Saturday 20 August 2016

1MDB: Antara biaya haji, hutang judi dan pesta seks...Boleh 'sakit jantung' rakyat Malaysia dibuatnya.

Sabtu, 20 Ogos 2016
Slide1

1MDB: Antara biaya haji, hutang judi dan pesta seks

 oleh Tasha Dian
Walaupun sudah masuk alaf ke-21, seks masih menjadi satu topik ‘taboo’ dalam masyarakat kita. Sebab itu jugalah sebahagian parti politik di Malaysia gemar menggunakan isu seks seperti video atau orientasi seksual bagi mengenakan musuh politik mereka. Rakyat Malaysia dalam sekelip mata terus berubah menjadi terlebih alim, bertubi-tubi menghukum pihak yang terlibat dalam hal seumpama itu.
Kita juga boleh lihat bagaimana badan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selalu merempuh masuk rumah dan bilik hotel untuk menghentikan sebarang parti liar atau menangkap pasangan yang berkhalwat. Pendek kata, negara ini negara ‘suci’ yang menganggap sebarang perlakuan seks tanpa nikah, sama ada lurus atau songsang sebagai menjijikkan.
Maka pastinya negara ini tiba-tiba ‘terbalik’ apabila mendengar dakwaan daripada penerbitan industri hiburan, The Hollywood Report (THR) bahawa aset yang katanya dicuri daripada syarikat kepunyaan Kementerian Kewangan, 1MDB ada kaitan dengan yayasan kebajikan milik Leonardo DiCaprio.
Dan yayasan kebajikan Leonardo DiCaprio itu amat terkenal dengan cara kutipan dananya – bukan di majlis atau forum kecil seperti DAP, tetapi di parti-parti liar anjurannya!
Parti-parti liar itu pula bukan calang-calang. THR menyatakan majlis tahunan Yayasan Kebajikan DiCaprio adalah parti liar serba bebas dan ‘bacchanal’ yang dimeriahkan dengan wanita-wanita Slavic yang menjolok mata dan seks secara terbuka di bilik mandi.
Bacchanal’ merupakan kata lain untuk ‘orgies’ atau pesta seks berkumpulan.
Jika dakwaan THR itu benar, tidak mustahil dana yang dicuri daripada 1MDB sebelum ini didermakan kepada yayasan berkenaan di salah satu pesta liar tersebut, seperti dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini.
Lebih-lebih lagi, THR menyatakan ahli perniagaan yang didakwa terlibat dengan skandal 1MDB, Jho Low adalah tetamu tetap pesta-pesta seks yayasan kebajikan itu, namun bayangnya tidak kelihatan di majlis tahun ini pada 20 Julai lalu.
Saya mengucap panjang selepas membaca laporan THR itu. Sungguh ironi apabila syarikat 1MDB yang berasal dari Malaysia, negara yang memandang jijik parti liar akhirnya ‘melaburkan’ dana di majlis yang dimeriahkan dengan pesta seks beramai-ramai.
Lebih ironi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyatakan Yayasan 1MDB telah menaja 1,100 jemaah haji untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Apa agaknya perasaan pakcik makcik di kampung apabila mendapat tahu syarikat yang terlibat dengan ibadah haji kini dikaitkan pula dengan hal-hal ‘maksiat.’ Sebelum ini dengan judi, kali ini dengan pesta seks pula.
Bukan setakat itu, apa saja hutang syarikat 1MDB – tak kiralah disebabkan sikap kuat berfoya-foya, berjudi atau membeli-belah individu yang terlibat sekalipun, akan terpaksa dibayar oleh kerajaan Malaysia. Dan salah satu punca pendapatan kerajaan adalah hasil cukai dari rakyat, bermakna kitalah yang perlu membayar hutang 1MDB itu.
Harap-harap 1MDB tidak terlibat dengan perkara yang lebih dahsyat lagi selepas ini. Boleh sakit jantung rakyat Malaysia dibuatnya. – Roketkini.com

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena