Tabung Harapan: Kalau tak sudi sumbang, duduk diam-diam
Penubuhan Tabung Harapan Malaysia bagi membantu kerajaan mengatasi masalah hutang negara disambut baik oleh penggiat industri tanah air.
Golongan selebriti seperti penyanyi Nurul Wahab atau Nurul Depp antara yang tidak terkecuali memberi sumbangan bagi meringankan beban ditanggung kerajaan.
“Demi negara yang tercinta. Saya sudah. Yang lain? Walaupun sekupang, bantu juga,” katanya sambil mengiringi kenyataan itu dengan tanda pagar antaranya #malaysiabaru dan #bantu.
Nurul turut memuat naik sekeping imej paparan transaksi bank di akaun Instagram miliknya, pun begitu jumlah sebenar wang yang disumbang dipadamkan.
Seorang lagi penyanyi, Alif Satar juga turut berbangga selepas menyumbangkan sejumlah wang demi semangatnya yang cintakan negara.
Menyokong tindakan itu, Alif memuat naik sekeping resit sebagai bukti tetapi tidak mendedahkan nilai wang yang disumbangkan.
Tabung Harapan Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat kabinet diadakan semalam bagi membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan rakyat secara sistematik dan telus.
Media melaporkan, kesedaran mulai timbul di kalangan rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan.
Namun, sumbangan berkenaan bukan tuntutan yang dikenakan kerajaan sebaliknya ia menunjukkan keprihatinan rakyat yang menzahirkan semangat patriotisme dalam mengurangkan hutang negara.
Fathia Latiff, Abby Abadi ikut menyumbang
Dalam perkembangan terbaru, kurang 24 jam selepas pelancaran Tabung Harapan Malaysia, ia berjaya mencatat prestasi luar biasa dengan kutipan lebih RM7 juta.
Sebagai tanda sokongan kepada usaha berkenaan, pelakon Fathia Latiff turut memuat naik kenyataan yang menunjukkan proses-proses menderma dilakukan.
Selebriti Abby Abadi pula berkata, jika rakyat memiliki perasaan tanggungjawab dan menyayangi negara, wajarlah mereka memikirkan demi masa depan generasi akan datang.
“Hidup punya pilihan, ada rasa tanggungjawab, sayangkan Malaysia demi masa depan kita dan anak cucu kita sumbanglah semampunya.
“Kalau tak sudi nak menyumbang, duduk je diam-diam OK. Allah sebaik-baik penilai,” katanya.
0 comments:
Post a Comment