Tuesday 15 May 2018

[Video KJ kesal, Anwar kembali, Akaun negara 'tenat'?] PKR MESTI BANYAK BERSABAR, Tempat Anwar sebagai PM sudah terjamin.

Selasa, 15 Mei 2018


PKR MESTI BANYAK BERSABAR, TEMPAT ANWAR SEBAGAI PM SUDAH TERJAMIN


Selepas Tun Daim Zainuddin menyatakan adalah tidak bijak untuk melantik Anwar Ibrahim secara tergesa-gesa sebagai Perdana Menteri dan kemudian Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula pantas menyetujui perkara itu, bila Tun Mahathir Mohamad patut mengadakan peralihan jawatan sepatutnya tidak berbangkit lagi.

Bagi Tun Daim, peralihan kuasa seharusnya berlaku pada pertengahan penggal nanti.

Ini bererti tempoh itu mencukupi untuk Tun Mahathir menyelesaikan kerja-kerjanya ke arah memulihkan negara dan melakukan reformasi kepada institusi-institusi penting dalam negara.
Dr. Wan Azizah menyambut kenyataan Tun Daim itu dengan menyatakan Anwar tidak akan tergesa-gesa ke arah itu, di sebalik pembebasannya akan dijadualkan esok.

Kami sudah bincang perkara ini bersama dan diharap di bawah Tun Mahathir, semuanya akan berjalan lancar, katanya yang sudah pun diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Meskipun Anwar akan dibebaskan esok setelah Lembaga Pengampunan Diraja dijadual bermesyuarat jam 11 pagi, ada beberapa proses perlu dilalui sebelum beliau boleh kembali ke arena politik.

Selain memerlukan waktu untuk berehat, Anwar juga tentunya perlu menjadi Ahli Parlimen terlebih dahulu untuk membolehkannya kembali aktif dan menjadi pengganti kepada Tun Mahathir.

Dalam hal ini logiknya tentulah Anwar akan mengganti tempat Dr. Wan Azizah di Pandan di mana suatu pilihanraya kecil perlu diadakan dan kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri mengambil alih tempat isterinya sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Tidak manis jika Anwar bertanding di tempat lain yang akhirnya akan menyebabkan beliau, Dr. Wan Azizah dan Nurul Izzah berada dalam politik serta kerajaan secara serentak.

Soalnya ketika ini Dr. Wan Azizah baru saja menjadi Ahli Parlimen Pandan dan Timbalan Perdana Menteri, malah belum pun lagi mengangkat sumpah bagi jawatan tersebut.

Maka itu, usaha untuk mengembalikan Anwar ke arena politik wajar dilakukan dengan mengambil sedikit masa dan  tidak secara tergesa-gesa.
Namun, yang lebih penting daripada soal Anwar dan Dr. Wan Azizah itu  ialah Tun Mahathir selaku Perdana Menteri kini sedang bertungkus-lumus bekerja keras memulihkan negara ini.

Beliau perlu melakukan banyak kerja, bertemu dengan ramai orang penting dalam kerajaan dan mengambil tindakan-tindakan tertentu sebagai menunaikan janji Pakatan Harapan untuk memulih dan menyelamatkan negara.

Semua usaha Tun Mahathir ini perlu disokong kerana beliau terlihat amat serius ke arah itu.

Bagaimana Tun Mahathir menyekat perjalanan Najib Razak dan Rosmah Mansor, mengambil tindakan terhadap Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi 1MDB yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, menubuhkan Penasihat Kerajaan dan sebagainya adalah bukti-bukti yang menunjukkan bagaimana seriusnya beliau dalam memenuhi janji Pakatan Harapan kepada rakyat.

Harus diingat bahawa antara sebab rakyat mengundi Pakatan Harapan ialah kerana yakin dengan sosok yang bernama Tun Mahathir serta mahu melihat tindakan sewajarnya diambil terhadap Najib, Rosmah dan deretan kroni lain yang dikaitkan dengan skandal mega 1MDB itu.
Lagi pun, siapakah lagi yang mampu sehebat Tun Mahathir yang mampu serta berani mengambil tindakan-tindakan tersebut di ketika cuti rakyat diberikan umum dan hanya beliau seorang saja baru mengangkat sumpah jawatan mentadbir kerajaan?

Untuk itu, dalam tempoh setahun dua ini biarlah Tun Mahathir, Dr. Wan Azizah dan barisan kabinetnya melaksanakan kerja-kerja mereka yang sedang diperhati dan dinilai oleh rakyat terlebih dahulu.

Kepada penyokong dan mereka yang mahukan Anwar mahu jadi Perdana Menteri, bersabarlah sedikit kerana tempat tersebut boleh dikatakan sudah terjamin untuknya.

Selepas Tun Mahathir memulihkan negara ini dan menyumbat ke penjara ramai penduriana wang rakyat, Anwar akan mewarisi negara ini dalam keadaan yang lebih baik dan selesa.

Jika Anwar dan penyokongnya boleh bersabar dengan pelbagai dugaan dan ranjau selama 20 tahun perjuangannya selama ini, apakah setahun dua lagi meniti kesabaran sesuatu yang payah? (ShahbudinHusin 15/05/2018)

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena