Operasi roboh sekatan, polis tangkap Orang Asli, aktivis
Polis menahan beberapa aktivis yang didakwa berkaitan dengan sekatan ke atas pembalak daripada memasuki perkampungan masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan.
Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Jamali Ayau berkata mereka yang ditahan dibawa ke sebuah sekolah berhampiran Pos Petei.
Ketika dihubungi, Polis Daerah Gua Musang mengesahkan tangkapan itu tetapi tidak dapat menyatakan jumlah mereka.
Peguam Siti Kasim yang mewakili beberapa aktivis itu berkata setakat ini 18 telah ditangkap.
"Saya sangat kecewa dan marah. Semua kita mesti bangkit berhubung layanan terhadap Orang Asli kita!
"Mereka (aktivs) membantu dengan melindungi hutan kita!" katanya di Facebook.
Sekatan di Hutan Simpan Balah didirikan pada bulan Oktober lalu untuk menghentikan aktiviti pembalakan, yang menurut masyarakat Orang Asli telah menjejaskan sumber air mereka.
Sebelum ini, penduduk kampung Orang Asli dari Pos Balah, Gua Musang berkata mereka sanggup mengorbankan nyawa mereka untuk melindungi tanah mereka di Hutan Simpan Balah.
Sementara itu, Utusan Online melaporkan polis menahan seramai 16 orang penduduk Orang Asli dalam operasibagi merobohkan sekatan dibuat masyarakat itu di Simpang Petei, Pos Tohoi di Gua Musang hari ini.
Portal itu memetik Ketua Polis Kelantan, Datuk Ab Rahman Ismail berkata, sehingga pukul 2 petang, seramai 16 penduduk yang menghalang kerja merobohkan sekatan itu ditahan.
"Ssemua 16 lelaki tersebut ditahan selepas Jabatan Perhutanan Kelantan meminta bantuan pihak polis dari aspek keselamatan dalam operasi merobohkan sekatan yang dibina Orang Asli sejak September lalu.
"Operasi tersebut berjalan lancar tanpa insiden kekecohan atau yang tidak diingini berlaku," katanya.
Menurut beliau, seramai 200 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi turut terlibat dalam operasi tersebut.
Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment