Wednesday 27 September 2017

[Video SALAH SIAPA!~Kenapa Umno Perlu Tumbang Dalam Pru-14] LIMA PROJEK GAGAL, Najib dah BINGUNG nak pilih tarikh pilihanraya & Apa sudah jadi dengan Najib?

Rabu, 27 September 2017

Image result for Gambar Najib

LIMA PROJEK GAGAL, NAJIB BINGUNG PILIH TARIKH PILIHANRAYA?


Najib Razak dilaporkan masih bingung untuk menentukan tarikh pilihanraya umum akan datang berikutan beberapa "projek" yang dijangka memberi kelebihan kepadanya tidak mencapai sasaran yang diharap-harapkan.

Setelah dibelenggu dengan skandal 1MDB yang semakin menjerut leher politiknya, pergantungan Najib kepada China adalah pilihan yang diharapkan bukan saja membantunya menyelesaikan hutang-hutang syarikat pelaburan itu, tetapi juga bertujuan mendekatkan lagi pengundi Cina kepada BN setelah dalam pilihanraya sebelumnya peratusan menolak kerajaan begitu tinggi sehingga Najib sendirinya melahirkan rasa kecewanya kepada mereka.
Andaiannya apabila Najib memberi banyak projek kepada syarikat dari China, pengundi Cina yang dianggap "sepupu" kepada China tentulah secara automatik akan beralih mendekati BN dan kerajaan.

Tetapi, perkara itu jelas tidak berlaku. Orang Cina tidak gembira dengan pemberian terlalu banyak projek kepada syarikat China kerana akhirnya segala-galanya didatangkan daripada negara tersebut. Mereka tidak mendapat apa-apa, waima untuk membekal benda-benda yang kecil sekali pun.

Selain itu, apa yang dikata pelaburan daripada China itu sebenarnya adalah hutang yang terpaksa dibayar oleh rakyat dalam tempoh 15 atau 20 tahun akan datang. 
Maka, beralihnya kiblat Najib kepada China tidak membantu memperbaiki sokongan pengundi Cina kepada BN, malah dengan pemberian projek yang terlalu banyak, pendekatan Najib lebih dilihat ancaman kepada kedaulatan dan masa depan negara.

Projek kedua yang diharapkan dapat membantu Najib memenangi pilihanraya ialah Sukan SEA. Meskipun pencapaian pingat melehihi sasaran dan rakyat bersatu menyokong atlit mencapai kejayaan, yang terlebih gemilang menyerlah di sebaliknya ialah Khairy Jamaluddin.

Najib seolah-olah tiada markah di sebalik kejayaan Sukan SEA. Pemimpin UMNO sendiri ramai yang lebih memuji KJ, baik kerana kesediaannya berada di hampir semua acara yang melibatkan atlit negara, ucapannya yang dikata menyerlahkan bakat kepimpinannya dan bijaknya beliau bermain di media sosial untuk menonjolkan dirinya.

Sebab itu, selepas Sukan SEA berakhir, tiada "feel good factor" yang begitu menyerlah menyinari wajah Najib yang sedia kelam dengan pelbagai isu dan masalah.

Selepas Sukan SEA, Najib menonjolkan pula kunjungannya ke Amerika atas jemputan Donald Trump yang dianggapnya suatu peluang terbaik untuk menonjolkan beliau bukanlah buruan DOJ atau FBI.

Namun, sebelum pun beliau berlepas ke Amerika, tujuan itu telah pun musnah apabila pentadbiran Amerika menjelaskan kunjungan Najib tiada kena-mengena dengan DOJ. Siasatan dan tindakan DOJ, kata mereka, akan tetap diteruskan tanpa apa-gangguan.

Di samping ketibaan Najib di Amerika tiada sambutan rasmi, tiada permaidani merah, tiada kereta rasmi, tidak diberi kediaman rasmi, hanya Duta Malaysia menyambutnya di lapangan terbang, malah menyewa sendiri hotel kepunyaan keluarga Trump sebagai tempat penginapan, lebih memburukkan imej Perdana Menteri di mata 31 juta rakyat Malaysia ialah berhubung ungkapannya mahu membantu mengukuhkan ekonomi negara kuasa besar itu.

Siapa kita mahu membantu ekonomi Amerika?

Menawarkan wang KWSP untuk melabur di Amerika bagi projek-projek infrastruktur di ketika nilai ringgit begitu lemah, jelas adalah pilihan yang tidak munasabah, selain kemudahan infrastruktur dalam Malaysia sendiri banyak yang masih kurang dan tidak teratur.

Najib kemudian mengumumkan untuk membeli pesawat Boeing yang mencecah RM50 bilion. Di ketika MAS membuang ribuan pekerja, mengecilkan saiz syarikat dan menamatkan beberapa laluan antarabangsa, membeli banyak pesawat baru tentu saja menimbulkan banyak persoalan.

Oleh kerana MAS sudah lama menggunakan sistem pajakan, ada kebarangkalian pesawat itu adalah untuk syarikat pemajak yang kemudian MAS akan memajaknya dalam tempoh yang panjang.

Pembelian RM50 bilion ini juga menimbulkan pertanyaan, berapa komisyen yang bakal diperolehi oleh pihak yang mengaturnya?

Kata mereka, jika membeli kapal selam yang berharga tidak sampai RM5 bilion dahulu pun Razak Baginda boleh dapat komisyen RM500 juta, berapa pula broker baru akan dapat habuan melalui pembelian RM50 bilion ini?

Siapakah pula broker baru tersebut?

Lantaran itu, berkunjung ke Amerika sama-sekali tidak memberi kelebihan kepada Najib untuk mengadakan pilihanraya dalam waktu yang terdekat ini.

Di sebalik tuntutan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI berkaitan 1MDB, Najib memilih untul menubuhkan RCI untuk menyiasat urusniaga forex. Tujuannya sangat jelas iaitu untuk memburuk dan mengenakan Tun Mahathir Mohamad seolah-olah kehilangan wang juga berlaku di zamannya menjadi Perdana Menteri dahulu.

Namun, dengan pengakuan Nor Mohamed Yakcop bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kerugian tersebut serta tidak pernah berbincang dengan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan ketika menjalankan urusniaga perniagaan matawang bagi pihak Bank Negara, tujuan Najib dengan sendirinya tersekat di tengah jalan.

Tiada alasan yang kukuh untuk terus mengenakan Tun Mahathir atau Anwar melalui RCI yang ditubuhkannya itu, bahkan dengan perletakan jawatan serta-merta Nor Mohamed Yakcop sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah bagai mengesahkan bahawa Najib tidak senang dengan keterangan bekas Penolong Gabenor Bank Negara yang mengaku bertanggungjawab itu.

Sama seperti beberapa projek di atas, projek RCI forex juga terlihat gagal untuk menghasilkan sesuatu yang menggembirakan bagi tujuan membantu kemenangan dalam pilihanraya.

Ahad lalu, Najib menghebohkan satu sidang media khas akan diadakannya di ibu pejabat UMNO dengan kehadiran semua Ahli MT, Menteri Besar dan menteri-menteri, malah Zahid Hamidi terpaksa memendekkan lawatannya ke Perlis.

Ramai yang menjangkakan, kalau pun tidak berkaitan pilihanraya, sidang media itu mungkin mengenai pembubaran sebuah parti di Sabah atau mengumumkan kerjasama antara UMNO dengan Pas.

Sampai ketikanya, betul-betul anti klimaks jadinya, yang masuk UMNO dalam sidang media khas itu hanyalah Muhammad Mohd Taib seorang saja.

Apa sudah jadi dengan Najib? 

Adakah beliau sudah begitu bingung untuk menghadapi pilihanraya sehingga Mat Taib yang pengaruhnya tak sebesar mana dan sisi negatifnya lebih besar itu pun diraikan dan disambut dengan begitu begitu meriah?

Membawa Mat Taib masuk semula UMNO dengan sambutan yang meriah tidak saja menjadi bahan tertawa semua, malah tentunya juga tiada apa-apa kelebihan kepada Najib untuk mendepani Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir, begitu juga tiada markah tambahan untuk menawan semula Selangor.

Mat Taib terlalu jauh jika mahu digunakan untuk melawan aura dan pengaruh Tun Mahathir. Untuk konteks Selangor pula, Mat Taib bukan lagi zamannya untuk dipergunakan bagi menumbangkan Azmin Ali.

Sehingga ini lima projek Najib - meminta bantuan ekonomi China, Sukan SEA, kunjungan ke Amerika, RCI forex dan kemasukan Mat Taib ke dalam UMNO - semuanya gagal memberi impak positif untuk menang pilihanraya.

Satu-satunya harapan yang tinggal buat Najib ialah Bajet 2018 yang akan dibentangkannya pada 27 Oktober depan. Tidak mustahil tawaran bajet kali ini adalah gila-gila menariknya kerana ia bukan untuk ditunaikan, tetapi hanya semata-mata untuk memikat pengundi agar kuasa dapat dipertahankan.

Tetapi, jika impaknya juga negatif sebagaimana lima projek sebelumnya lantaran rakyat juga sedar Najib selalu bersungut negara tiada wang dan banyak bergantung kepada cukai GST, Najib tiada pilihan selain menganjakkan tarikh pilihanraya sehingga ke akhir tempoh iaitu pertengahan tahun 2018.

Ketika itu, Najib benar-benar sudah kebingungan untuk memilih tarikh yang dilihat mampu memberi kelebihan kepadanya, malah ketika itulah kita sebagai pengundi menjadi semakin jelas dan tiada pilihan lain selain beliau perlu ditamatkan tempoh perkhidmatannya sebelum bahaya lebih besar datang menimpa. (ShahbudinHusin 23/09/2027)

1 comments:

Blogger said...

GPS robot tripled the $100k deposit [live proof authenticated by myfxbook and broker]

I just finished a webinar with Mark and his partner, Antony, two days ago and it was AWESOME.

During the webinar MARK and ANTONY shared their secrets to success and answered questions about their new version of the GPS Forex Robot that is coming out TODAY!

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena