Sunday 3 December 2017

[Video PAS BERGERAK KE BELAKANG~Rakyat Tiada Pilihan Selain Pakatan & Khalid Ibrahim boleh jadi Jambatan Penghubung Kerjasama UMNO Dan Pas] Sama-sama kita saksikan, siapa yang "kena" akhirnya nanti?

Ahad, 3 Disember 2017

Image result for Gambar Hadi dan Najib

JAWAPAN MUHYIDDIN TERHADAP ANCAMAN UMNO MAHU DEDAHKAN SALAH LAKUNYA SEWAKTU JADI MB JOHOR

KENYATAAN TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN MENGENAI SKANDAL RASUAH JOHOR

Susulan kenyataan Pakatan Harapan Johor mengenai dakwaan bahawa Menteri Besar Johor dikaitkan dengan skandal rasuah berhubung penukaran status hak milik hartanah Bumiputera di negeri Johor, ada pihak yang nampaknya kurang senang dengan kenyataan itu. Mereka telah menyerang saya secara peribadi kononnya banyak penyelewengan yang telah berlaku di negeri Johor semasa saya menjadi Menteri Besar. Biarlah saya berterus terang menjawab semua tuduhan itu.

Mengenai isu bekalan air ke Singapura, ia adalah perkara yang ada kaitan dengan Perjanjian Air antara Johor dan Singapura yang ditandatangani pada tahun 1961 dan 1962 di mana Johor bersetuju membekalkan air yang diproses sajumlah 250 juta gelen sahari. Untuk sekian lama Johor tidak dapat melaksanakan kehendak perjanjian tersebut kerana loji air Johor tidak mempunyai kapasiti untuk merawat air yang mencukupi utuk dibekalkan ke Singapura.
Sewaktu saya menjadi Menteri Besar Johor, perkara ini kerap dibangkitkan dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri Singapura pada waktu itu, mendiang Lee Kuan Yew, dan dalam mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Singapura. Oleh sebab itu, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pada waktu itu mahu perkara ini diselesaikan.

Saya bertemu dengan mendiang Lee Kuan Yew bersama Tun Dr Mahathir di Kuala Lumpur pada suatu hari untuk berbincang bagi menyelesaikan isu ini. Hasil  perbincangan tersebut, Johor bersetuju membekalkan air yang diperlukan oleh Singapura sebagaimana yang termaktub di dalam perjanjian tersebut dengan membina sebuah empangan dan loji air baharu di Sungai Linggui dengan segala kosnya ditanggung oleh Singapura di samping Singapura bersetuju membayar gantirugi kawasan hutan yang ditenggelami air berjumlah kira-kira RM320 juta kepada kerajaan negeri Johor.Wang ini kemudiannya saya simpan di dalam Tabung Amanah Warisan Johor untuk dijadikan tabung rezab negeri Johor. 
Sebenarnya, dalam perjanjian pelaksanaan empangan dan loji air tersebut, kerajaan Johor tidak mengeluarkan satu sen pun kerana semua kos pembinaan ditanggung oleh kerajaan Singapura. Apabila siap dibina ia menjadi hak milik Johor.

Yang dikehendaki oleh Singapura hanyalah bekalan air sebagaimana yang terkandung di dalam Perjanjian Air tersebut. Saya tidak fikir kita beri tanah kepada Singapura kerana melaksanakan kehendak dalam perjanjian air itu. Projek ini telah lama disiapkan dan hasil daripada jualan bekalan air ke Singapura ini juga saya fikir telah menambah hasil negeri Johor. Jadi, apa salah saya?

Mengenai Amanah Saham Johor, ia adalah idea saya untuk menentukan agar khazanah Johor yang dikelolakan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor dikongsi bersama oleh rakyat Johor dan tidak oleh individu-individu tertentu. Sebab itu ia diuruskan oleh PKENJ. Keseluruhannya lebih kurang 300 juta unit saham telah dikeluarkan dan dibeli oleh pelabur-pelabur di Johor.
Seingat saya sejak ASJ dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir waktu itu, saham yang berharga RM1 telah meningkat nilainya dalam beberapa tahun selepas itu sehingga mencecah lebih RM2 seunit. Seingat saya PKENJ pernah membayar dividen ke atas keuntungan yang dibuat oleh ASJ.

Selepas saya meninggalkan Johor, iaitu semasa Tan Sri Abdul Ghani Othman menjadi Menteri Besar, ASJ mula mengalami kerugian dan ia tidak lagi diberi perhatian oleh pentadbiran baru di Johor. Saya pernah bertemu Tan Sri Ghani untuk memberi pandangan bahawa adalah tidak sukar untuk menentukan agar nilai saham ASJ tidak terus jatuh jika PKENJ di bawah kepimpinan beliau yang mempunyai aset berbilion ringgit dan beberapa anak syarikat yang untung menolong ASJ menerusi pelbagai skim seperti menyuntik syarikat-syarikat dan aset PKENJ ke dalam ASJ. Malangnya, ini tidak dilakukan.
Kemudiannya, pada tahun 2004, barulah kerajaan Negeri Johor dan JCorp melaksanakan skim pemulihan harga ASJ dengan menyuntik aset dan wang tunai untuk membolehkan unit-unit ASJ dibeli semula daripada pelabur pada harga RM1 seunit. Langkah ini sepatutnya telah diambil lebih awal seperti yang pernah saya kemukakan kepada Tan Sri Ghani sebagai MB Johor pada waktu itu untuk mengelakkan pelabur mengalami kerugian. 

Jelas, bahwa ASJ di waktu saya menjadi MB tidak mengalami kerugian. Ia bermasalah selepas saya tidak lagi berada di Johor. Di mana salah saya?

Mengenai isu peneroka Felda Cahaya Baru, ada pemaju yang hendak memajukan tanah peneroka dan dengan sebab itu menubuhkan syarikat. Kerajaan negeri pada waktu itu hanya memberikan kelulusan untuk memajukan tanah. Saya diberitahu selepas itu projek tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana ia menghadapi beberapa masalah. Jadi, isu ini tidak ada kena mengena dengan saya. Jika saya menipu peneroka seperti yang didakwa, kenapa sehingga hari ini peneroka tidak menyaman saya dan mengheret saya ke mahkamah? Apa salah saya?
Mengenai pertukaran cuti hujung minggu dari hari Jumaat ke Ahad, ia dibuat selepas Kerajaan Pusat mencadangkan agar cuti hujung minggu di seluruh negara diseragamkan kerana banyak faedahnya dari segi waktu kerja, ekonomi dan hubungan sosial dan kekeluargaan. Saya telah mengambil inisiatif dengan menjalankan kajian tentang faedah dan kesannya termasuk pandangan dari sudut hukum Islam menerusi nasihat daripada Mufti dan pakar agama di Johor. Hasil kajian itu dibentang dan diluluskan oleh Exco Kerajaan Negeri. Kertas Exco itu juga dibawa ke pengetahuan Almarhum Sultan Johor.

Kerajaan negeri pada waktu itu berpendapat keseragaman hari hujung minggu itu memberi banyak kelebihan kepada rakyat dan kerajaan dari segi hubungan Pusat- Negeri, hubungan perniagaan antara Johor dan Singapura, waktu beristirehat dan bekerja, dan waktu persekolahan di kalangan warga Johor keseluruhannya. Pegawai dan kakitangan awam dan swasta diberi masa untuk menunaikan solat Jumaat seperti yang telah sekian lama dilaksanakan di banyak negeri lain dan ia tidak menjadi masalah serta tidak menyalahi hukum. Buat pertama kali di Johor waktu hujung minggu pertama dan seterusnya saya menyaksikan keluarga beristirehat dan bercuti bersama-sama dalam suasana gembira. Jadi apa masalahnya?
Mengenai projek JB Waterfront City, ia adalah projek penswastaan yang kosnya ditanggung sepenuhnya oleh pemaju swasta. Projek ini tidak menyebabkan kerajaan negeri menanggung apa-apa laibiliti. Ia merupakan percubaan menggunakan teknologi cerucuk secara terapung yang tidak memberi kesan kepada alam sekitar dan pencemaran Selat Tebrau dan dimajukan oleh syarikat pembinaan tempatan Pilecon. Oleh kerana projek ini berjangka panjang, jika sekiranya ia tidak disiapkan, maka Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh orang-orang selepas saya boleh mengambil apa-apa tindakan yang perlu terhadap pemaju yang berkenaan.

Semua isu ini adalah isu lama yang langsung tiada kaitan dengan apa jua bentuk penipuan, salah guna kuasa atau rasuah seperti yang didakwa. Namun, saya tidak ada masalah untuk menjelaskan kesemuanya kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar.
Sebaliknya, pihak yang kurang senang dengan pendirian Pakatan Harapan Negeri Johor  mengenai isu rasuah yang sedang melanda negeri Johor di bawah pentadbiran kerajaan negeri sekarang telah kehabisan modal. Mereka terpaksa memintal isu-isu lama untuk mengaburi mata rakyat.

Saya percaya rakyat Johor ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor pada waktu ini susulan penangkapan individu-individu berprofil tinggi di negeri Johor yang dikatakan terlibat dalam skandal rasuah bernilai jutaan ringgit. Justeru, saya ingin menasihatkan kepimpinan kerajaan negeri Johor supaya berani tampil ke hadapan untuk menjelaskan kedudukan sebenar perkara ini secara terperinci.


TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
Merangkap Pengerusi
Pakatan Harapan Negeri Johor
3 Disember 2017.
Ulasan - Jika sebelum ini wujud ancaman mahu mendedahkan apa yang mereka dakwa sebagai salah laku dan penyelewengan sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, dengan penjelasan beliau ini, silakanlah teruskan hasrat itu.

Soalnya, apakah sama atau hampir sama apa yang mereka dakwa sebagai salah laku dan penyelewengan Muhyiddin itu dengan apa yang dihadapi oleh kepimpinan kerajaan negeri di Johor sekarang atau kedua-duanya sangat jauh berbeza?

Dedah dan teruskanlah hasrat itu jika benar-benar berani.

Sama-sama kita saksikan, siapa yang "kena" akhirnya nanti? (ShahbudinHusin 03/12/2017)

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena