Projek keretapi laju Pantai Timur untuk bayar hutang 1MDB, dakwa Husam
Orang ramai yang memenuhi Majlis Makan Malam Amanah Terengganu malam tadi.
Datuk Husam Musa mendakwa, projek keretapi laju Pantai Timur yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kota Bharu bernilai RM55 bilion bertujuan untuk membayar hutang 1MDB.
Ketika berucap di majlis makan malam Amanah Terengganu di sebuah hotel di Kuala Ibai, Kuala Terengganu malam tadi, Penasihat Amanah Kelantan itu berkata, berdasarkan kos awal projek itu adalah RM33 bilion, ia membolehkan kerajaan mendapat untung atas angin antara RM25 - 28 bilon.
Menurut Husam, 1MDB telah disaman di mahkamah arbitrasi London oleh bekas rakan kongsinya, Ipic dari Abu Dhabi yang kini sedang berjalan.
Ini ekoran 1MDB telah tidak membayar kepadanya sejumlah wang itu tetapi telah dibayar kepada Aabar palsu bukannya Aabar yang terletak di bawah Ipic.
Ekoran itu, Ipic telah memfailkan saman di mahkamah London itu dan menuntut USD6.3 bilion, iaitu RM26 bilon lebih wang Malaysia dari 1MDB.
"Dari mana duit nak bayar. Duit nak bayar itu dijangka di perolehi dari negara China melalui wang dilebih bayar untuk projek keretapi laju Pantai Timur tersebut yang nilainya antara RM25 - 28 bilion," dakwa Husam.
Menurut beliau, ketika projek ini mula disebut, Sarawak Report berkata, kosnya adalah antara RM30 - 33 bilion.
Namun, kerajaan dijangka akan menjadikannya RM60 bilion untuk memperoleh keuntungan untuk membayar segala hutang-hutannya termasuk hutang 1MDB.
Baru-baru ini, ketika membentangkan Bajet 2017, Datuk Seri Najib Razak telah memberitahu projek keretapi laju pantai timur akan dibina bagi menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuantan, Kuala Terengganu sehingga ke Kota Bharu bernilai RM55 bilion.
"Najib umumkan belanjanya RM55 bilion manakala Sarawak Report sebut RM60 bilon sebelum ini," kata Husam.
Dalam majlis malam tadi Husam turut mengucapkan tahniah kepada Amanah Terengganu yang berjaya memenuhkan dewan hotel itu.
"Saya ingat tidak ada penyokong Amanah di Terengganu. Tetapi melihat kepada kehadiran malam ini, rupanya Amanah mendapat sokongan besar di Terengganu," kata Husam.
Turut hadir di majlis malam tadi adalah Presiden Amanah, Haji Mohamad Sabu.
0 comments:
Post a Comment