Saturday 10 May 2014

Mahasiswa berfikir & Mahasiswa berhak – Maryam Hamidah Zulkifli

Sabtu, 10 Mei 2014


PRINSIP YANG TIDAK TERJEJAS
“A student movement should maintain the highest of standards, not ape the formulas of its elders or outdo them in virulence”- Catatan Todd Gitlin (2002)
Cebisan kata yang mudah difahami sebagai satu ingatan dan pesan kebenaran – kebiasaan tidak menjadi penghalang sesuatu prinsip. Lihat pula kata-kata Perdana Menteri; Chung Hong-Won dek insiden kecelakaan feri karam baru-baru ini;  'Keeping my post is too great a burden on the administration’.
Insiden ini sekaligus menyebabkan beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Korea Selatan kerana berpandangan gagal menyelamatkan hampir 300 nyawa (187 terkorban, lebih 100 hilang). Bukankah ini sudah cukup membuktikan bahawa isu kepimpinan tidak hanya berlegar sekitar tanggungjawab, malah turut melibatkan sebab dan akibat yang perlu dipikul bersama?
Jika Chung Hong-Won meletak jawatan kerana berasa gagal dalam menjalankan tugas dengan baik, maka pada saya meletak jawatan dalam satu-satu organisasi sebagai tanda protes adalah salah satu cara untuk menarik perhatian pihak tertentu dalam mengekspresikan rasa ketidakpuashatian.
Sekiranya strategi ini berjaya sepertimana boikot pelajar UIA dalam Pilihan Raya Umum Kampus 2008, maka doa saya agar tindakan ini turut mendapat perhatian sewajarnya.
Saya berpendapat, amatlah malang ketika Malaysia – universiti khususnya –  memerlukan pemimpin yang berjiwa dinamik dan berwawasan, terdapat pula pihak yang mencantas tunas muda ini. Lihat sahaja Fenomena Bawani dan juga isu kepimpinan di beberapa universiti yang dinafikan hak bersuaranya.
Sudah terang lagi bersuluh, terdapat juga wakil pelajar yang bertindak meletak jawatan. Saya percaya tindakan ini bukan kerana tidak cemerlang dengan prestasi kerja, jauh sekali tidak matang dalam membuat keputusan, sebaliknya kerana kecewa dengan pengurusan sesetengah pihak dan penafian hak yang berulang kali.
Pada ruang lingkup sebagai pelajar, saya melihat keghairahan wakil mahasiswa bersuara tidak sepatutnya dilemahkan melalui campur tangan pihak tertentu, bahkan mereka ini adalah salah satu aset negara yang bernilai. Tidakkah kita ingin melahirkan legasi pemimpin yang hebat seperti Tun Mahathir layaknya? Cukup untuk dinoktahkan pada satu perkataan, berwawasan.
KESUNYIAN MELAHIRKAN JIWA YANG HEBAT
Pemimpin yang hebat itu datangnya dari sebuah kesunyian – gubuk penjara, dibuang negeri dan sebagainya. Sebutkan sahaja nama besar seperti Hamka. Sejarah juga membuktikannya, Syed Qutb, Nabi Yusuf AS, Pramoedya Ananta Toer, bahkan Suu Kyi (Aung San Suu Kyi) telah melalui fasa tersebut.
Fasa ini tidak mengajar jiwa menjadi lemah, sebaliknya memberi ruang untuk mengundur sejenak dan menyusun strategi lain seperti yang ternukil di dalam peristiwa penawanan Kota Konstantinople. 
Dan sebagaimana Faisal Tehrani memberi kredit kepada Zul Fikri Zamir, di dalam prakata buku “Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang”;
Beliau turun ke dalam masyarakat dan berpendekar silat di medan membezakan beliau dengan sejumlah anak-anak muda yang lain yang sedang mengelamun menjadi sehimpunan purawan; lantas tenggelam dalam bermacam-macam wacana yang masih gagal digerakkan secara realistik.
Jika itu yang dikatakan oleh Faisal Tehrani, maka itu juga yang ingin saya katakan pada anda. Anda berbeza, bukan kerana apa yang dilakukan adalah merentasi ‘warisan’, tetapi kerana anda cukup yakin dengan pentas ini. Dan saya percaya tindakan anda hanyalah permulaan kepada sebuah perjalanan yang panjang, yang jauh lebih hebat pencak silatnya. Teruskan!
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim". [Baqarah, 124]
KESIMPULAN: MAHASISWA BERHAK
Saya mengambil pendekatan bahawa mahasiswa itu punya idea tersendiri, baik mahasiswa yang tidak menjawat sebarang jawatan, apatah lagi jika bergelar wakil mahasiswa. Mereka adalah suara mahasiswa di sesebuah institusi tersebut. Dan mereka jugalah jambatan antara pelajar dan pihak atasan.
Apa yang disuarakan adalah seputar isu hak pelajar yang sewajarnya diberi perhatian dan toleransi. Usahlah sesekali menerapkan budaya ‘Listen, listen, listen’ kerana pemimpin yang ingin kita lahirkan adalah mereka yang berjiwa besar dan berkepimpinan, tidak hanya menjadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya. – 10 Mei, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena