DAP Perak telah memasang kain rentang 'Mana RM2.6 bilion' di luar ibu pejabat negeri. Dalam masa kurang daripada 2 jam, ia telah diturunkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh.
BN takut apa?
Kor Kor Ming (duduk, tiga kiri) dan Mohammad Nizar (duduk, empat kiri) bersama sebahagian wakil rakyat DAP pada sidang media, semalam.
Kesal MBI turunkan kain rentang
ISMANIZA AHMAD
5 DISEMBER 2015
IPOH - “Mereka boleh turunkan satu kain rentang, tetapi kita boleh naikkan 1,000 kain rentang sama. Kamu boleh menipu seseorang pada suatu masa tetapi tidak boleh menipu semua orang setiap masa,”
Itu reaksi Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berhubung tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menurunkan kain rentang ‘Mana 2.6 bilion’ yang dipasang di hadapan Wisma DAP Negeri, di sini.
Kor Ming berkata, kain rentang itu digantung sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikatakan gagal memberi penjelasan tentang RM2.6 bilion ditanya 90 Ahli Parlimen pada sesi Dewan Rakyat berakhir Khamis lalu.
“Ini adalah sejarah apabila 90 Ahli Parlimen bertanya soalan sama namun tidak dijawab oleh beliau. Kami semua tunggu sejak hari pertama sidang Dewan Rakyat pada 20 Oktober lalu tetapi sehingga kelmarin, PM gagal ke Parlimen.
“Disebabkan itu, DAP Perak mengambil keputusan untuk menggantung kain rentang tersebut, kami juga tidak jangka MBI sangat efisien, mereka turunkan kain rentang itu dalam tempoh dua jam selepas dipasang,” katanya kepada pemberita ketika sidang media, di sini semalam.
Beliau berkata, tindakan MBI amat dikesali dan beliau berjumpa dengan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berhubung perkara itu.
Katanya, tidak menjadi kesalahan memasang kain rentang itu kerana ia diletakkan di premis persendirian, bukan di tempat awam.
“Saya hendak tahu siapa pihak atasan itu, adakah dari Menteri Besar kerana kain rentang itu mengganggu mata dan hatinya disebabkan ia digantung di hadapan Bangunan Perak DarulRidzuan.
“Kain rentang itu masih di MBI, kelmarin kami tunggu sehingga 5.30 petang tetapi belum dipulangkan. Bukan murah kosnya hampir RM1,000 kerana terpaksa meletakkan besi pada bangunan ini supaya kain rentang itu tidak jatuh,” katanya.
Kor Ming berkata, sepanjang lapan tahun bersidang di Dewan Rakyat, ini adalah kali pertama mereka (Ahli Parlimen) tidak dibenarkan bertanyakan soalan tambahan.
“Oleh kerana mereka tidak benarkan soalan tambahan dalam dewan, saya buat sidang media di luar. Kami ingin tahu siapakah yang memberi RM2.6 bilion, untuk tujuan apa, digunakan untuk apa dan di mana RM2.6 bilion itu sekarang.
“Ada juga dalam kalangan Ahli Parlimen Umno yang ingin tahu tentang hal ini bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa dipendamkan kerana takut hendak bertanya. Jadi kami harap PM boleh jawab sebelum Perhimpunan Agung Umno minggu depan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan menggunakan isu ini untuk mengadakan ceramah di setiap kawasan Parlimen bermula 18 Disember ini di Pasir Salak yang mana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Kit Siang adalah panelnya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut kesal dengan kejadian itu dan mahu tahu siapa yang memberikan arahan tersebut serta di atas klausa apa kain rentang itu diturunkan.
Sinar.
0 comments:
Post a Comment