Kempen kotor cemari pemilihan PAS
Di sebalik slogan berjuang berlandaskan Islam, PAS mengakui proses pemilihan parti itu kini dicemari kempen kotor dan gejala tidak sihat, malah ia didakwa bukanlan perkara baru.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata, kempen kotor dalam pemilihan parti itu bukan lagi rahsia, namun di sebalik pengakuan itu beliau tidak menolak kemungkinan ia didalangi pihak luar yang ingin mengambil kesempatan.
“Cerita label melabel sesama ahli PAS memang sudah lama berlaku. Bukan ketika pemilihan kali ini saja. Sebelum pemilihan pun ini sudah berlaku.
“Ada individu dilabel liberal, menolak hudud, sebagai begitu, sebagai begini. Ia memang berlaku," katanya kepada Malaysiakini.
Kelmarin, bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang, mengakui sukar untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden walaupun beliau mendapat pencalonan minimum seperti disyaratkan perlembagaan parti itu.
Ahmad yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Pusat Islam dan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia antara 1981 hingga 1999 berkata, pemilihan jawatan dalam PAS kali ini dicemari kempen kotor dan amalan berat sebelah.
Antara tokoh yang dikaitkan sebagai mangsa kempen kotor itu ialah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang kalah dalam perebutan jawatan Yang Dipertua Kawasan Kampar.
Pemilihan jawatan tertinggi PAS pusat dijadual diadakan Jun ini.
Ada kebenaran
Ada kebenaran
Asmuni yang juga seorang peguam berkata, apa yang didedahkanAhmad itu memang ada kebenarannya.
Katanya, antara tokoh dalam PAS yang menjadi mangsakempen kotor itu ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang pernah dituduh mahu menjatuhkan kepimpinan ulama dua tahun lalu.
Tidak ketinggalan, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin dan Pengarah Pilihan Raya PAS yang juga Ahli Parimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.
Asmuni menambah, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengatasi amalan itu dan berjanji akan mengambil tindakan tegas jika ada bukti kukuh mengenainya.
“Kalau melibatkan ahli, tindakan yang boleh diambil ialah membawa mereka ke lembaga disiplin parti.
"Jika calon sendiri terbabit, mereka mungkin boleh digugurkan daripada bertanding," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai risalah memburuk-burukkan Nizar sebagai "tali barut DAP" Asmuni berkata, ia bukanlah amalan yang wajar untuk PAS.
"Sekiranya ada pihak tidak berpuas hati, mereka boleh berdebat atau memberi penerangan, bukannya menyebarkan risalah seolah-olah membaling batu sembunyi tangan.
"Itu bukan akhlak Islam," katanya.
Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment