Monday 30 January 2017

[Video] Annuar digantung tugas sebagai Pengerusi MARA & Pertemuan PAS-BERSATU esok, Umno akan diam diri?

Selasa, 31 Januari 2017


Annuar digantung tugas

Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menggantung tugas pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkuat kuasa serta-merta.
Turut digantung, jawatan Annuar sebagai pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB).
Dengan itu, semua tugas Annuar di agensi berkenaan kini dipangku Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob, lapor BH Online.
Difahamkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar yang bermula sejak jam 9 pagi tadi di Ibu Pejabat MARA, di Kuala Lumpur.
Menurut laporan sama, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Yusof dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin.
Yusof berkata, Annuar sudah dimaklumkan mengenai penggantungan tugasnya dan beliau akur dengan keputusan itu.
Keputusan itu dibuat 20 hari selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar memuat naik statusnya berhubung penajaan Pelaburan MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang "dipaksa" untuk menaja skuad Liga Super Kelantan.
Annuar menafikan kenyataan itu sejurus kemudian. 
Menulis di Facebook, Ketua Penerangan Umno itu berkata "MARA tidak pernah menaja" walau satu sen pun untuk skuad The Red Warriors (TRW).
Penggunaan logo 50 Tahun MARA pada bahagian lengan jersi pasukan TRW itu pula, kata Annuar, dipamerkan secara percuma walaupun ia bernilai RM250,000.
Pada 13 Januari Annuar memberi kenyataan berbeza. Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, beliau "difahamkan” terdapat surat menyurat, baucar dan dokumen lain antara The Red Warrior Sdn Bhd dan UniKL.
“Bagi saya, kita ucapkan terima kasih atas edaran itu kerana ia menunjukkan kedua-dua pihak lakukan dengan begitu teratur. Ada surat tawaran, ada rundingan dan tawar menawar, ada kontrak, ada baucar, ada resit dan lain-lain.
“Saya percaya bukan dengan UniKL sahaja tapi semua penaja lain. Semuanya di buat secara tertib dan berperaturan,” katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi Annuar dan masih menunggu reaksi beliau. Difahamkan anggota parlimen Ketereh itu berada di New Zealand sekarang.
Sementara itu Bernama melaporkan Ahli Majlis MARA memberitahu penggantungan tugas berkenaan dibuat bagi membolehkan isu wang tajaan daripada Pelaburan MARA dan UniKL disiasat.
Malaysiakini.

Pertemuan PAS-BERSATU esok, Umno akan diam diri?

Anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar membangkitkan persoalan adakan Umno akan membenarkan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) menjalinkan kerjasama dengan PAS.
Sedangkan, kata bekas naib presiden PAS itu, parti Melayu itu sudah pun menjalinkan kerjasama secara “ta’awun” (tolong-menolong) bersama PAS.
“Perjumpaan antara PAS dan BERSATU pada 1 Februari 2017 (esok) sudah tentu menarik perhatian semua pihak, khususnya pemerhati dan penggerak politik tanah air terutamanya pimpinan Umno.
“Menariknya apabila PAS dan BERSATU sedang merangka untuk mengorak langkah mencari ruang membentuk kerjasama.
“Tetapi dalam masa yang sama PAS dan Umno sudah pun mesra menjalin hubungan 'kerjasama' dalam istilah ta'awun,”kata Mahfuz dalam kenyataannya hari ini.
Katanya, walaupun hubungan kerjasama PAS dan Umno tidak dinamakan 'kerjasama politik' secara terang-terangan namun kedua-dua parti itu selesa dengan pendekatan berkenaan.
Ia kerana, katanya, partinya dan Umno mahukan pulangan keuntungan politik dari pendekatan ta'awun tersebut.
Satu pertemuan antara PAS dan BERSATU dijangka bakal berlangsung itu sebagai susulan untuk membincangkan draf kerjasama yang telah dikemukakan sebelum ini.
Selain itu kedua parti itu juga akan membincangkan mengenai pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan “bagi membentuk kerjasama yang lebih erat”.
Mahfuz turut berkata, rakyat sedang memerhati, tindakan Umno yang seterusnya mengenai langkah PAS dan BERSATU itu.
Namun Mahfuz berkata beliau secara peribadi berharap kerjasama itu dapat dimeterai bagi membolehkan PAS kembali semula dalam gabungan pakatan pembangkang dan menyertai Pakatan Harapan.
“Secara peribadi adalah diharapkan jalinan kerjasama PAS dan BERSATU dimeterai untuk membolehkan PAS kembali berada dalam arus perdana politik Malaysia bersama rakyat dalam 'pakatan besar pembangkang' iaitu Pakatan Harapan.
“Ia untuk meranapkan Umno-BN dalam PRU14 nanti.

"Tiada maknanya kerjasama BERSATU dan PAS ini kepada rakyat Malaysia jika sekadar berada dalam blok ketiga dan 'mengasingkan diri' dari rakan parti pembangkang yang lain,” katanya.
Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena