ini menggesa peletakan jawatannya.
Bagaimanapun WSJ pula mempertahankan laporannya kerana ia berdasarkan dokumen bukti yang kukuh. Najib dilaporkan bakal mengambil tindakan terhadap WSJ berhubung isu ini.
Dr Dzulkefly berkata lagi, penubuhan pasukan khas seperti yang diumumkan oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk menubuhkan petugas khas baru-baru ini tidak perlu kerana membuang masa dan dana awam.
Sebaliknya, peguam negara, Polis DiRaja Malaysia, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengerah tenaga yang sedia ada untuk membuat siasatan segera dan diharap keputusannya tidak menghampakan rakyat.
"Mengapa saya sarankan RM1 pun dana awam tidak wajar digunakan untuk penubuhan siasatan. Tidak perlu.
"Kerana sudah banyak jumlah yang digunakan sebelum ini dan perlu dipertanggungjawabkan terhadap kepenggunaannya. Sudah cukup waktu kita berlengah," katanya.
BLM
0 comments:
Post a Comment