Mat Sabu ikrar siasat 5 'skandal' Mindef era BN
Kementerian Pertahanan akan menyiasat lima dakwaan skandal yang dikatakan berlaku ketika pentadbiran BN, kata menterinya yang baru Mohamad Sabu.
Ia melibatkan dakwaan pembelian kelengkapan pertahanan dengan harga lebih tinggi daripada pasaran, amalan komisen terhadap orang tengah dan projek yang tidak siap akibat kegagalan kontraktor.
Beliau yang memulakan tugas hari ini berkata siasatan akan dijalankan dari masa ke masa dan pada peringkat awal dibuat secara dalaman.
"(Siasatan termasuk) skandal Scorpene dan lain-lain. Jika (peringkat) dalaman tidak berupaya, baru pergi ke peringkat luar dan kalau serius akan dibawa ke kabinet. Kita tidak akan bertindak semberono.
"Banyak khabar angin...saya tidak mahu dengar khabar angin. Kalau ada tindakan, ia berdasarkan bukti dan penyelidikan yang rapi," katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Pada 20 Mei lalu, NGO berkaitan AMANAH, Centre For Malaysian Political And Economic Transcendence (COMPETENT) menggesa Kementerian Pertahanan menyiasat lima skandal yang didakwa berlaku dalam kementerian itu ketika pentadbiran lalu.
Lima skandal itu adalah dakwaan pembelian beberapa unit rapid intervention vehicle (RIV) dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran dan pernah mendapat teguran Sultan Johor pada 2012 dan pembelian 257 unit armored personnel vehicle daripada syarikat Turki yang juga dengan harga lebih tinggi daripada nilai pasaran.
Selain itu, COMPETENT juga menggesa amalan komisen melampau kepada syarikat broker dikaji semula, antara yang pernah mendapat tumpuan adalah Perimekar Sdn Bhd dalam isu pembelian dua unit kapal selam Scorpene ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi menteri.
Dua lagi isu yang dibangkitkan COMPETENT adalah berhubung projek yang diberi kepada syarikat kroni Umno dan BN - projek pembinaan 27 unit Patrol Vessels yang berharga hampir RM1 bilion yang gagal siap mengikut jadual dan projek pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) bernilai RM100 juta.
'Semuanya melalui perbincangan'
Dalam pada itu, Mohamad berkata beliau akan mendengar taklimat daripada semua jabatan kementerian itu sepanjang minggu pertama ini.
"Jika pengurusan sedia ada dalam keadaan baik, hanya perlu ditingkatkan kebaikannya. Tetapi jika ada perkara baru (yang mahu diperkenalkan) kita akan berbincang dahulu.
"Saya tidak mahu melaksanakan perkara baru secara paksa dan tanpa perbincangan," katanya lagi.
Berhubung isu Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) - projek kerjasama Malaysia dengan Arab Saudi antaranya melibatkan pembinaan bangunan di tanah 16 ekar di Putrajaya - Mohamad berkata beliau akan berbincang dengan pegawai kementerian dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terlebih dulu.
Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment