Tun Daim minta orang Melayu undi Pakatan HARAPAN supaya hapuskan GST & buang Najib!
MENJELANG 9 MEI, RAKYAT PERLU TERUS BANGKIT MERANGSANG PERUBAHAN
Memasuki hari kelima kempen pilihanraya, Pakatan Harapan terus mendapat sambutan yang kian memberangsangkan daripada rakyat yang mahukan perubahan. Dalam erti kata lain, kejatuhan BN semakin di ambang mata.
Di mana-mana saja kempen Pakatan Harapan diadakan, sambutan yang diterima tidak pernah mengecewakan. Jika melibatkan Tun Mahathir Mohamad, sambutan rakyat pelbagai kaum lagilah lebih hebat dan dahsyat.
Yang lebih membanggakan, seperti program Tun Mahathir di Desa Pandan dalam kawasan Titiwangsa semalam misalnya, meskipun dalam keadaan hujan lebat sejak petang dan kemudian renyai-renyai yang berlarutan hingga ke malam, tetapi kehadiran orangramai tetap mengalahkan program yang dihadiri oleh Najib Razak sendiri.
Walhal, dalam program jelajah Pakatan Harapan itu - tidak seperti kebanyakan majlis anjuran UMNO dan BN - tiada cabutan bertuah, tiada makan minum disediakan dan tiada juga elaun kehadiran diberikan.
Semua yang hadir adalah dengan sukarela dan semata-mata untuk menunjukkan sokongan kepada perubahan yang ingin dibawa oleh Pakatan Harapan.
Kehadiran orangramai dengan jumlah yang besar dan mengalahkan apa yang berlaku kepada program-program UMNO dan BN tidak lain menunjukkan rakyat tidak lagi gembira dalam kehidupan mereka di bawah pentadbiran Najib sekarang.
Bagi majoriti orangramai, sementara peranan asas kerajaan ialah memberi kesejahteraan dan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat, Najib sebaliknya telah menukar dengan menjadikan rakyat sebagai sumber pendapatan utama bagi kerajaan.
Kerajaan era Najib ini seolah-olah tidak lagi menjadikan pendapatan daripada pelaburan atau cukai sektor swasta dan perniagaan sebagai sumber pendapatan utamanya, sebaliknya melalui robekan 6 peratus GST itulah yang selalu dibangga-banggakan mampu memberikan nyawa kepada kerajaan.
Dalam waktu yang sama, subsidi pelbagai barang keperluan utama seperti minyak yang menjadi asas pergerakan rakyat turut dihapuskan yang sekaligus menjadikan beban kehidupan orangramai yang sudah sedia disengsarakan dengan robekan 6 peratus itu, kian bertambah parah jadinya.
Tidakkah ini menjadikan kerajaan yang ada ini sebenarnya amat-amat memalukan?
Lantaran itu, seiring dengan Pakatan Harapan yang menjanjikan banyak kebaikan dan kecerahan kepada masa depan, perubahan kerajaan pada 9 Mei depan bagaikan sukar untuk dielakkan lagi.
Rakyat yang normal dan waras tentu saja tidak teringin lagi terus berada di bawah kepimpinan UMNO dan BN, apatah lagi dengan Najib yang menjadi ketua kerajaan yang terkenal dangan boros serta gaya hidup mewahnya.
Meski demikian, sementara sambutan ke arah perubahan ternampak sangat positif, rakyat dalam masa yang sama perlu terus menunjukkan komitmen ke arah perubahan yang lebih jitu dalam tempoh masa kempen yang berbaki hanya kira-kira seminggu saja lagi.
Rakyat semua kaum - Melayu, Cina, India dan seluruhnya - mulai sekarang hingga malam 8 Mei depan perlu terus menunjukkan sokongan yang berterusan dan lebih besar kepada majlis-majlis anjuran Pakatan Harapan.
Tidak kira di mana saja program itu diadakan, seluruh rakyat wajib keluar beramai-ramai menyatakan sokongan mereka. Haruslah disedari bahawa kerajaan baru yang menggantikan BN nanti bukanlah menjanjikan mimpi dan kata-kata kosong, tetapi sebuah kerajaan masa depan yang dibarisi pemimpin berpengalaman serta telah terbukti rekod cemerlang masa lalunya.
Jika boleh, melalui sambutan yang kian besar dan luar biasa yang ditunjukkan secara berterusan itu, biar sebelum hari pengundian pada 9 Mei nanti, Najib sudah dapat merasakan isyarat awal kekalahannya.
Inilah yang dinamakan tsunami rakyat dan semua kita mempunyai masa dalam tempoh seminggu ini untuk menggerakkan kuasa mereka sendiri dan melakukan sedikit pengorbanan ke arah perubahan yang dicita-citakan itu.
Pengorbanan itu tidaklah terlalu sukar, cuma semua kita harus melapangkan masa untuk menghadiri dan memberi sokongan kepada semua program-program Pakatan Harapan.
Tempohnya pula bukanlah begitu lama, hanya sehingga malam 8 Mei dan kemudian membuktikan komitmen kehadiran itu di kotak-kotak undi pada 9 Mei depan.
Hendaklah kita sedar, dengan pengorbanan yang dilakukan itu dan kemudian sebuah kerajaan baru bukan kleptokrasi berjaya selepasnya, yang akhirnya menikmati hasil kebaikannya adalah kita juga. (ShahbudinHusin 02/05/2018)
0 comments:
Post a Comment