UMNO-BN hina pembangkang okay? Bila Najib kena tak boleh?
Sikap dwi-standard kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap pengkritik mereka bukanlah perkara baru.
Pelbagai intimidasi dilakukan parti pemerintah terhadap pihak yang menyuarakan pandangan, khususnya yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Baru-baru ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan bahawa The Malaysian Insight (TMI) sedang disiasat berikutan laporannya yang didakwa ‘menyerang’ Najib Razak.
Ahli UMNO mendakwa portal berita itu kononnya menghentam teruk pemimpin nombor satu kesayangan mereka itu semasa perhimpunan agung parti itu berlangsung minggu lepas.
Yang hairannya, akhbar pro-UMNO-BN yang setiap hari menghina pemimpin pembangkang malah banyak kali kalah saman, tidak pula disiasat oleh pihak berkuasa.
“Kenapa tidak ada siasatan dilakukan terhadap media kawalan BN seperti New Straits Times, Berita Harian, The Star dan Utusan Malaysia?” soal Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
“Akhbar-akhbar ini pernah kalah sama fitnah di mahkamah, membayar pampasan, memohon maaf dan menarik semula fitnah mereka terhadap saya tanpa syarat.”
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, darjat seorang Perdana Menteri tidak wajar diletakkan setara dengan Raja-raja Melayu.
“Dia (Perdana Menteri) merasakan dirinya tidak boleh dihina tetapi dia boleh pula menghina pihak lawan sebagai modal politik pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.
Tambahnya, harus ada lapangan sama rata dalam proses pilihan raya kerana Perdana Menteri juga adalah calon seperti mana calon-calon lain yang ditentukan nasibnya oleh pengundi.
“Itulah sebab, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Salleh Said Keruak tidak harus menyalahgunakan kuasanya untuk menyiasat TMI atas dakwaan kononnya menghina Perdana Menteri,” katanya.
Beliau juga tidak bersetuju jika sama ada Perdana Menteri, Menteri Besar Selangor atau Ketua Menteri Pulau Pinang menikmati imuniti penuh daripada sebarang penghinaan kerana ia menurutnya akan melemahkan proses demokrasi pilihan raya.
“Jika penghinaan itu tidak benar, failkan lah saman fitnah untuk dapatkan pampasan,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. – Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment