Thursday, 16 April 2015

Pemuda PAS PP enggan bantu kempen ditegur...

Khamis, 16 April 2015



Pemuda PAS PP enggan bantu kempen ditegur

Pemuda PAS akan mendapatkan penjelasan daripada sayap parti itu di Pulau Pinang yang enggan memberi kerjasama dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang ditandingi rakan mereka PKR.

Ketuanya Suhaizan Kaiat berkata masalah itu akan diselesaikan secepat mungkin dan menasihatkan Pemuda PAS negeri membangkitkan rasa tidak puas hati mengikut saluran yang betul.

Pemuda PAS juga berkata akan mendapatkan reaksi daripada Pemuda PKR dan DAP negeri berhubung perkara ditimbulkan.

“Kita berusaha untuk bertemu dengan kedua-dua pihak untuk membantu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin selewat-lewatnya sebelum penamaan calon,” katanya.

Penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh ditetapkan pada 25 April, manakala pengundian pada 7 Mei.

Pemuda PAS Pulau Pinang berkata tidak akan bekerjasama sepanjang kempen pilihan raya kecil itu selagi Pemuda PKR (AMK) dan Pemuda DAP (DAPSY) tidak menarik balik kenyataan berkaitan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan hudud.

DAPSY sebelum ini dilapor membekukan kerjasama dengan Pemuda PAS ekoran tindakan kerajaan PAS Kelantan membentangkan pindaan enakmen hudud.

'Akui salah faham'

Manakala AMK Pulau Pinang pula mendesak Hadi memberi kenyataan rasmi berhubung isu kerajaan perpaduan PAS-Umno pada 27 Februari lalu.

Sebelum ini Pemuda PAS Pulau Pinang juga dilapor mahu calon PAS diletakkan pada pilihan raya kecil itu, walaupun ia merupakan kerusi tradisi PKR.

Suhaizan berkata, keputusan Pemuda PAS Pulau Pinang itu tidak pernah dibincangkan dalam Jawatankuasa Pusat PAS atau dewan itu sendiri.

Beliau menegaskan bahawa semua jentera PAS diarahkan membantu PKR untuk berdepan BN dalam pilihan raya kecil itu, di samping Rompin, pada 5 Mei ini.

"PAS Pusat telah membuat satu keputusan supaya membantu PKR di Permatang Pauh. Jadi tak berbangkit tak nak tolong. Kita akan terus membantu,” katanya.

Suhaizan juga menyuarakan kekhuatirannya terhadap langkah Pemuda PAS Pulau Pinang yang dilihatnya boleh memberi tanggapan tidak baik kepada Pakatan menjelang pilihan raya kecil itu.

"Kita akui ada salah faham (akar umbi) di bawah seperti mengeluarkan sesuatu kenyataan media yang menjadi punca berlakunya perbezaan pandangan, perbezaan pendapat.

"Saya melihat (kesannya itu) kepada Pakatan Rakyat itu sendiri. Saya bimbang persepsi yang kurang baik kepada kita. Sebab itu ia perlu segera diselesaikan," katanya.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh perlu diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim (atas).

Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena